HADIS

  • Musibah

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa dikehendaki kebaikan oleh Allah, maka Allah memberikan musibah padanya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Allah berfirman, maksudnya: Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buahan, dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah, 155)

    Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 65

  • Cintai saudara

    Daripada Anas meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai untuk saudaranya hal-hal yang dia cintai untuk dirinya sendiri. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 172

  • Agama adalah nasihat

    Daripada Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Dari meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: Agama adalah nasihat.

    Kami berkata: Untuk siapa?

    Baginda berkata: Bagi Allah, bagi kitab-Nya, bagi rasul-Nya, bagi pemimpin-pemimpin muslimin serta bagi umat Islam secara umum. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 171/172

  • Sesiapa mengada-adakan, tertolak

    Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kita ini sesuatu yang tidak termasuk bahagian daripadanya (agama), maka dia tertolak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam riwayat Imam Muslim juga disebutkan: Sesiapa melakukan suatu amalan yang tiada ada perintah daripada kami ke atasnya (amalan itu), maka dia tertolak.

    Hadis ini termasuk dasar dan kaedah agama. Oleh kerana itu, hadis ini dijadikan dalil untuk membatalkan akad-akad yang dilarang dan menolak hal-hal yang baru dan hal-hal dilarang.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 163

  • Umpama belalang dan kupu-kupu jatuh ke dalam api

    Daripada Jabir RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan saya dan perumpamaan kamu semua adalah bagaikan seorang lelaki yang menyalakan api, kemudian banyak belalang dan kupu-kupu jatuh ke dalam api, sedangkan orang itu mencegahnya jangan masuk ke situ. Dan saya adalah seorang yang merintangi kamu semua dari neraka. Tetapi kamu masih juga hendak lepas daripada pegangan saya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Nabi SAW menyerupakan jatuhnya orang-orang jahil dan orang-orang yang menyimpang dengan melakukan kemaksiatan dan (menuruti) syahwat mereka ke dalam neraka serta semangat mereka untuk tercebur ke dalamnya, padahal Nabi telah mencegah mereka bagaikan jatuhnya kupu-kupu ke dalam api lantaran keinginannya dan lemah fikirannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 157

  • Umpama bumi disirami hujan

    Daripada Abu Musa RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya perumpamaan petunjuk dan ilmu yang saya diutus oleh Allah untuk membawanya ialah bagaikan hujan yang menyirami bumi. Di antara bumi ada bahagian yang baik. Tanah bahagian ini dapat menerima air, sehingga ia dapat menumbuhkan rumput dan lalang yang banyak sekali, dan di antara bumi ada pula yang gersang. Tanah bahagian ini dapat menahan air. Maka, Allah memberikan manfaat kepada manusia dengan tanah ini, kerana mereka dapat minum daripadanya, dapat menyiram dan menanam.

    Ada pula hujan menyiram bahagian bumi yang lain. Tanah ini hanyalah merupakan tanah rata lagi licin, tidak dapat menahan air dan tidak dapat menumbuhkan rumput.

    Jadi, itulah perumpamaan orang yang pandai dalam agama Allah dan dapat pula memberikan manfaat dengan apa yang saya diutus oleh Allah untuk membawanya, lalu dia dapat memahami dan mengajarkannya, dan perumpamaan orang yang enggan mengangkat kepala untuk menerima petunjuk dan ilmu dan tidak menerima petunjuk Allah yang saya diutus untuk membawanya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 156

  • Hendaklah menyamakan saf

    Daripada Abu Abdillah an-Nukman bin Basyir RA meriwayatkan: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, hendaklah kamu benar-benar meratakan (menyamakan) saf kamu, atau Allah akan membalikkan antara wajah-wajah kamu semua. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam riwayat Muslim disebutkan: Rasulullah SAW meratakan saf-saf kami sehingga baginda seakan-akan meratakan letaknya anak panah sehingga baginda meyakinkan bahawa kami semua telah mengerti mengenainya. Kemudian, pada suatu hari baginda keluar, lalu baginda berdiri sehingga hampir baginda bertakbir, tiba-tiba baginda melihat seorang lelaki yang menonjolkan dadanya, lalu baginda bersabda: Hai hamba-hamba Allah, hendaklah kamu semua benar-benar meratakan saf-saf kamu semua atau Allah membalikkan antara wajah-wajah kamu semua.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 155

  • Makan dengan tangan kanan

    Daripada Abu Muslim, dan ada dikatakan Abi Iyas Salamah bin Amr bin Al-Akwa RA, meriwayatkan bahawa ada seorang lelaki makan di samping Rasulullah SAW dengan tangan kirinya.

    Kemudian baginda bersabda: Makanlah dengan tangan kananmu.

    Orang itu berkata: Aku tidak dapat.

    Baginda bersabda: Kamu tidak akan dapat.

    Tidak ada yang mencegahnya melakukan hal itu kecuali kerana kesombongannya. Akhirnya dia tidak dapat mengangkat tangan kanannya ke mulutnya. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi pensyariatan makan dengan tangan kanan.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 155

  • Semua masuk syurga kecuali orang yang tidak mahu

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Semua umatku masuk syurga, melainkan orang yang enggan.

    Baginda ditanya: Siapakah orang yang enggan, wahai Rasulullah?

    Baginda menjawab: Sesiapa yang taat kepadaku, maka dia masuk syurga, dan sesiapa yang derhaka kepadaku, maka dia enggan. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis mengandungi khabar gembira buat umat ini iaitu akan masuk syurga, melainkan mereka yang enggan iaitu mereka yang menderhaka kepada Rasulullah.

    Sumber hadis — Riyadus Solihin & Penjelasannya, 154

  • Biarkan yang tidak dijelaskan, usah banyak bertanya

    Daripada Abu Hurairah RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Biarkan apa yang tidak saya jelaskan kepada kamu sekalian, kerana sesungguhnya yang membinasakan umat-umat dahulu ialah banyak pertanyaan mereka dan perselisihan mereka dengan nabi-nabi mereka. Maka, apabila saya melarang kamu sekalian daripada sesuatu, maka jauhinya, dan apabila saya menyuruh kamu sekalian dengan sesuatu, maka lakukan mengikut kemampuan kamu sekalian. (Muttafaq alaih — Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi sababul wurud (sebabnya) iaitu suatu ketika Nabi SAW berkhutbah dan baginda berkata: Wahai manusia! Sungguh, Allah telah mewajibkan kamu semua ibadat haji. Oleh itu lakukan ibadat.

    Lantas seorang lelaki bertanya: “Apakah setiap tahun, wahai Rasulullah?”

    Baginda terdiam, sehingga lelaki terbabit mengatakannya berulang kali.

    Kemudian Rasulullah bersabda: “Andai saya berkata ya, pasti menjadi wajib dan kamu semua tidak akan mampu.”

    Kemudian baginda bersabda (hadis di atas): Biarkan apa yang…

    Hadis ini termasuk kaedah Islam yang penting. Firman Allah bermaksud: “Dan apa yang diberikan Rasul kepada kamu, maka ambillah, dan apa yang dilarangnya bagi kamu, maka tinggalkan.” (Surah al-Hasyr, ayat 7)

    Imam Malik rahimahullah berkata: “Membantah dan berdebat dapat menghilangkan cahaya ilmu daripada hati seseorang.”

    Dalam atsar disebutkan: “Apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang hamba, maka Allah membukakan baginya pintu ilmu dan menutup darinya pintu debat, dan apabila Allah menghendaki buruk pada seorang hamba, maka Allah membukakan baginya pintu berdebat dan menutup darinya pintu ilmu.”

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 153