Kategori: HADIS

  • Bernazar untuk melakukan haji dengan jalan kaki

    Daripada Abu Said ar-Ru’ani bahawa Abdullah bin Malik mengkhabarkan kepadanya, Uqbah bin Amir mengkhabarkan kepadanya, bahawa saudara perempuannya pernah bernazar untuk berjalan kaki, dan tidak mengenakan tudung, lalu dia ceritakan hal itu kepada Rasulullah (SAW), sehingga baginda bersabda (mafhumnya): Perintahkan dia untuk berkenderaan, bertudung dan berpuasa selama tiga hari.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 433

  • “Jika kamu mengetahui apa yang saya tahu, pasti kamu sedikit tertawa dan banyak menangis”

    Daripada Abu Dzar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya saya melihat apa yang kamu tidak lihat, dan saya mendengar apa yang kamu tidak dengar. Langit bersuara dan memang patut ia bersuara. Tiada tempat yang luang selebar empat jari di langit, melainkan ada malaikat yang meletakkan dahinya, lalu bersujud kepada Allah Taala. Demi Allah, jika kamu mengetahui apa yang saya tahu, pasti kamu sedikit tertawa dan banyak menangis, dan tidak bersenang-senang dengan perempuan di atas tempat tidur dan pasti kamu keluar ke jalan-jalan untuk memohon perlindungan kepada Allah Taala. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan)

    PENJELASAN

    Al-Athith (dalam teks hadis itu) ialah suara sekedup atau tempat duduk di atas unta ataupun lain-lainnya. Maksudnya ialah kerana ramai malaikat di langit yang beribadat itu telah menyebabkan langit berasa berat sehingga bersuara.

    Ashu’adaatu (dalam teks hadis) ialah jalan.

    Taj_arun (dalam teks hadis) ertinya memohon pertolongan.

    Penjelasan ini dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya. Lihat muka surat 309 & 310.

  • Ucapkanlah hasbunallahu wani’mal wakil

    Daripada Abu Said al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bagaimana saya dapat bersenang-senang, sedangkan malaikat peniup sangkakala sudah meletakkan hujung sangkakala pada mulutnya, sambil menunggu diizinkan bila dia diperintah untuk meniupkannya. Berita ini dirasakan amat berat oleh para sahabat Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda kepada mereka: Ucapkanlah “hasbunallahu wa ni’mal wakil” (cukuplah Allah [menjadi penolong] bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung). (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 311/312.

  • Empat perkara akan ditanya kepada manusia

    Foto hiasan

    Daripada Abi Barzah Nadhlah bin Ubaid al-Aslami RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan berhenti kedua-dua kaki seorang hamba sehingga dia ditanya, mengenai umurnya pada apa dia habiskan, mengenai ilmunya pada apa dia kerjakan, mengenai hartanya dari mana dia dapat dan pada apa dia belanjakan serta mengenai tubuhnya pada apa dia gunakan. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan sahih)

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 310

  • Didatangkan dengan neraka jahanam, pada hari itu

    Pada hari itu, menyesal tiada guna lagi. Foto hiasan Unsplash

    Daripada Ibn Mas’ud RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Didatangkan dengan neraka jahanam pada hari itu tujuh puluh ribu kendali, bersama setiap kendali tujuh puluh ribu malaikat menariknya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Yaumaidzin (pada hari itu), maksudnya pada hari manusia dihadapkan untuk dihisab.

    Firman Allah bermaksud: Sekali-kali tidak! Apabila bumi digoncangkan berturut-turut, dan datanglah Tuhanmu, dan malaikat berbaris-baris, dan pada hari itu diperlihatkan nerakan jahanam, dan pada hari itu sedarlah manusia, tetapi tidak berguna lagi baginya kesedaran itu. Dia berkata: Alangkah baiknya sekiranya aku dahulu mengerjakan (kebajikan) dalam hidupku ini. (Al-Fajr, 21-24)

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 305/306

  • Terpelihara darah, harta apabila mengucapkan La ilaha illallah

    Daripada Abi Abdillah Thoriq bin Asyaim RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa mengucapkan La ilaha illallah (tiada tuhan melainkan Allah), dan mengingkari apa yang disembah selain daripada Allah, haram hartanya dan darahnya, sedang perhitungannya atas Allah Taala. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    HURAIAN

    Haram hartanya dan darahnya, maksudnya haram daripada diperangi, begitu juga hartanya haram daripada diambil.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 299

  • Empat perkara terpelihara darah, harta

    Daripada Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Saya diperintah untuk memerangi manusia, sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan bahawa Muhammad Rasulullah (utusan Allah), mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Maka, apabila mereka melakukan demikian, mereka terpelihara darah dan harta benda mereka daripadaku, kecuali dengan hak Islam. Dan perhitungan (amalan) mereka (terserah) atas Allah Taala. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 298

  • Doa selepas solat diajarkan Nabi kepada Muaz

    Daripada Muaz RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW memegang tangannya, dan bersabda: Wahai Muaz! Sesungguhnya saya menyayangimu. Kemudian, saya berpesan kepadamu wahai Muaz, janganlah kamu meninggalkan doa ini setiap selesai solat, kamu katakan (baca): Allahumma a’inni ‘ala dzikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik (wahai Allah berilah saya pertolongan untuk tetap berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadat kepada-Mu dengan sebaik-baiknya.” (Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Nasai, disahihkan oleh al-Albani dalam al-Jami’)

    Doa itu dalam tulisan Arab:
    اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 293

  • Tiga perkara buat seseorang merasai manisnya iman

    Daripada Anas RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW bersabda: Ada tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, maka orang itu dapat merasai manisnya iman, iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang lain dan dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah, dan benci untuk kembali pada kufr selepas diselamatkan oleh Allah daripadanya, sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Manisnya iman ialah berasa manis/seronok dalam melaksanakan ketaatan, mahu/rela menanggung rasa berat dalam melaksanakan (tuntutan) agama dan lebih mementingkan (perkara) agama daripada (perkara berkaitan) harta duniawi.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 288/289

  • Meneladani Nabi menziarahi masjid Quba

    Daripada Ibnu Umar RA berkata: Nabi SAW pernah berziarah ke Quba berkenderaan dan berjalan, kemudian baginda melakukan solat dua rakaat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Dalam satu riwayat, Nabi SAW datang ke Masjid Quba pada setiap Sabtu berkenderaan dan berjalan, dan adalah Ibnu Umar melakukannya (juga).

    HURAIAN

    Jarak di antara Masjid Quba dan Masjid Nabi ialah 1 farsakh iaitu 3 mil.

    Hadis ini sebagai dalil sunah berziarah ke Masjid Quba kerana meneladani Rasulullah SAW.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 288