HADIS

  • Bara api di tangan

    Daripada Ibnu Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW melihat cincin emas pada jari seorang lelaki, lalu baginda melepaskannya dan melemparkannya, dan bersabda: Seorang daripada kamu sengaja mencari bara api dari neraka, lalu dia menjadikannya di tangannya.

    Maka, setelah Rasulullah SAW pergi dikatakan kepada lelaki terbabit: Ambillah cincinmu, manfaatkan dengannya.

    Lelaki terbabit menjawab: Tidak, demi Allah, saya tidak akan mengambilnya selama-lamanya. Sesungguhnya ia telah dilemparkan oleh Rasulullah SAW. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 179.

  • 5 hak jalan

    Daripada Abu Said al-Khudri RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Hindarilah kamu daripada duduk-duduk di jalanan.

    Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, kami tidak dapat menghindari daripada duduk-duduk di sini kerana kami berbincang-bincang di sini.

    Maka, Rasulullah SAW bersabda: Jika kamu masih tetap ingin duduk-duduk di situ, maka berikanlah hak jalan.

    Mereka bertanya: Apakah hak jalan, wahai Rasulullah?

    Baginda bersabda: Hak jalan iaitu menundukkan pandangan, menahan diri daripada mengganggu, menjawab salam, menyuruh perbuatan makruf (baik) dan mencegah kemungkaran. (Muttafaq alaih)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 178.

  • Binasa apabila banyak berlaku keburukan

    Daripada Ummul Mukminin Ummul Hakam Zainab binti Jahsy RAnha meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW masuk ke rumahnya dalam keadaan panik, lalu mengucapkan: La ilaaha illallaah. Kecelakaan bagi bangsa Arab, kerana adanya keburukan yang telah dekat. Pada hari itu penutup Yakjuj dan Makjuj telah terbuka seperti ini.

    Dan baginda membentukkan bulatan dengan kedua-dua jarinya yakni ibu jari dan jari sebelahnya (jari telunjuk).

    Maka, saya bertanya, wahai Rasulullah, apakah kami akan binasa, sedangkan dalam kalangan kami masih ada orang-orang soleh?

    Baginda menjawab: Ya, apabila keburukan itu telah banyak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari, Muslim dan Ahmad)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 178.

  • Umpama dua kumpulan dalam sebuah kapal

    Daripada an-Nu’man bin Basyir RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Perumpamaan orang yang berdiri untuk mencegah larangan-larangan Allah dan orang yang melanggar larangan-larangan-Nya adalah bagaikan suatu kaum yang melakukan pemilihan di dalam sebuah kapal. Sehingga sesetengah daripada mereka berada di bahagian atas kapal, sedangkan sesetengah yang lainnya berada di bahagian bawah kapal. Orang-orang yang berada di bahagian bawah kapal apabila hendak mengambil air, tentu saja melalui orang-orang yang berada di atasnya, maka mereka berkata, “bagaimana seandainya kita membuat lubang saja di bahagian bawah kita ini, tentu tidak mengganggu orang berada di atas kita”. Maka, jika orang di bahagian atas membiarkan orang di bahagian bawah melakukan kehendaknya, pasti mereka akan binasa semua. Tetapi jika (orang di bahagian atas) mencegah tangan orang di bahagian bawah, tentu mereka selamat dan selamat semuanya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan bahawa seksaan orang-orang melakukan maksiat dapat merata kepada semua orang apabila tidak ada yang melakukan amar ma’ruf nahi munkar (menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran).

    Firman Allah bermaksud: “Dan jagalah diri kamu daripada berlakunya dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan saja akan menimpa orang-orang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum)…” (Surah al-Anfal, 25)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 176/177.

  • Tiada iman walau sebesar biji sawi

    Daripada Ibnu Mas’ud RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang nabi pun diutuskan oleh Allah sebelum saya melainkan dia mempunyai beberapa kekasih pembela dan beberapa sahabat daripada kalangan umatnya, yang mengambil teladan dengan sunahnya serta mengikuti perintahnya. Kemudian, selepas mereka ini akan digantikan oleh beberapa pengganti yang suka mengatakan apa yang tidak mereka lakukan dan mereka melakukan apa yang mereka tidak diperintahkan.

    Maka, sesiapa berjuang melawan mereka dengan tangannya, maka dia adalah seorang mukmin. Sesiapa berjuang melawan dengan lisannya, dia juga seorang mukmin. Dan sesiapa berjuang melawan mereka dengan hatinya, dia juga seorang mukmin. Dan selain itu tiada keimanan sekalipun hanya sebiji sawi. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam Sunan Abi Dawud terdapat hadis riwayat daripada Nabi yag bersabda: Apabila suatu kesalahan di bumi diketahui, maka orang yang menyaksikannya lalu dia membenci kesalahan tersebut bererti dia seperti orang yang tidak menyaksikannya. Dan orang yang tidak menyaksikannya tetapi dia rela (reda) dengan kesalahan tersebut, maka dia seperti orang yang menyaksikannya.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 175/176.

  • Mengubah kemungkaran mengikut kemampuan

    Daripada Abu Said al-Khudri RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa antara kamu melihat suatu kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Maka, jika dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Maka, jika tidak mampu, maka dengan hatinya. Dan yang demikian itu (yang terakhir itu) selemah-lemah iman. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini sebagai bukti kewajipan mengubah kemungkaran sebatas kemampuan.

    Imam Ahmad berkata: Mengubah dengan tangan bukanlah dengan pedang dan senjata.

    Beliau juga mengatakan: Manusia memerlukan kesantunan dan kelembutan. Menyuruh berbuat yang makruf (kebaikan) tanpa kekerasan melainkan kepada orang yang menampakkan kefasikannya (kerosakannya), maka tidak ada keharaman kepadanya.

    Beliau turut menyampaikan: Hendaklah memerintahkan (menyuruh) dengan halus. Jadi, jika mereka mendengar hal yang dibenci (tidak mahu didengar), maka yang berkaitan (subjek terbabit) tidak marah, sehingga dia akan berubah dengan sendirinya.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 175.

  • Orang kuat menguasai diri ketika marah

    Daripada Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Orang kuat bukan yang menang berlawan. Sesungguhnya orang kuat ialah orang yang dapat menguasai dirinya ketika marah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam hadis ini mengandungi erti pujian terhadap orang dapat menguasai dirinya ketika marah.

    Firman Allah bermaksud: “Dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang lain, dan Allah mencintai orang berbuat kebaikan.” (Surah Ali-Imran, 134)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 70/71.

  • Orang dikehendaki kebaikan, keburukan

    Anas berkata: Rasulullah SAW bersabda: Jika Allah menghendaki kebaikan pada seseorang hamba-Nya, maka Dia mempercepatkan seksanya di dunia. Tetapi jika Allah menghendaki keburukan pada seseorang hamba-Nya, maka Dia membiarkannya dengan melakukan dosanya, sehingga nanti akan dipenuhkan seksanya di hari kiamat.

    Dan Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya besarnya pahala setimpal besarnya ujian, dan sesungguhnya Allah apabila mencintai sesuatu kaum, maka Dia akan memberi ujian kepada mereka. Oleh kerana itu, sesiapa yang rela menerimanya, dia akan memperoleh keredaan daripada Allah dan sesiapa yang marah-marah, maka dia memperoleh kemurkaan Allah. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia mengatakan hadis ini [statusnya] hasan sahih)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 68.

  • Bersabar, usah tergesa-gesa

    Daripada Abu Abdullah Khabbab bin al-Aratt berkata: Kami mengadu kepada Rasulullah SAW ketika itu baginda bersandar pada jubahnya di bawah naungan Kaabah. Maka, kami berkata: Mengapa anda tidak memohonkan pertolongan untuk kita, sehingga kita menang? Mengapa anda tidak berdoa untuk kita?

    Baginda bersabda: Pernah terjadi pada orang-orang sebelum kamu seseorang ditangkap, kemudian digalikan tanah untuknya dan dia diletakkan di dalam kubang tersebut, kemudian diambilkan satu gergaji dan diletakkan di atas kepalanya, kemudian kepalanya dibelah menjadi dua. Selain itu, dia pun disisir dengan sisir dibuat daripada besi yang dikenakan di bawah daging dan tulangnya. Semua seksaan ini tidak memalingkannya daripada agamanya. Demi Allah, pastilah Allah akan menyempurnakan hal ini, sehingga seseorang yang berkenderaan dari Sana’a ke Hadhramaut tidak ada yang ditakuti melainkan Allah atau kerana takut pada serigala atas kambingnya. Namun kamu semua tergesa-gesa. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 66.

  • Jangan mengharapkan kematian

    Daripada Anas berkata, Rasulullah SAW bersabda: Jangan seseorang antara kamu mengharapkan datang kematian kerana suatu mudarat yang menimpanya. Jika memang dia terpaksa harus berbuat demikian, maka hendaklah dia mengatakan: Wahai Allah, tetapkanlah saya hidup selama kehidupan baik untukku dan matikanlah saya apabila kematian yang memang baik untukku. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam hadis ini terdapat larangan mengharapkan kematian oleh kerana cubaan duniawi. Tetapi hendaklah bersabar atas takdir Allah dan memohon keselamatan kepada-Nya serta menyerahkan urusannya kepada Allah.

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 66