• Apakah ada tidur dan mati di dalam syurga

    Menurut riwayat Imam Ahmad: Daripada Abu Hurairah RA dan Abu Said, daripada Nabi SAW bercerita: Maka, terdengarlah suatu seruan:

    Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap hidup, tanpa mengalami mati selama-lamanya.

    Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap sihat, tanpa mengalami sakit selama-lamanya.

    Sesungguhnya kamu sekalian akan tetap muda, tanpa mengalami tua selama-lamanya.

    Dan sesungguhnya kamu sekalian akan tetap nikmat tanpa mengalami penderitaan selama-lamanya.

    Nabi bersabda: Empat perkara inilah yang diseru.

    Al-Hafiz Abu Bakar bin Mardawaih meriwayatkan: Daripada Jabir RA, sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): Tidur adalah saudara mati. Dan sesungguhnya penghuni syurga tidak tidur.

    Huru-hara Hari Kiamat, 530

  • Kelahiran bayi dalam syurga?

    Apabila penghuni syurga menginginkan anak, maka mereka diberi anak, seperti halnya semasa hidup di dunia, benarkah?

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Said RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Apabila seorang Mukmin (orang beriman) menginginkan anak di syurga, maka dikandung anak itu, dilahirkan dan dibesarkannya dalam sekelip (sebentar) seperti yang diinginkan Mukmin itu?

    Menurut Tirmidzi, hadis ini (statusnya) hasan gharib, sedangkan al-Hafiz adh-Dhiya al-Maqdisi mengatakan: Menurutku hadis ini sesuai syarat (Imam) Muslim.

    Sufyan ats-Tsauri meriwayatkan, daripada Abban, daripada Abus Siddiq an-Naji, daripada Abu Said, dia berkata: Pernah ditanyakan, wahai Rasulullah, mungkinkah dilahirkan seorang anak bagi penghuni syurga? Bukankah anak itu melengkapi kegembiraan?

    Rasul menjawab: Benar, demi Allah yang menggenggam jiwaku, tetapi itu terjadi hanya selama waktu seseorang daripada kamu sekalian berangan-angan, maka terjadilah anak itu, dikandung dan disusukan, lalu menjadi pemuda.

    Penjelasan Rasulullah pada hadis terakhir ini menunjukkan peristiwa kelahiran anak benar-benar terjadi.

    Ada dinukilkan (dipetik) daripada sejumlah tabiin seperti Thawus, Mujahid, Ibrahim an-Nakhaie dan lain-lain, bahawa di syurga tidak ada peristiwa kelahiran anak.

    Ini benar, kerana hubungan seksual yang dilakukan penghuni syurga tidak menyebabkan terjadi janin seperti halnya di dunia. Dunia memang merupakan alam yang menghendaki berlangsungnya keturunan, untuk memakmurkannya. Lain halnya syurga, yang menghendaki kekalnya kerajaan. Oleh kerana itu, dalam hubungan seksual di sana tidak terjadi keluarnya mani yang mengakibatkan terputusnya kelazatan persetubuhan. Namun apabila ada seseorang penghuni syurga yang menginginkan anak, maka apa yang diinginkan itu terjadi, sebagaimana difirmankan Allah (maksudnya): Mereka memperoleh apa saja yang mereka kehendaki pada sisi Tuhan mereka. Demikianlah balasan orang-orang yang berbuat baik.” (Az-Zumar, 34)

    Sumber: Huru-hara Hari Kiamat, 527 & 528

  • Apakah orang lelaki melakukan persetubuhan di dalam syurga?

    Menurut riwayat Abu Daud ath-Thayalisi: Daripada Anas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Seorang Mukmin di dalam syurga diberi kekuatan sekian dan sekian lelaki.

    Saya (Anas) berkata: Wahai Rasulullah, kuatkah dia melakukan itu?

    Rasul menjawab: Dia diberi kekuatan seratus (orang lelaki).

    Ath-Thabarani meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA: Pernah ditanya; wahai Rasulullah, apakah orang lelaki melakukan persetubuhan di dalam syurga? — Dan menurut riwayat lain; apakah kita menyetubuhi isteri-isteri kita? — Rasulullah menjawab: Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya seorang lelaki dalam satu pagi benar-benar menyetubuhi seratus perawan.

    Al-Hafiz adh-Dhiya mengatakan: Menurutku hadis ini sesuai syarat hadis sahih.

    Huru-hara Hari Kiamat, 527

  • Andai wanita syurga mengintip ke bumi

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Anas RA, (sabda) Rasulullah SAW: Sesungguhnya berangkat di waktu pagi atau petang di jalan Allah adalah lebih baik daripada dunia seisinya. Sesungguhnya sebatang busur panah milik seorang daripada kamu sekalian atau tempat cambuknya di syurga, adalah lebih baik dari dunia seisinya. Dan andai ada seorang wanita syurga mengintip ke bumi, nescaya baunya memenuhi ruang di antara bumi dan langit, dan nescaya semuanya menjadi harum. Dan sesungguhnya tudung di atas kepalanya lebih baik dari dunia seisinya.

    Menurut riwayat al-Bukhari: Andai ada seorang wanita penghuni syurga mengintip ke bumi, nescaya dia menerangi ruang di antara bumi dan langit, dan nescaya baunya memenuhi ruang di antara kedua-duanya. Sesungguhnya tudung di atas kepalanya lebih baik dari dunia seisinya.

    Huru-hara Hari Kiamat, 526

  • Syurga tidak dimasuki nenek-nenek

    Abu Bakar bin Syaibah meriwayatkan: Daripada Aisyah RAnha, Rasulullah pernah didatangi seorang nenek daripada kalangan Ansar, maka nenek itu berkata: Wahai Rasulullah, doakan aku kepada Allah agar memasukkan aku ke dalam syurga.

    Baginda menjawab: Sesungguhnya syurga tidak dimasuki nenek-nenek.

    Rasulullah pergi solat, kemudian kembali kepada Aisyah.

    Aisyah mengadu: Nenek itu berasa sedih dan susah sekali mendengar perkataan anda tadi.

    Baginda bersabda: Sesungguhnya memang begitu. Sesungguhnya apabila Allah telah memasukkan nenek-nenek ke dalam syurga, maka mereka diubah-Nya menjadi gadis kembali.

    Huru-hara Hari Kiamat, 524

  • Cantik jelita wajah mereka

    Ath-Thabarani meriwayatkan: Daripada Ummu Salamah RAnha; dia berkata: Saya pernah bertanya: Wahai Rasulullah, beritahu saya mengenai mereka yang diceritakan Allah dalam firman-Nya: وحور عين (ayat 22, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Dan (dalam syurga) ada bidadari-bidadari yang matanya bercahaya).

    Baginda bersabda: (Mereka adalah) bidadari-bidadari yang matanya bercahaya. Pelupuk mata bidadari-bidadari itu (selalu berkedip-kedip) bagaikan sayap burung nasar.

    Saya berkata: Beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 23, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Laksana mutiara yang tersimpan dengan baik).

    Baginda bersabda: (Mereka berkulit) jernih sejernih mutiara yang tersimpan dalam kerangnya, yang belum disentuh tangan-tangan (manusia).

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 70, surah ar-Rahman — bermaksud: Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik lagi cantik jelita).

    Baginda bersabda: (Mereka) baik akhlaknya, cantik jelita wajahnya.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 49, surah as-Saffat — bermaksud: Seolah-olah mereka adalah telur yang tersimpan dengan baik).

    Baginda bersabda: Kelembutan mereka selembut selaput dalam telur yang ada di sebalik cengkerangnya, iaitu kulit ari yang terlekat pada putih telur.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 37, surah al-Waqi’ah — bermaksud: Penuh cinta lagi sebaya umurnya).

    Baginda bersabda: (Mereka adalah) wanita-wanita yang dunia sudah menjadi nenek-nenek buruk dan beruban, di syurga mereka menjadi wanita-wanita kesayangan yang penuh cinta, umur mereka sebaya seolah-olah lahir pada hari yang sama.

    Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya mana yang lebih utama, wanita dunia atau bidadari?

    Baginda bersabda: Bahkan wanita dunia lebih utama daripada bidadari, seperti lebih utamanya zahir atas batin.

    Saya bertanya: Wahai Rasulullah, kerana apa?

    Baginda menjawab: Kerana solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah. Allah memberi cahaya pada wajah mereka, dan memakai sutera pada tubuh mereka. Warna kulit mereka putih, pakaian mereka hijau, perhiasan mereka kuning, tempat menyimpan mereka mutiara dan sisir mereka emas. Mereka berkata: Kami adalah wanita-wanita abadi, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita bahagia, tidak akan miskin selama-lamanya. Kami adalah wanita-wanita penduduk tetap, tidak akan pindah selama-lamanya. Berbahagialah orang yang menjadi milik kami dan kami menjadi miliknya.

    Saya bertanya: Wahai Rasulullah, antara kami ada seorang wanita yang bersuamikan dua, tiga atau empat orang, lalu meninggal. Kemudian, wanita itu masuk syurga dan (bekas-bekas) suaminya pun semuanya masuk syurga. Siapakah yang akan menjadi jodohnya?

    Baginda menjawab: Wahai Ummu Salamah, wanita itu akan disuruh memilih, maka dia memilih suami yang paling luhur akhlaknya. Wanita itu berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya lelaki ini adalah yang terbaik akhlaknya terhadapku semasa di dunia, maka jodohkanlah aku dengannya.” Wahai Ummu Salamah, akhlak yang baik membawa kebaikan dunia dan akhirat.

    Huru-hara Hari Kiamat, 522-524

  • Setinggi jarak di antara langit dan bumi

    Menurut riwayat Imam Ahmad dan Tirmidzi: Daripada Abu Said RA, bahawa Rasulullah SAW pernah membacakan firman Allah: وفرش مرفوعة (ayat 34, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Dan tilam-tilam yang tebal), kemudian baginda bersabda: Demi Allah yang menggenggam jiwaku, sesungguhnya tingginya tilam-tilam itu benar-benar setinggi jarak di antara langit dan bumi. Sesungguhnya jarak di antara langit dan bumi sejauh perjalanan lima ratus tahun.

    Kemudian, at-Tirmidzi mengatakan: Hadis ini gharib, kami tidak mengenalnya, selain daripada riwayat Rusydin.

    Dia katakan pula, dalam mentafsirkan hadis ini sesetengah ulama mengatakan, bahawa yang dimaksudkan ialah tingginya tingkat di antara masing-masing dan bahawa jarak di antara masing-masing tingkat itu seperti jarak di antara langit dan bumi.

    Huru-hara Hari Kiamat, 517

  • Indahnya syurga

    Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim terdapat riwayat, daripada Rasulullah SAW (ertinya): Perhiasan (yang dipakai) orang Mukmin sampai batas yang dicapai air wuduknya.

    Kata Hasan al-Basri: Perhiasan kaum lelaki di syurga lebih indah daripada perhiasan kaum wanita.

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda (ertinya): Sesiapa masuk syurga, maka dia mendapat kenikmatan tanpa mengalami kesusahan, tidak hancur pakaiannya dan tidak hilang kemudaannya. Dalam syurga terdapat apa-apa yang tidak pernah dilihat mata sesiapa pun, tidak pernah didengar telinga sesiapa pun dan tidak terdetik dalam hati manusia mana pun.

    Muslim mengeluarkan hadis di atas sampai dengan kata-kata: “…tidak hancur pakaiannya dan tidak hilang kemudaannya.”

    At-Tabrani meriwayatkan daripada Abdullah, bahawa Nabi SAW bersabda (ertinya): Rombongan pertama yang masuk syurga, wajah mereka bagaikan cahaya bulan di malam purnama. Rombongan kedua bagaikan bintang bercahaya yang paling terang di langit. Setiap lelaki daripada mereka diberi dua orang isteri daripada bidadari, yang masing-masing memakai tujuh puluh jenis perhiasan. Sumsum pada betis kedua-duanya kelihatan dari sebalik daging dan perhiasan mereka, sebagaimana minuman berwarna merah boleh dilihat di dalam gelas kaca yang putih.”

    Huru-Hara Hari Kiamat, 517

  • Hidangan pertama penghuni syurga

    Ahmad meriwayatkan dan dikeluarkan pula oleh al-Bukhari: Daripada Anas bin Abdis Salam bin Salam, dia berkata, ketika baru datang di Madinah, Rasulullah ditanya mengenai pelbagai jenis perkara, antara lain: Makanan apakah yang pertama dimakan oleh penghuni syurga? Baginda menjawab, sari hati ikan.

    Dalam sahih Muslim terdapat riwayat daripada Tsauban, dikisahkan bahawa seorang Yahudi bertanya kepada Rasulullah: Apa hidangan pertama penghuni syurga ketika mereka baru masuk ke sana?

    Baginda menjawab: Sari hati ikan.

    “Sesudah itu, apa makanan mereka,” Yahudi itu bertanya lagi.

    Baginda menjawab: Disembelihkan untuk mereka seekor lembu syurga yang memakan pucuk-pucuk dedaun syurga.

    “Apa minuman mereka,” tanyanya lagi.

    Baginda menjawab: Daripada mata air yang disebut Salsabil.

    “Benar,” Yahudi itu berkata.

    Huru-Hara Hari Kiamat, 508

  • Tanaman di syurga cepat tumbuh, berbuah

    Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa pada suatu hari Rasulullah SAW bercerita, saat itu di sisi baginda ada seorang Badwi. Baginda bersabda: Sesungguhnya ada seorang penghuni syurga meminta izin kepada Tuhannya untuk bercucuk tanam. Tuhan bertanya kepadanya, bukankah sudah tersedia apa saja yang kamu suka!

    Benar, jawab lelaki itu, tetapi saya suka bercucuk tanam.

    Rasulullah bersabda (menyambung ceritanya): Orang itu pun menanam. Lalu tanamannya ternyata cepat tumbuh, tegak dan berbuah. Tanaman itu menjadi bergunung-gunung.

    Rasulullah bersabda: Oleh kerana itu, Tuhan berfirman kepada orang itu, ambillah wahai anak Adam. Sesungguhnya tidak ada lagi apa pun yang membuatmu kenyang.

    Abu Hurairah berkata: (Mendengar cerita itu), maka berkatalah orang Badwi itu. “Kami lihat bahawa penghuni syurga itu pasti orang Quraisy atau orang Ansar, kerana mereka adalah petani, gemar bercucuk tanam, sedang kami bukan petani.”

    Rasulullah SAW pun ketawa.

    Huru-Hara Hari Kiamat, 507 & 508

sumbangaN atau TIP

Atas manfaat ilmu pengetahuan diperolehi.

error: Content is protected !!