HADIS

  • Tahap syurga

    Abu Bakar bin Abu Daud meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Al-jannah (syurga) seratus darajah (ada diterjemahkan sebagai tingkat). Antara dua darajah perjalanan lima ratus tahun.

    Menurut riwayat Tirmidzi: Di antara dua darajah seratus tahun. (Tirmidzi mengatakan hadis ini hasan sahih)

    Huru-Hara Hari Kiamat, 478

  • Jannah seratus tingkat

    Menurut riwayat Imam Ahmad: Daripada Ubaidah bin Shamit RA, Nabi SAW bersabda (mafhumnya):

    “Syurga (al-jannah) seratus tingkat (darajah). (Jarak) antara dua darajah sejauh perjalanan seratus tahun.”

    Sedang riwayat Ibnu Affan RA: “Seperti di antara langit dan bumi. Dan Firdaus syurga tertinggi darajahnya. Dan daripadanya terpancar sungai-sungai yang empat. Dan Arasy di atasnya. Dan apabila kamu bermohon kepada Allah, maka pintalah kepada-Nya Firdaus.

    Huru-hara Hari Kiamat, 477

  • Lapan pintu syurga

    Ath-Thabrani meriwayatkan: Daripada Sahl bin Saad RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Di syurga ada lapan pintu. Antara lain pintu Rayyan. Tidak ada yang memasukinya selain orang-orang yang (gemar) berpuasa.”

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    “Sesiapa membiayai (memberi infaq) sepasang suami isteri (daripada hartanya) di jalan Allah, (maka dia akan) diseru (dari pintu-pintu) di syurga. Maka, sesungguhnya syurga mempunyai lapan pintu.

    Sesiapa daripada ahli solat, dipanggil dari pintu solat.

    Dan sesiapa daripada ahli jihad, dipanggil dari pintu jihad.

    Dan sesiapa daripada ahli sedekah, dipanggil dari pintu sedekah.

    Dan sesiapa daripada ahli puasa, dipanggil dari pintu Rayyan.”

    Abu Bakar as-Siddiq berkata: “Wahai Rasulullah, bagaimanapun seseorang mesti dipanggil dari salah satu pintu, apakah ada seseorang dipanggil dari semua pintu?”

    Rasulullah SAW berkata: “Ya, dan aku berharap kamu termasuk daripada mereka.”

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 467

  • Masuklah syurga dari pintu mana pun

    Menurut riwayat Imam Ahmad, Muslim dan penyusun kitab sunan meriwayatkan: Daripada Amirul Mukminin Umar bin Khattab RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesiapa yang berwuduk dengan wuduk yang sebaik-baiknya, kemudian mendongak ke langit, lalu mengucapkan: Asyhadu allaa ilaaha illallaah wahdahu laa syariikalahu wa asyhadu anna muhammadan ‘abduhu wa rasuuluh (Aku bersaksi bahawa tidak ada tuhan selain Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya, dan aku bersaksi bahawa Muhammad hamba-Nya dan rasul-Nya), maka dibukakan baginya pintu-pintu syurga, dia boleh masuk dari pintu mana pun yang dia kehendaki.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 466

  • ‘Maut’ di atas sirat

    Imam Ahmad meriwayatkan pula: Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Pada hari kiamat, maut akan didatangkan, lalu diletakkan di atas sirat.

    Maka, diserukan: Wahai sekalian penghuni syurga!

    Maka, mereka muncul dengan rasa takut. Mereka khuatir akan dikeluarkan dari tempat tinggal mereka.

    Ternyata, mereka ditanya: Tahukah kamu, apakah ini?

    Mereka menjawab: Ya, kami tahu, wahai Tuhan kami. Itu adalah maut.

    Selepas itu diserukan pula: Wahai sekalian penghuni neraka!

    Maka, mereka pun muncul dengan penuh gembira. Mereka sangat berharap akan dikeluarkan dari tempat tinggal mereka.

    Ternyata, mereka ditanya: Tahukah kamu, apakah ini?

    Mereka menjawab: Ya, itu adalah maut.

    Maka, maut itu kemudian disembelih di atas sirat, lalu dikatakan kepada kedua-dua golongan itu: Kekallah pada apa yang kamu temui, tidak ada lagi maut buat selama-lamanya.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 463

  • Maut disembelih

    Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Apabila para penghuni syurga telah masuk ke syurga dan para penghuni neraka telah masuk ke neraka, maka didatangkan maut, maka didatangkan maut, sehingga terletak (atau terhenti) ia di antara syurga dan neraka, lalu disembelih.

    Kemudian penyeru menyeru: Wahai sekalian penghuni syurga, kekallah kamu, tidak ada lagi kematian. Wahai sekalian penghuni neraka, kekallah kamu, tidak ada lagi kematian.

    Maka, penghuni syurga bertambah gembira manakala penghuni neraka semakin sedih.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 462

  • Syafaat Mukmin membawa ke syurga

    Menurut riwayat at-Tirmidzi dan al-Baihaqi: Daripada Abu Said al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):

    Sesungguhnya antara umatku ada beberapa orang, yang seorang antaranya boleh memberi syafaat kepada sejumlah besar manusia, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya. Dan ada pula antaranya yang memberi syafaat kepada satu kabilah, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya. Dan ada lagi yang memberi syafaat kepada seseorang dan ahli keluarganya, maka mereka masuk syurga kerana syafaatnya.

    Al-Bazzar meriwayatkan dengan sanadnya secara marfu’: Sesungguhnya seseorang benar-benar boleh memberi syafaat kepada dua atau tiga orang.

    Ada sesetengah ulama menceritakan dalam kitab Zabur Nabi Daud tertulis firman Allah maksudnya:

    Sesungguhnya hamba-hamba-Ku yang zuhud, pada hari kiamat akan Aku katakan kepada mereka: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku menjauhkan dunia daripadamu, bukanlah kerana kerendahanmu di sisi-Ku, tetapi kerana Aku ingin kamu memperoleh bahagianmu melimpah ruah sepenuhnya pada hari ini. Oleh kerana itu, masuklah kamu ke celah-celah barisan, dan carilah sesiapa yang dulu kamu cintai di dunia atau pernah memenuhi hajatmu atau mencegah orang mempergunjingkan (mengata, memfitnah) dirimu atau pernah memberimu sesuap makanan kerana mengharapkan reda-Ku, maka bimbinglah tangannya dan masukkan dia ke dalam syurga.”

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 450 & 451

  • Permohonan Nabi kepada Allah

    Dalam sahih Muslim diriwayatkan daripada Ubay bin Ka’ab, sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): Sesungguhnya Tuhanku telah menyuruh aku membaca al-Quran dengan satu huruf.

    Maka, aku memohon kepada-Nya: “Wahai Tuhanku, ringankan umatku.”

    Namun Dia menyuruhku lagi agar aku membacanya dengan satu huruf.

    Baginda bersabda: Maka, aku berkata, wahai Tuhanku, ringankan umatku. Barulah Dia menyuruhku untuk kali ketiganya. Bacalah al-Quran dengan tujuh huruf. Dan pada setiap permohonan yang kamu ajukan tadi, kamu boleh mengajukan permintaan.

    Oleh kerana itu, aku berkata: Wahai Allah, ampunilah umatku.

    Dan aku menunda permintaanku yang ketiga sehingga pada hari di mana aku menjadi harapan seluruh makhluk, termasuk (Nabi) Ibrahim.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 441

  • Air panas dituangkan ke kepala ahli neraka

    Imam Ahmad meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bercerita mengenai ahli neraka (ertinya):

    Sesungguhnya air amat panas benar-benar akan dituangkan ke atas kepala salah seorang daripada mereka. Maka, air itu menembus dari atas kepalanya sampai ke rongga perut, maka hancur luluh apa pun yang ada di dalam perut, kemudian keluar melalui kedua-dua belah tapak kaki.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 431

  • Kedengaran batu dilemparkan ke neraka

    Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Adalah kami bersama Rasulullah SAW. Tiba-tiba kami mendengar bunyi gemuruh.

    Maka, Nabi SAW bertanya: Tahukah kamu sekalian, (bunyi) apakah ini?

    Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.

    Baginda bersabda: Ini adalah seketul batu yang dilempar ke dalam neraka jahannam sejak tujuh puluh tahun lalu dan sekarang baru sampai ke dasarnya.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, 426

error: Content is protected !!