Daripada Asma binti Abu Bakar as-Siddiq berkata: Ibuku datang ke tempatku sedang dia adalah seorang musyrik pada masa Rasulullah SAW. Kemudian, saya meminta fatwa kepada Rasulullah. Saya berkata: Ibuku datang padaku dan dia ingin meminta sesuatu, apakah boleh saya menyambung kekeluargaan dengan ibuku? Baginda menjawab: Ya, sambunglah kekeluargaan dengan ibumu. (Muttafaq alaih – ada dalam Sahih al-Bukhari, Muslim & Abu Dawud)
Huraian:
Ada yang mengatakan bahawa yang datang itu ibu kandungnya sendiri, tetapi ada pula yang mengatakan bahawa itu adalah ibu dari susuan. Pendapat yang sahih ialah pendapat yang pertama.
Hadis ini menunjukkan boleh menyambung ikatan keluarga dengan kerabat yang musyrik. Hal ini didukung oleh firman Allah yang bermaksud: Dan pergaulilah kedua-duanya di dunia dengan baik.” (Luqman, 15)
Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 258