• Jangan saling berhasad, jangan saling menipu, jangan saling membenci

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu saling berhasad, jangan saling menipu dalam jual-beli, jangan saling membenci, jangan saling berpaling dan jangan sesetengah daripada kamu menjual atas penjualan sebahagian lain. Dan jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.

    Seorang muslim merupakan saudara dengan muslim yang lain, tidak boleh menzalimi saudaranya, tidak boleh menghina saudaranya dan tidak boleh menelantarkan saudaranya.

    Takwa itu ada di sini — baginda menunjukkan ke arah dadanya tiga kali.

    Cukuplah seseorang termasuk keburukan, jika dia menghina saudaranya sesama muslim.

    Setiap muslim terhadap sesama muslim haram darahnya, hartanya dan kehormtannya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Perkataan “an-najsyu” diterjemahkan sebagai seseorang menambah harga suatu barang dagangan lebih daripada yang diumumkan di pasar dan lain sebagainya, padahal dia tidak ada keinginan untuk membelinya. Tetapi dia melakukannya semata-mata untuk menipu orang lain. Perbuatan ini hukumnya haram. Dalam teks hadis ini, perkataan digunakan ialah “tanaajasyuu”.

    Perkataan “at-tadaaburu” diterjemahkan sebagai seseorang tidak menghiraukan orang lain, enggan berbicara dengannya dan menganggap saudaranya seakan-akan benda yang ada di belakang punggungnya. Dalam teks hadis ini perkataannya ialah “tadaabaruu”.

    Keharaman hasad dengki iaitu mengharapkan hilangnya nikmat yang ada pada saudaranya.

    Keharaman najsy, kerana perbuatan ini merupakan tipuan dan pengkhianatan.

    Larangan saling membenci dan saling berpaling, larangan menjual atas penjualan orang lain. Demikian pula membeli atas pembelian orang lain, tanpa ada izin dalam masa khiyar (proses memilih), kerana hal ini menjadi faktor terjadi pertengkaran dan kebencian.

    Takwa dapat tercapai dengan sesuatu yang ada di dalam hati meliputi rasa takut dan muraqabah (pengawasan).

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 207
  • Seorang muslim saudara terhadap muslim lain, jangan khianatinya, jangan menghinanya

    Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim merupakan saudara sesama muslim lainnya. Janganlah dia berkhianat kepada saudaranya, jangan membohonginya dan jangan menghinanya.

    Setiap muslim terhadap muslim lainnya adalah haram kehormatannya, hartanya dan darahnya.

    Takwa itu di sini. Cukuplah seseorang termasuk daripada keburukan, jika dia menghina saudaranya sesama muslim. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini [status] hasan)

    PENJELASAN

    Keharaman darah seorang muslim, hartanya dan kehormatannya. Di samping itu diharamkan pula menghina sesama muslim, mengkhianatinya dan bercerita dusta mengenainya.

    Ketakwaan berada di dalam hati.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 206
  • Bantu saudara sesama Islam, jangan aniaya mereka, jangan serah kepada musuh

    Daripada Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim merupakan saudara muslim yang lain.
    Janganlah dia menganiayanya, jangan pula menyerahkannya kepada musuhnya.

    Sesiapa membantu keperluan saudaranya, maka Allah selalu menolongnya dalam memenuhi keperluannya.

    Dan sesiapa melapangkan suatu kesukaran daripada seorang muslim, maka Allah akan melapangkan baginya suatu kesukaran daripada sekian banyak kesukaran pada hari kiamat.

    Dan sesiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aib orang itu pada hari kiamat. (Muttafaq alaih — diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    – Hadis ini memberi motivasi kepada muslimin (orang-orang Islam) untuk saling membantu, menyayangi antara satu sama lain, tidak berbuat zalim (aniaya) kepada mereka, memenuhi keperluan mereka, menutup aib mereka dan membuatkan mereka senang.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 206
  • Keutamaan solat Subuh

    Daripada Jundub bin Abdullah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa melakukan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah. Oleh kerana itu, jangan sampai Allah menuntut kepada kamu dengan apa yang dijaminkan oleh Allah, kerana sesungguhnya orang yang dituntut oleh Allah dengan apa yang dijaminkan oleh Allah, tentu Dia akan mendapatkannya. Kemudian, Allah akan melemparkan mukanya ke dalam neraka jahanam. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Perkataan “dzimmatillah” dalam (teks Arab) hadis itu diterjemahkan sebagai jaminan keamanan daripada Allah dan janji-Nya.

    Dalam riwayat lain disebutkan: “Sesiapa melakukan solat Subuh berjemaah”, seakan-akan solat Subuh dikhususkan dengan hal itu, kerana waktu subuh merupakan permulaan hari, yakni waktu permulaan orang bertebaran memenuhi keperluan mereka.

    Hadis ini mengandungi ancaman keras kepada orang yang berniat buruk kepada orang-orang yang melakukan solat.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 206
  • Mengambil kira keadaan yang lain ketika melakukan solat

    Daripada Abu Qatadah al-Harits bin Rib’i RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ketika saya sedang melakukan solat dan saya bermaksud memperlamakannya, tiba-tiba saya mendengar tangisan seorang anak kecil. Maka, saya meringankan solat saya kerana saya tidak suka jika memberatkan ibunya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi erti kasih sayang Nabi dan memperhatikan keadaan orang tua dan anak-anak.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 205
  • Sayang Nabi kepada sahabatnya

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Nabi SAW melarang para sahabat melakukan puasa wisol kerana rasa sayang kepada mereka.

    Para sahabat berkata: Sesugguhnya anda sendiri melakukan puasa wisol?

    Baginda bersabda: Sungguh, saya ini tidaklah seperti keadaan kamu, kerana sesungguhnya saya ini diberi makan serta minum oleh Rabbku. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber - Riyadus Solihin dan Penjelasannya
  • Mengapa Nabi meninggalkan suatu amalan disukai?

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Sesungguhnya jika Rasulullah SAW meninggalkan suatu amalan perbuatan, padahal baginda suka mengerjakan amalan itu, (hal itu kerana baginda) khuatir jika orang-orang akan ikut mengamalkannya, maka amalan itu diwajibkan atas mereka. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menjelaskan kesempurnaan kasih sayang Nabi SAW terhadap umatnya, sebagaimana baginda pernah meninggalkan keluar (untuk solat) di malam keempat Ramadan hingga terbit fajar. Baginda bersabda: Tidak ada yang mencegahku melainkan khuatir jika solat itu diwajibkan atas kamu, lalu kamu tidak mampu melakukannya.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 204/205
  • Meringankan apabila solat berjemaah

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jika seorang daripada kamu menjadi imam solat bagi orang lain, maka hendaklah dia meringankannya, sebab antara kalangan makmum ada orang yang lemah, orang sakit dan tua. Apabila seorang kamu melakukan solat sendirian, maka hendaklah dia memperlamakan (memanjangkan) solat sekehendaknya. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Mempercepat dan memperlamakan termasuk antara hal relatif yang dikembalikan kepada yang dilakukan oleh Nabi. Oleh kerana itu, tidak ada dalil bagi orang-orang yang solatnya seperti burung pelatuk.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 204
  • Keutamaan kasih sayang sesama manusia

    Daripada Jabir bin Abdullah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa tidak mempunyai sifat kasih sayang kepada sesama manusia, Allah juga tidak memberi kasih sayang kepadanya. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN:

    Mengasihi kepada sesama manusia disebutkan secara khusus kerana ada perhatian lebih kepada manusia. Jika tidak, maka menebarkan kasih juga dituntut kepada seluruh binatang. Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang menebarkan kasih sayang akan disayangi oleh Zat Yang Maha Pengasih. Sayangilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangimu.”

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 204
  • Kasih sayang orang beriman umpama tubuh badan

    Daripada Nu’man bin Basyir berkata, Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan Mukminin dalam hal saling menyayangi, saling mengasihi dan saling bersimpati adalah bagaikan tubuh badan. Apabila satu anggotanya berasa sakit, maka seluruh tubuh badan akan turut merasakannya dengan tidak tidur dan berasa panas. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203

sumbangaN atau TIP

Atas manfaat ilmu pengetahuan diperolehi.

error: Content is protected !!