HADIS

  • Menggantikan solat malam di siang hari

    Daripada Aisyah RAnha berkata, Rasulullah SAW apabila tidak melakukan solat malam, kerana sakit atau selainnya, maka baginda melakukan solat di siang hari sebanyak 12 rakaat. (Hadis diriwayatkan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi dalil menggantikan solat malam, demikian juga seluruh solat sunat.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 150

  • Beribadat secara berterusan

    Daripada Abdullah bin Amr bin al-As RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Wahai Abdullah, jangan kamu seperti polan (seseorang). Adalah dia selalu melakukan qiyamullail (ibadat malam), kemudian dia tidak melakukan qiyamullail lagi. (Muttafaq alaih — Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi sunah melakukan amalan baik yang telah dijadikan kebiasaan secara berterusan.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 150

  • Dicatat seperti malam hari meski dilakukan di siang hari

    Daripada Umar bin al-Khattab RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa tidur tertinggal daripada membaca wiridnya di waktu malam atau tertinggal sesuatu daripadanya, maka dia membacanya antara solat Fajar dan Zuhur, dicatat baginya sebagaimana dia membacanya pada waktu malam. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis mengandungi dalil setiap wirid yang tertinggal dan tidak dilakukan seseorang, maka Allah akan memberinya pahala sempurna apabila dia menggantikannya.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 149

  • Abu Israil dan nazarnya

    Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Pada suatu ketika Nabi SAW sedang berkhutbah, tiba-tiba ada seorang lelaki yang berdiri, maka Nabi bertanya mengenai lelaki terbabit.

    Para sahabat menjawab: Dia ialah Abu Israil. Dia bernazar hendak berdiri di terik matahari, tidak akan duduk, tidak akan berteduh, tidak akan berbicara, dan tetap akan berpuasa.

    Maka, Nabi bersabda: Perintahkan dia supaya berbicara, berteduh, duduk dan hendaklah dia menyempurnakan puasanya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan orang mendekatkan diri kepada Allah dengan perbuatan yang tidak dianggap ibadat oleh Allah, maka dia tidak wajib melakukannya meskipun dia bernazar melakukannya. Sesiapa bernazar suatu ibadat yang disyariatkan, maka dia wajib melakukannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 148

  • Binasa orang memberatkan diri

    Daripada Ibnu Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda: Binasa orang-orang yang memberat-beratkan diri. Baginda bersabda mengenainya tiga kali. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 140

  • Menahan diri daripada kejahatan adalah sedekah

    Daripada Abu Musa RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW yang bersabda: Setiap muslim mempunyai kewajipan untuk bersedekah.

    Abu Musa bertanya: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak mendapati sesuatu untuk disedekahkan?

    Baginda menjawab: Hendaklah dia bekerja dengan kedua-dua tangannya untuk dapat memberi manfaat kepada dirinya sendiri dan supaya dia dapat bersedekah.

    Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak mampu melakukannya?

    Baginda menjawab: Hendaklah dia membantu orang yang memerlukan bantuan.

    Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak dapat melakukannya?

    Baginda menjawab: Hendaklah dia menyuruh kebaikan atau hal yang baik.

    Dia bertanya lagi: Bagaimana pendapat anda jika dia tidak melakukan hal itu?

    Baginda menjawab: Hendaklah dia menahan diri daripada melakukan kejahatan, maka sesungguhnya ia adalah sedekah. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi motivasi untuk berusaha mendapatkan sesuatu yang menjadi keperluan manusia berupa makanan, minuman dan pakaian agar dia dapat menjaga mukanya daripada orang lain (tidak meminta-minta) dan berusaha mendapatkan sesuatu yang dapat digunakan untuk bersedekah agar dapat meraih pahala yang agung.

    Intisari hadis — Keutamaan membantu orang memerlukan dan terpaksa. Allah sentiasa membantu seorang hamba selagi dia berkenan membantu saudaranya.

    Keutamaan menyuruh kebaikan dan mencegah kemungkaran.

    Menahan diri daripada kejahatan adalah suatu sedekah.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 138

  • Allah reda seseorang makan, minum lalu memuji-Nya

    Daripada Anas RA berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya Allah akan reda seorang hamba yang memakan suatu makanan, kemudian dia memuji kepada Allah atas makanan dimakannya ataupun meminum suatu minuman, kemudian dia memuji kepada Allah atas minuman diminumnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan bertahmid (memuji Tuhan) ketika makan dan minum. Ini termasuk kemurahan Allah. Allah memberikan kurniaan kepada kamu berupa rezeki dan meredaimu kerana pujian diucapkan.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 137

  • Takutlah pada neraka

    Daripada Adi bin Hatim RA berkata: Saya mendengar Nabi SAW bersabda: Takutlah pada neraka walaupun dengan (menyedekahkan) sepotong kurma. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam satu (lagi) riwayat al-Bukhari dan Muslim daripada Adi bin Hatim, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda; tiada seorang daripada kamu semua melainkan akan diajak berbicara dengan Tuhannya. Antara dia dengan Tuhannya tiada seorang penterjemah (pengantara). Orang terbabit melihat ke sebelah kanannya, maka dia hanya melihat amalan perbuatan yang telah dilakukannya. Dia juga melihat ke sebelah kirinya, maka dia hanya melihat amalan perbuatan yang telah dilakukannya. Dia melihat pula ke arah depan, maka dia hanya melihat neraka yang ada di hadapannya. Oleh kerana itu, takutlah kamu semua, sekalipun dengan (menyedekahkan) sepotong kurma. Lantas sesiapa yang tidak menemukan sesuatu untuk disedekahkan, maka bersedekahlah dengan ucapan yang baik saja.

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi motivasi agar menambah amalan kebaikan serta mengurangkan perbuatan buruk. Sedekah dengan harta atau perkataan dapat menjadi tabir dari neraka, meskipun hanya sedikit.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 137

  • Setiap langkah ada catatan

    Daripada Jabir RA berkata: Bani Salimah berkehendak untuk berpindah tempat dekat masjid. Berita itu sampai kepada Rasulullah SAW, kemudian baginda bersabda kepada Bani Salimah: Sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa kamu semua hendak berpindah dekat masjid?

    Mereka menjawab: Benar, wahai Rasulullah, kami menghendaki demikian.

    Baginda bersabda: Wahai Bani Salimah, tetaplah di rumah-rumah kamu sahaja, akan dicatat langkah-langkah kamu. Tetaplah di rumah-rumah kamu saja, akan dicatat langkah-langkah kamu. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Dalam riwayat lain disebutkan: Sesungguhnya setiap langkah itu (dihitung) satu darjat.

    Imam al-Bukhari meriwayatkan pula dengan pengertian yang semakna dengan yang di atas, daripada riwayat Anas RA.

    PENJELASAN

    Bani Salimah adalah kabilah yang terkenal daripada sahabat Ansar.

    Hadis ini mengandungi keutamaan berjalan menuju masjid, merupakan kebaikan yang ditulis (pahala) bagi pelakunya. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah bermaksud: “Dan Kami menuliskan apa yang telah mereka kerjakan dan bekas-bekas yang mereka tinggalkan.” (Surah Yasin, 12)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 135

  • Hasil tanaman dimakan manusia, haiwan, dicuri jadi sedekah

    Daripada Jabir RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tidaklah seorang Muslim yang menanam suatu tanaman, melainkan apa sahaja dimakan daripada hasil tanaman itu merupakan sedekah baginya, dan apa sahaja dicuri daripada tanaman itu merupakan sedekah baginya, dan tidak pula tanaman itu dikurangi oleh seseorang, melainkan itu pun merupakan sedekah baginya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan: Tidaklah seorang Muslim menanam suatu tanaman, kemudian hasil tanamannya itu dimakan oleh manusia ataupun haiwan, atau burung, melainkan semua itu merupakan sebagai sedekah baginya sampai hari kiamat.

    Dalam riwayat Muslim yang lagi disebutkan: Tidaklah seorang Muslim menanam suatu tanaman, tidak pula dia menanam suatu tumbuhan, kemudian hasil daripada tanamannya itu dimakan oleh manusia, atau haiwan atau apa sahaja, melainkan semua itu merupakan sedekah baginya.

    Imam Muslim dan Imam al-Bukhari meriwayatkan hadis-hadis ini daripada riwayat Anas RA.

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi bukti keluasan kemurahan Allah dan bahawa Allah memberi pahala setelah meninggal dunia sebagaimana Allah memberi pahala ketika dia masih hidup dan bahawa suatu yang diambil daripada seseorang, maka hal itu sebagai sedekah bagi pemiliknya.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 134 & 135