• Mengasihi anak-anak

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Beberapa orang daripada kalangan orang pedalaman datang menghadap Rasulullah SAW, maka mereka berkata: Adakah anda suka mencium anak-anak anda?

    Baginda menjawab: Ya.

    Mereka berkata: Tetapi, demi Allah, kami tidak pernah mencium (anak-anak).

    Maka, Rasulullah bersabda: Apakah saya dapat mencegah sekiranya Allah telah mencabut sifat rahmah (belas kasihan) daripada hati kamu. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menganjurkan untuk mengasihi anak-anak, mencium dan menyayangi mereka.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203/204

  • Siapa tidak menyayangi, tidak disayangi

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW mencium al-Hasan bin Ali dan di samping beliau ada al-Aqra’ bin Habis.

    Maka, al-Aqra’ berkata: Saya mempunyai 10 orang anak. Tetapi saya belum pernah mencium seorang daripada mereka.

    Maka, Rasulullah SAW memandangnya, kemudian baginda bersabda: Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203

  • Kaedah membawa senjata di tengah khalayak

    Daripada Abu Musa RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa berjalan di suatu tempat dari masjid-masjid kita atau pasar-pasar kita, sedang dia membawa anak panah, maka hendaklah dia memegang atau menggenggam hujung-hujungnya dengan telapak tangannya, sebab dikhuatirkan dengan anak panahnya akan kena seseorang daripada Muslimin. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan perintah menggenggam hujung anak panah. Demikian juga pedang, pisau, bayonet, dan seumpamanya. Begitu juga dengan peluru dari senapang dan pistol perlu dikeluarkan kerana dibimbangi kena, mencederakan, menyakiti orang sekeliling.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 202/ 203

  • Peringatan membelanjakan harta Allah

    Daripada Khaulah binti Amir al-Ansariyah dan dia ialah wanita (isteri) Hamzah berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya lelaki-lelaki (yakni orang-orang) membelanjakan harta Allah dengan (cara) tidak benar, maka bagi mereka neraka pada hari kiamat. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    • Istilah “takhawwadhu” daripada perkataan dalam teks hadis diertikan sebagai membelanjakan dengan tidak benar.
    • Hadis ini menunjukkan bahawa membelanjakan harta Baitulmal tidak harus berdasarkan keinginan semata-mata.
    • Dalam riwayat Tirmidzi daripada Khaulah binti Qais bin Qahd disebutkan: Sesungguhnya harta ini manis dan hijau. Sesiapa mendapatkannya dengan cara benar, maka dia akan diberikan keberkatan dalam harta tersebut. Banyak sekali orang yang membelanjakan harta Allah dan rasul-Nya sesuai yang diinginkan oleh dirinya sendiri, maka tidak ada baginya pada hari kiamat selain neraka.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 201

  • Peringatan menumpahkan darah yang haram

    Daripada Ibnu Umar RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Seorang Mukmin sentiasa dalam keluasan agamanya, selama dia tidak menumpahkan darah yang haram. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    • Perkataan dalam teks hadis “al-fushatu” diertikan sebagai “keluasan”. Maksudnya orang mukmin sentiasa mengharapkan rahmat dan ampunan daripada Allah atas dosa-dosa yang telah dilakukannya. Ketika dia menumpahkan darah yang haram, maka jalannya akan menjadi sempit.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 201

  • Amaran terhadap hak saudaranya dalam penghakiman

    Daripada Ummu Salamah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Saya hanyalah seorang manusia dan sesungguhnya kamu akan mengajukan perkara kamu kepadaku. Barangkali sebahagian daripada kamu ada yang lebih pintar mengemukakan hujah daripada sebahagian yang lain. Maka, saya memberikan keputusan sesuai dengan alasan yang saya dengar. Maka, sesiapa yang saya putuskan baginya dengan (mendapat) hak saudaranya, maka sesungguhnya saya menentukan untuknya bahagian daripada api neraka. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

    PENJELASAN

    • Perkataan dalam teks hadis “al-hana” diertikan sebagai “lebih pintar”.
    • Hadis ini menjelaskan kepada kita bahawa Nabi SAW tidak mengetahui hal ghaib (yang tidak nampak) melainkan apa yang telah diajarkan oleh Allah dan sesungguhnya beliau memutuskan suatu perkara berdasarkan bukti-bukti yang nampak.
    • Hukuman (atau keputusan) yang ditetapkan seorang hakim pada dasarnya tidak menghalalkan sesuatu yang haram.

    Firman Allah bermaksud: Dan janganlah kamu makan harta antara kamu dengan jalan yang batil, dan (janganlah) kamu menyuap dengan harta itu kepada para hakim, dengan maksud agar kamu dapat memakan sebahagian harta orang lain itu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah, ayat 188)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 200

  • Persoalan jihad fi sabilillah

    Daripada Abu Qatadah, al-Harits bin Rib’i meriwayatkan daripada Rasulullah SAW, bahawa beliau berdiri di hadapan orang ramai, kemudian beliau menyebutkan kepada mereka bahawa jihad fi sabilillah dan beriman kepada Allah merupakan amalan perbuatan yang paling utama. Kemudian ada seorang lelaki berdiri dan berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat anda jika saya terbunuh dalam perang fi sabilillah, apakah kesalahan-kesalahan saya akan terhapus? Beliau menjawab: Ya, jika kamu dibunuh fi sabilillah dan sabar, mengharapkan keredaan Allah serta kamu maju dan tidak melarikan diri.

    Seterusnya Rasulullah SAW bertanya: Bagaimana pertanyaan kamu tadi?

    Orang itu berkata lagi: Bagaimana pendapat anda, jika saya terbunuh dalam perang fi sabilillah, apakah kesalahan-kesalahan saya akan terhapus?

    Baginda menjawab: Ya, jika kamu terbunuh fi sabilillah dan sabar, mengharapkan keredaan Allah serta kamu maju dan tidak melarikan diri (dari medan jihad), melainkan jika kamu mempunyai hutang, kerana sesungguhnya Jibril mengatakan hal itu kepadaku. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    • Besarnya urusan hutang-piutang.
    • Peringatan bahawa jihad dan mati syahid tidak dapat menghapus hak-hak sesama manusia.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 199

  • Syahid atau tidak?

    Daripada Umar bin al-Khattab RA berkata: Ketika terjadi perang Khaibar, ada sekumpulan daripada sahabat-sahabat Nabi SAW, maka mereka berkata: Polan syahid, dan polan syahid. Sehingga mereka menemukan seorang lelaki (yang telah meninggal dunia), maka berkata, “polan syahid”. Maka, Nabi SAW bersabda: Tidak sama sekali, sesungguhnya saya melihatnya di dalam neraka kerana burdah (kain selimut) atau baju karung yang dia sembunyikan (daripada hasil rampasan perang). (Hadis diriwayatkan oleh Muslim, ada juga dalam riwayat Ibnu Hibban dan Tirmidzi)

    PENJELASAN

    Polan merujuk kepada seseorang yang tidak diberikan namanya.

    Hadis ini menguatkan keharaman mencuri harta ghanimah (rampasan perang) dan perbuatan itu termasuk antara dosa besar.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 198/199

  • Ancaman orang bersumpah untuk mendapatkan hak orang lain

    Daripada Abu Umamah Iyas bin Tsa’labah al-Haritsi meriawayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa mengambil hak seorang muslim dengan sumpahnya, maka Allah mewajibkan neraka baginya dan mengharamkan syurga ke atasnya.

    Maka, seorang lelaki bertanya: Walaupun suatu yang remeh, wahai Rasulullah?

    Maka, baginda bersabda: Dan sekalipun sepotong kayu arak. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini memberikan ancaman kepada orang bersumpah bohong agar dapat mengambil hak seorang muslim.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasan, 198

  • Siapa buat zalim kepada orang lain, segera minta dimaafkan

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Sesiapa melakukan suatu kezaliman kepada saudaranya, (sama ada) mengenai kehormatan saudaranya ataupun suatu yang lain, maka hendaklah dia minta dihalalkannya pada hari, sebelum tidak ada (wang) dinar dan dirham. Jika dia mempunyai amalan kebajikan, maka diambil amalan kebajikannya, sesuai kadar kezalimannya, sedang jika dia tidak mempunyai kebajikan sama sekali, maka diambil keburukan-keburukan orang dizalimi, lalu dibebankan kepada orang menzaliminya. (Hadis diriwayatkan Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan perintah meminta agar dihalalkan dan mengembalikan hasil daripada kezaliman ketika masih di dunia. Jika tidak, orang dizalimi akan mengambil haknya secara penuh di akhirat kelak.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 195-196

sumbangaN atau TIP

Atas manfaat ilmu pengetahuan diperolehi.

error: Content is protected !!