Daripada Abu ‘Amru — ada dikatakan Abi ‘Amrah Sufyan bin Abdullah RA, dia berkata: Saya bertanya, wahai Rasullah, katakanlah padaku mengenai Islam suatu pernyataan yang tidak akan saya tanyakan lagi kepada seseorang selain engkau.
Rasulullah SAW menjawab: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamah (tetap teguh).” (Diriwayatkan oleh Muslim)
Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 102 & 103
Huraian:
Hadis ini menghimpunkan makna Islam dan iman secara keseluruhan.
Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Ahqaf, ayat 13 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)
Dalam keterangan diberikan tafsir itu: Setelah Tuhan menerangkan fahaman dan amalan yang salah dan terpesong, maka dengan ayat ini dan yang berikutnya, Tuhan menyatakan cara orang-orang yang baik amalannya dan bahagia balasannya. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)
Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat, ayat 30 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1271 & 1272)
Keterangan dalam tafsir itu: Setelah menerangkan perihal orang-orang kafir dan balasannya, maka dalam ayat ini dan ayat berikutnya, Allah Taala menerangkan perihal orang-orang beriman dan balasan yang sebaik-baiknya yang akan diberikan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1272)
Menurut Riyadus Solihin, sesetengah ulama ahli makrifat (ahli ilmu mengenai Allah) berkata: Rujukan istiqamah (tetap teguh) kepada dua hal, iaitu kebenaran iman kepada Allah dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah sama ada lahir mahupun batin.
Nabi SAW pernah bersabda: Istiqamah (tetap teguh) dan jangan menghitung-hitung (amalan baikmu). Ketahuilah bahawa sebaik-baik amalan perbuatan kamu ialah solat dan tidak ada yang memelihara wuduk melainkan orang Mukmin (beriman). (Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 103)