Ath-Thabarani meriwayatkan: Daripada Ummu Salamah RAnha; dia berkata: Saya pernah bertanya: Wahai Rasulullah, beritahu saya mengenai mereka yang diceritakan Allah dalam firman-Nya: وحور عين (ayat 22, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Dan (dalam syurga) ada bidadari-bidadari yang matanya bercahaya).
Baginda bersabda: (Mereka adalah) bidadari-bidadari yang matanya bercahaya. Pelupuk mata bidadari-bidadari itu (selalu berkedip-kedip) bagaikan sayap burung nasar.
Saya berkata: Beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 23, daripada surah al-Waqi’ah — bermaksud: Laksana mutiara yang tersimpan dengan baik).
Baginda bersabda: (Mereka berkulit) jernih sejernih mutiara yang tersimpan dalam kerangnya, yang belum disentuh tangan-tangan (manusia).
Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 70, surah ar-Rahman — bermaksud: Di dalam syurga-syurga itu ada bidadari-bidadari yang baik lagi cantik jelita).
Baginda bersabda: (Mereka) baik akhlaknya, cantik jelita wajahnya.
Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 49, surah as-Saffat — bermaksud: Seolah-olah mereka adalah telur yang tersimpan dengan baik).
Baginda bersabda: Kelembutan mereka selembut selaput dalam telur yang ada di sebalik cengkerangnya, iaitu kulit ari yang terlekat pada putih telur.
Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya tentang firman-Nya: … (ayat 37, surah al-Waqi’ah — bermaksud: Penuh cinta lagi sebaya umurnya).
Baginda bersabda: (Mereka adalah) wanita-wanita yang dunia sudah menjadi nenek-nenek buruk dan beruban, di syurga mereka menjadi wanita-wanita kesayangan yang penuh cinta, umur mereka sebaya seolah-olah lahir pada hari yang sama.
Saya berkata: Wahai Rasulullah, beritahu saya mana yang lebih utama, wanita dunia atau bidadari?
Baginda bersabda: Bahkan wanita dunia lebih utama daripada bidadari, seperti lebih utamanya zahir atas batin.
Saya bertanya: Wahai Rasulullah, kerana apa?
Baginda menjawab: Kerana solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah. Allah memberi cahaya pada wajah mereka, dan memakai sutera pada tubuh mereka. Warna kulit mereka putih, pakaian mereka hijau, perhiasan mereka kuning, tempat menyimpan mereka mutiara dan sisir mereka emas. Mereka berkata: Kami adalah wanita-wanita abadi, tidak akan mati. Kami adalah wanita-wanita bahagia, tidak akan miskin selama-lamanya. Kami adalah wanita-wanita penduduk tetap, tidak akan pindah selama-lamanya. Berbahagialah orang yang menjadi milik kami dan kami menjadi miliknya.
Saya bertanya: Wahai Rasulullah, antara kami ada seorang wanita yang bersuamikan dua, tiga atau empat orang, lalu meninggal. Kemudian, wanita itu masuk syurga dan (bekas-bekas) suaminya pun semuanya masuk syurga. Siapakah yang akan menjadi jodohnya?
Baginda menjawab: Wahai Ummu Salamah, wanita itu akan disuruh memilih, maka dia memilih suami yang paling luhur akhlaknya. Wanita itu berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya lelaki ini adalah yang terbaik akhlaknya terhadapku semasa di dunia, maka jodohkanlah aku dengannya.” Wahai Ummu Salamah, akhlak yang baik membawa kebaikan dunia dan akhirat.
Huru-hara Hari Kiamat, 522-524