• Makan dengan tangan kanan

    Daripada Abu Muslim, dan ada dikatakan Abi Iyas Salamah bin Amr bin Al-Akwa RA, meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya.

    Kemudian baginda bersabda: Makanlah dengan tangan kananmu.

    Orang itu berkata: Aku tidak dapat.

    Baginda bersabda: Kamu tidak akan dapat.

    Tidak ada yang mencegahnya melakukan hal itu kecuali kerana kesombongannya. Akhirnya dia tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi pensyariatan makan dengan tangan kanan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 155

  • Semua masuk syurga kecuali orang yang tidak mahu

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Semua umatku masuk syurga, melainkan orang yang enggan.

    Baginda ditanya: Siapakah orang yang enggan, wahai Rasulullah?

    Baginda menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku, maka dia masuk syurga, dan sesiapa yang derhaka kepadaku, maka dia enggan. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis mengandungi khabar gembira buat umat ini iaitu akan masuk syurga, melainkan mereka yang enggan iaitu mereka yang menderhaka kepada Rasulullah.

    Sumber hadis — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 154

  • Biarkan yang tidak dijelaskan, usah banyak bertanya

    Daripada Abu Hurairah RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Biarkan apa yang tidak saya jelaskan kepada kamu sekalian, kerana sesungguhnya yang membinasakan umat-umat dahulu ialah banyak pertanyaan mereka dan perselisihan mereka dengan nabi-nabi mereka. Maka, apabila saya melarang kamu sekalian daripada sesuatu, maka jauhinya, dan apabila saya menyuruh kamu sekalian dengan sesuatu, maka lakukan mengikut kemampuan kamu sekalian. (Muttafaq alaih — Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi sababul wurud (sebabnya) iaitu suatu ketika Nabi SAW berkhutbah dan baginda berkata: Wahai manusia! Sungguh, Allah telah mewajibkan kamu semua ibadat haji. Oleh itu lakukan ibadat.

    Lantas seorang lelaki bertanya: “Apakah setiap tahun, wahai Rasulullah?”

    Baginda terdiam, sehingga lelaki terbabit mengatakannya berulang kali.

    Kemudian Rasulullah bersabda: “Andai saya berkata ya, pasti menjadi wajib dan kamu semua tidak akan mampu.”

    Kemudian baginda bersabda (hadis di atas): Biarkan apa yang…

    Hadis ini termasuk kaedah Islam yang penting. Firman Allah bermaksud: “Dan apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka ambillah, dan apa yang dilarangnya bagi kamu, maka tinggalkan.” (Surah al-Hasyr, ayat 7)

    Imam Malik rahimahullah berkata: “Membantah dan berdebat dapat menghilangkan cahaya ilmu daripada hati seseorang.”

    Dalam atsar disebutkan: “Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba, maka Allah membukakan baginya pintu ilmu dan menutup darinya pintu debat, dan apabila Allah menghendaki buruk pada seorang hamba, maka Allah membukakan baginya pintu berdebat dan menutup darinya pintu ilmu.”

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 153

  • Menggantikan solat malam di siang hari

    Daripada Aisyah RAnha berkata, Rasulullah SAW apabila tidak melakukan solat malam, kerana sakit atau selainnya, maka baginda melakukan solat di siang hari sebanyak 12 rakaat. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi dalil menggantikan solat malam, demikian juga seluruh solat sunat.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 150

  • Beribadat secara berterusan

    Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Wahai Abdullah, jangan kamu seperti polan (seseorang). Adalah dia selalu melakukan qiyamullail (ibadat malam), kemudian dia tidak melakukan qiyamullail lagi. (Muttafaq alaih — Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi sunah melakukan amalan baik yang telah dijadikan kebiasaan secara berterusan.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 150

  • Dicatat seperti malam hari meski dilakukan di siang hari

    Daripada Umar bin al-Khattab RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa tidur tertinggal daripada membaca wiridnya di waktu malam atau tertinggal sesuatu daripadanya, maka dia membacanya antara solat Fajar dan Zuhur, dicatat baginya sebagaimana dia membacanya pada waktu malam. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis mengandungi dalil setiap wirid yang tertinggal dan tidak dilakukan seseorang, maka Allah akan memberinya pahala sempurna apabila dia menggantikannya.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 149

  • Abu Israil dan nazarnya

    Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Pada suatu ketika Nabi SAW sedang berkhutbah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang berdiri, maka Nabi bertanya mengenai lelaki terbabit.

    Para sahabat menjawab: Dia ialah Abu Israil. Dia bernazar hendak berdiri di terik matahari, tidak akan duduk, tidak akan berteduh, tidak akan berbicara, dan tetap akan berpuasa.

    Maka, Nabi bersabda: Perintahkan dia supaya berbicara, berteduh, duduk dan hendaklah dia menyempurnakan puasanya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan orang mendekatkan diri kepada Allah dengan perbuatan yang tidak dianggap ibadat oleh Allah, maka dia tidak wajib melakukannya meskipun dia bernazar melakukannya. Sesiapa bernazar suatu ibadat yang disyariatkan, maka dia wajib melakukannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 148

  • Binasa orang memberatkan diri

    Daripada Ibnu Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Binasa orang-orang yang memberat-beratkan diri. Baginda bersabda mengenainya tiga kali. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 140

  • Menahan diri daripada kejahatan adalah sedekah

    Daripada Abu Musa RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW yang bersabda: Setiap muslim mempunyai kewajipan untuk bersedekah.

    Abu Musa bertanya: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak mendapati sesuatu untuk disedekahkan?

    Baginda menjawab: Hendaklah dia bekerja dengan kedua-dua tangannya untuk dapat memberi manfaat kepada dirinya sendiri dan supaya dia dapat bersedekah.

    Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak mampu melakukannya?

    Baginda menjawab: Hendaklah dia membantu orang yang memerlukan bantuan.

    Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak dapat melakukannya?

    Baginda menjawab: Hendaklah dia menyuruh kebaikan atau hal yang baik.

    Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak melakukan hal itu?

    Baginda menjawab: Hendaklah dia menahan diri daripada melakukan kejahatan, maka sesungguhnya ia adalah sedekah. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi motivasi untuk berusaha mendapatkan sesuatu yang menjadi keperluan manusia berupa makanan, minuman dan pakaian agar dia dapat menjaga mukanya daripada orang lain (tidak meminta-minta) dan berusaha mendapatkan sesuatu yang dapat digunakan untuk bersedekah agar dapat meraih pahala yang agung.

    Intisari hadis — Keutamaan membantu orang memerlukan dan terpaksa. Allah sentiasa membantu seorang hamba selagi dia berkenan membantu saudaranya.

    Keutamaan menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran.

    Menahan diri daripada kejahatan adalah suatu sedekah.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 138

  • Allah reda seseorang makan, minum lalu memuji-Nya

    Daripada Anas RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah akan reda seorang hamba yang memakan suatu makanan, kemudian dia memuji kepada Allah atas makanan dimakannya ataupun meminum suatu minuman, kemudian dia memuji kepada Allah atas minuman diminumnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan bertahmid (memuji Tuhan) ketika makan dan minum. Ini termasuk kemurahan Allah. Allah memberikan kurniaan kepada kamu berupa rezeki dan meredaimu kerana pujian diucapkan.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 137

sumbangaN atau TIP

Atas manfaat ilmu pengetahuan diperolehi.

error: Content is protected !!