Angin syurga dan keharumannya

Abu Daud ath-Thayalisi meriwayatkan: Daripada Abdullah bin Amr bin As RA bahawa Nabi bersabda: Sesiapa mengaku bernasab kepada selain ayahnya sendiri, maka dia tidak akan mencium bau syurga, padahal sesungguhnya bau syurga benar-benar boleh tercium dari jarak perjalanan lima puluh tahun.

Hadis ini diriwayatkan pula oleh Ahmad, daripada Ghandar, daripada Syu’bah, di mana dia berkata: Sab’iina ‘aaman (tujuh puluh tahun).

Al-Bukhari meriwayatkan: Daripada Abdullah bin Amr, Nabi SAW bersabda: Sesiapa membunuh seorang mu’ahid (orang bukan Islam yang telah membuat perjanjian damai dengan umat Islam), maka dia tidak akan mencium bau syurga. Padahal sesungguhnya bau syurga benar-benar tercium dari jarak perjalanan empat puluh tahun.

Menurut riwayat ath-Thabarani: daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa membunuh seorang mu’ahid tanpa alasan yang benar, maka dia tidak akan mencium bau syurga. Padahal sesungguhnya bau syurga tercium dari jarak perjalanan setahun.

Hadis yang sama telah diriwayatkan pula oleh Abu Daud dan at-Tirmidzi daripada Abu Hurairah secara marfu’, di mana dia katakan: Sab’iina khariifan (tujuh puluh musim gugur).

Diceritakan pula dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim: Bahawa Saad bin Muaz melalui Anas bin An-Nadhar ketika dia terbunuh di perang Uhud. Waktu itu dia tidak mengenalinya kerana banyaknya luka. Yang boleh mengenalinya hanya saudara perempuannya, bernama Ar-Rabi’ binti An-Nadhar dengan melihat jari-jarinya. Pada tubuhnya terdapat lebih daripada 80 pukulan pedang, tusukan tombak dan lemparan panah. Semoga Allah meredainya. Saad bin Muaz mengatakan: Anas telah mencium bau syurga (sebelum kewafatannya).

Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 543-544