• Sebaik-baik perhiasan dunia

    Daripada Abdullah bin Amru bin al-As RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia ialah perempuan (atau diterjemahkan sebagai isteri) solehah. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 236
  • Lelaki jangan membenci perempuan

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang mukmin (lelaki beriman) jangan membenci seorang mukminah (perempuan beriman) jika ada suatu pekerti perempuan itu yang dia tidak sukai, sedangkan (ada yang) dia sukai daripadanya (daripada budi pekerti) yang lain. Atau baginda bersabda: (Budi pekerti) yang lainnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Perkataan (Arab) “yafrak” dalam teks hadis ini diterjemahkan sebagai “membenci”. Dikatakan, perempuan membenci suaminya dan suami membenci isterinya. Wallahu a’lam.

    Seorang lelaki beriman tidak harus membenci isterinya yang beriman hanya kerana mendapati suatu pekerti (perangai, sikap) yang tidak disukainya, sebab ada budi pekerti yang dia sukai seperti memelihara diri, membantu dan sebagainya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 233
  • Rezeki, pertolongan dengan adanya orang lemah

    Daripada Abu Darda Uwaimir RA berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Carikan saya orang-orang lemah. Maka, sesungguhnya kamu mendapat pertolongan dan rezeki dengan orang-orang lemah dalam kalangan kamu. (Hadis diriwayatkan oleh Abu Daud dengan isnad yang baik)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi pesanan agar membantu orang-orang lemah, fakir miskin, membantu orang-orang yang menggunakan seluruh waktu untuk Allah, tidak mementingkan diri sendiri dan menghindari daripada mengganggu orang lemah.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 231
  • Keistimewaan orang-orang yang lemah

    Daripada Mus’ab bin Saad bin Abi Waqas RA berkata: Saad berpendapat bahawa baginya kelebihan daripada selainnya.

    Maka, Nabi SAW bersabda: Adakah kamu mendapat pertolongan dan rezeki, melainkan dengan orang-orang yang lemah dalam kalangan kamu! (Hadis riwayat al-Bukhari sebagai hadis mursal kerana Mus’ab adalah seorang tabiin. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Abu Bakar al-Barqani dalam kitab sahihnya sebagai hadis muttasil daripada Mus’ab daripada ayahnya RA).

    PENJELASAN

    Ibnu Batthal berkata: Pengertian hadis ini bahawa orang-orang lemah lebih ikhlas dalam berdoa dan lebih khusyuk dalam beribadat kerana hati mereka masih kosong dengan gemerlapan dunia.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 230
  • Dosa mensia-siakan anak yatim dan perempuan

    Daripada Abu Syuraih Khuwailid bin Amru al-Khuza’ie berkata: Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Allahumma (Ya Allah), sesungguhnya saya memandang berat dosa mensia-siakan hak dua golongan lemah, (iaitu) anak yatim dan perempuan. (Hadis status hasan diriwayatkan oleh an-Nasai, dengan sanad yang baik)

    PENJELASAN

    Sesungguhnya Nabi SAW menganggap berat hak anak yatim dan perempuan, kerana kedua-duanya tidak mempunyai kekuatan dan tidak ada tempat berlindung melainkan Allah.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 230
  • Sikap mulia membawa ke syurga

    Daripada Aisyah RAnha (Radhiallahu Anha) berkata (maksudnya): Saya didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.

    Maka, saya memberikannya tiga biji kurma. Perempuan itu memberikan setiap seorang daripada kedua-duanya (anak-anaknya) masing-masing sebiji kurma dan sebiji lagi diangkat ke mulutnya untuk dimakan.

    Namun dua anaknya itu meminta agar yang sebiji kurma itu dimakan juga oleh mereka.

    Maka, perempuan itu membelah dua kurma yang hendak dimakan dan diberikan kepada dua anaknya.

    Keadaan perempuan itu membuatkan saya hairan. Maka, saya memberitahukan apa yang telah dilakukan oleh perempuan itu kepada Rasulullah SAW.

    Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya, Allah telah menetapkan bagi perempuan itu akan masuk syurga kerana perbuatannya atau Allah akan memerdekakannya dari neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan mementingkan orang lain berbanding diri sendiri, menyayangi anak-anak kecil, berbuat kebaikan dan bersikap lemah-lembut yang lebih kepada anak perempuan. Semua itu menjadi penyebab masuk syurga dan bebas dari neraka.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 229 & 230
  • Anak perempuan tabir daripada seksaan api neraka

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Seorang perempuan datang ke tempat saya dan bersamanya dua anak perempuannya.

    Dia (perempuan itu) bertanya (meminta) tetapi tiada suatu apa pun pada saya melainkan sebiji kurma saja. Maka, saya memberikannya (sebiji kurma itu) kepadanya. Maka, dia membahagikannya (sebiji kurma itu) kepada kedua-dua anaknya itu, dan dia sendiri tidak makan daripadanya (kurma itu). Kemudian, dia berdiri, lalu keluar.

    Maka, Nabi SAW datang ke tempat kami. Maka, saya beritahu kepadanya (mengenai kejadian itu).

    Maka, baginda bersabda: Sesiapa yang diberikan suatu cubaan daripada anak-anak perempuan seperti ini, maka dia berbuat baik kepada mereka, anak-anak perempuan itu akan menjadi tabir untuknya daripada seksaan neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 229
  • Keutamaan mencukupi nafkah anak perempuan

    Daripada Anas RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Sesiapa mencukupi nafkah dua anak perempuan sampai kedua-duanya menginjak usia baligh, maka kelak dia datang pada hari kiamat, saya dan dia seperti kedua-dua jari ini. Dan baginda mengumpulkan jari-jarinya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 228
  • Seburuk-buruk makanan

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah tidak diundang orang yang ingin menghadirinya (orang miskin), tetapi diundang orang yang enggan menghadirinya (orang kaya). Namun sesiapa tidak menghadiri undangan walimah, maka dia bermaksiat (berdosa) kepada Allah dan Rasul-Nya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Walimah (lazimnya) adalah majlis jamuan untuk acara perkahwinan dan digunakan juga untuk semua undangan dibuat untuk momen kebahagiaan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 228
  • Bagaikan orang berjihad di jalan Allah

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: “Orang-orang yang berusaha untuk kepentingan janda dan orang miskin bagaikan orang yang berjihad di jalan Allah.” Dan saya (perawi hadis) mengira bahawa baginda juga bersabda: Dan bagaikan seorang melakukan qiyamullail yang tidak pernah letih dan bagaikan orang berpuasa yang tidak pernah berbuka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Al-armalatu (atau ringkasnya disebut armalah) dalam hadis itu diterjemahkan sebagai perempuan tidak mempunyai suami atau janda.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 228

sumbangaN atau TIP

Atas manfaat ilmu pengetahuan diperolehi.

error: Content is protected !!