HADIS

  • Amalan baik adalah sedekah

    Daripada Jabir RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Setiap makruf (perbuatan baik) adalah sedekah. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari — dan Muslim daripada riwayat Huzaifah RA)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keterangan bahawa semua perbuatan baik dilakukan manusia, maka hal itu merupakan sedekah yang diberikan pahala untuknya.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 134

  • Tetap dicatat pahala ketika berkelana, sakit

    Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila seorang hamba sakit atau berkelana, maka dicatatkan baginya (pahala) sebagaimana dia melakukan amalan (ibadat, kebaikan) ketika dia bermukim (berada di rumah, di tempatnya) dan semasa sihat. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keagungan kurnia Allah. Orang mempunyai amalan perbuatan yang dilakukannya secara berterusan, kemudian dia tidak melakukannya kerana ada alasan yang benar, maka dicatat baginya sebagaimana dia melakukan amalan itu.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 134

  • Solat dua waktu dingin

    Foto hiasan – Unsplash

    Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesiapa melakukan solat pada dua waktu dingin, dia masuk syurga. (Hadis muttafaq alaih — yakni diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Waktu dingin ialah solat Subuh dan Asar.

    Sisi khusus menyebutkan Subuh dan Asar berbanding solat waktu yang lain. Ini kerana waktu Subuh adalah paling nikmat untuk tidur, manakala waktu Asar merupakan waktu sibuk. Seseorang yang menjaga dua solat ini, dia akan menjaga solat selainnya.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 133 & 134

  • Tiga perkara hapus kesalahan, angkat darjat

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Mahukah kamu saya tunjukkan mengenai suatu amalan yang dengannya Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan serta mengangkat darjat-darjat? Mereka (sahabat) berkata: Tentu, wahai Rasulullah.
    Baginda bersabda: (Iaitu) menyempurnakan wuduk pada keadaan tidak disukai, banyak melangkah ke masjid, dan menunggu solat setelah selesai suatu solat. Maka, itu bagi kamu ribath. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Ketiga-tiga hal itu disebutkan ribath kerana merupakan perkara yang paling memusuhi pada diri seseorang. Perbuatan ini dapat menutup jalan syaitan dan hawa nafsu, kerana jihad melawan hawa nafsu adalah jihad terbesar.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 133

  • Ibadat penghapus dosa

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Solat lima waktu, solat Jumaat sampai solat Jumaat berikutnya, puasa Ramadan sampai puasa Ramadan berikutnya dapat menjadi penghapus dosa antara kedua-duanya, apabila dijauhi dosa-dosa besar. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi bukti betapa luas rahmat Allah dan berterusan melakukan kewajipan dapat melebur dosa-dosa kecil.

    Firman Allah bermaksud: Mereka yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan keji, kecuali kesalahan-kesalahan kecil. Sungguh Tuhanmu Maha Luas keampunan-Nya. (Surah an-Najm, ayat 32)

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 133

  • Titisan air wuduk mengeluarkan kesalahan seseorang

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jika seorang Muslim ataupun Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh mukanya, maka keluar dari mukanya setiap kesalahan yang dia lihat dengan kedua-dua matanya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Selanjutnya apabila dia membasuh kedua-dua tangannya, maka keluar daripada kedua-dua tangannya semua kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir. Kemudian, apabila dia membasuh kedua-dua kakinya, maka keluarlah semua kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua kakinya itu bersama air atau bersama titisan air yang terakhir, sehingga keluar orang terbabit dalam keadaan bersih daripada semua dosa. (Hadis riwayat Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan wuduk — dapat menghapus kesalahan anggota badan, meleburkan dosa-dosa.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 132

  • Ganjaran kerana buang gangguan

    Daripada Abu Hurairah RA, meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya saya telah melihat seorang lelaki bersukaria di syurga kerana dia pernah memotong pohon di tengah jalan yang mengganggu Muslimin. (Hadis riwayat Muslim)

    Dalam riwayat Imam Muslim yang lain disebutkan: Suatu ketika ada seorang lelaki berjalan melalui satu dahan pokok melintang di tengah jalan, kemudian dia berkata; demi Allah, sungguh dahan pokok ini akan aku singkirkan dari jalanan Muslimin agar tidak mengganggu mereka. Lantas lelaki itu dimasukkan ke dalam syurga.

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan segala sesuatu bermanfaat bagi umat Islam dan menghilangkan bahaya daripada mereka — dan hal berkenaan merupakan sebab diampunkan dosa dan masuk syurga.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 131/132

  • Keampunan kerana seekor anjing

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suatu ketika ada seorang lelaki sedang berjalan di suatu jalan. Dia berasa sangat haus, lalu dia menemui sebuah sumur. Dia pun turun ke dalam sumur itu dan minum. Selepas itu dia keluar. Tiba-tiba ada seekor anjing sedang menjulurkan lidahnya sambil menelan tanah kerana sangat kehausan. Orang itu berkata: Pasti anjing ini telah berasa kehausan sebagaimana yang telah aku rasa tadi.

    Dia pun turun lagi ke dalam sumur, lalu memenuhkan sepatunya dengan air, kemudian membawa sepatunya dengan mulutnya, sehingga dia naik dari sumur tadi, lalu dia memberi minum pada anjing terbabit.

    Allah berterima kasih pada orang terbabit dan memberikan keampunan padanya.

    Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah kita juga mendapat pahala dengan sebab memberi minum pada haiwan?

    Baginda menjawab: (Berbuat baik) kepada setiap makhluk yang bernyawa ada pahalanya. (Muttafaq alaih — hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menjelaskan keutamaan berbuat kebaikan kepada haiwan dan menjadi sebab diampunkan dosa dan masuk syurga.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 131

  • Cabang iman

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Iman mempunyai 70 lebih atau 60 lebih cabang. Cabang paling utama ialah ucapan La ilaha illallah (tiada tuhan melainkan Allah), dan yang paling rendah ialah menyingkirkan hal-hal yang mengganggu di jalan. Dan malu adalah satu cabang daripada iman. (Hadis muttafaq alaih — diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 130

  • Jangan meremehkan jiran

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Wahai wanita muslimah! Jangan seorang antara kamu meremehkan jirannya meskipun (pemberiannya) berupa kaki kambing (kibas). (Hadis muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Imam al-Jauhari berkata: Kaki kambing kibas seperti halnya kaki ternak yang lain juga. Tetapi seringkali al-firsin (perkataan dalam hadis itu) digunakan untuk kambing.

    Hadis ini mengandungi motivasi untuk berhubungan baik dengan jiran meskipun dengan pemberian kaki kambing. Ada hadis lain yang satu maksud dengan hadis ini: “Apabila kamu memasak kuah, maka perbanyakkanlah kuahnya dan berikanlah para jiranmu”.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 130