HADIS

  • Empat perkara terpelihara darah, harta

    Daripada Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Saya diperintah untuk memerangi manusia, sehingga mereka bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan bahawa Muhammad Rasulullah (utusan Allah), mendirikan solat dan mengeluarkan zakat. Maka, apabila mereka melakukan demikian, mereka terpelihara darah dan harta benda mereka daripadaku, kecuali dengan hak Islam. Dan perhitungan (amalan) mereka (terserah) atas Allah Taala. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 298

  • Doa selepas solat diajarkan Nabi kepada Muaz

    Daripada Muaz RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW memegang tangannya, dan bersabda: Wahai Muaz! Sesungguhnya saya menyayangimu. Kemudian, saya berpesan kepadamu wahai Muaz, janganlah kamu meninggalkan doa ini setiap selesai solat, kamu katakan (baca): Allahumma a’inni ‘ala dzikrika wa syukrika wa husni ‘ibadatik (wahai Allah berilah saya pertolongan untuk tetap berzikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan beribadat kepada-Mu dengan sebaik-baiknya.” (Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Nasai, disahihkan oleh al-Albani dalam al-Jami’)

    Doa itu dalam tulisan Arab:
    اللهم أعني على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 293

  • Tiga perkara buat seseorang merasai manisnya iman

    Daripada Anas RA meriwayatkan, daripada Nabi SAW bersabda: Ada tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, maka orang itu dapat merasai manisnya iman, iaitu Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selain kedua-duanya, mencintai seseorang lain dan dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah, dan benci untuk kembali pada kufr selepas diselamatkan oleh Allah daripadanya, sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    HURAIAN

    Manisnya iman ialah berasa manis/seronok dalam melaksanakan ketaatan, mahu/rela menanggung rasa berat dalam melaksanakan (tuntutan) agama dan lebih mementingkan (perkara) agama daripada (perkara berkaitan) harta duniawi.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 288/289

  • Meneladani Nabi menziarahi masjid Quba

    Daripada Ibnu Umar RA berkata: Nabi SAW pernah berziarah ke Quba berkenderaan dan berjalan, kemudian baginda melakukan solat dua rakaat. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Dalam satu riwayat, Nabi SAW datang ke Masjid Quba pada setiap Sabtu berkenderaan dan berjalan, dan adalah Ibnu Umar melakukannya (juga).

    HURAIAN

    Jarak di antara Masjid Quba dan Masjid Nabi ialah 1 farsakh iaitu 3 mil.

    Hadis ini sebagai dalil sunah berziarah ke Masjid Quba kerana meneladani Rasulullah SAW.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 288

  • Mendoakan yang lain di tanah suci

    Daripada Umar bin al-Khattab RA berkata: Saya pernah meminta izin kepada Nabi SAW untuk menunaikan umrah, lalu baginda mengizinkan saya dan bersabda: Jangan lupa untuk mendoakan kami, wahai saudaraku!

    Maka, baginda mengucapkan suatu kalimat yang seandainya dunia ini menjadi milikku sebagai ganti kalimat itu tidaklah dapat membahagiakanku.

    Dalam riwayat lain disebutkan, Nabi SAW bersabda: Sertakan kami dalam doamu, wahai saudaraku! (Hadis sahih diriwayatkan oleh Abu Dawud & Tirmidzi. Tirmidzi berkata hadis ini hasan sahih / Didaifkan oleh Al-Albani dalam kitab Adh-Dhaifah, 6278; dan kitab Dhaif Abu Dawud, 322)

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 287

  • Keutamaan ibu, berbanding yang lain

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Ada seorang lelaki datang menghadap Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk saya jadikan sahabat dengan sebaik-baiknya?

    Baginda menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Lalu, siapa lagi?

    Baginda menjawab: Ibumu.

    Orang itu bertanya sekali lagi: Kemudian, siapa lagi?

    Baginda menjawab: Ibumu.

    Orang tadi bertanya pula: Kemudian, siapa lagi?

    Baginda menjawab: Ayahmu. (Muttafaq alaih)

    Dalam riwayat lain disebut: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak untuk dijadikan sahabat dengan sebaik-baiknya?
    Baginda menjawab: Ibumu, lalu ibumu, lalu ibumu, lalu ayahmu, lalu orang yang terdekat denganmu, yang terdekat sekali denganmu.

    HURAIAN

    Dalam hadis ini terdapat penguat atas hak seorang ibu.

    Hal ini didukung oleh firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman, ayat 14)

    Rujukan/Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 253/254; Tafsir Pimpinan ar-Rahman

  • Kamu bersama siapa yang kamu cintai

    Daripada Anas RA, bahawa seorang Arab pedalaman berkata kepada Rasulullah SAW: Bilakah hari kiamat?

    Sabda Rasulullah SAW: Apa yang kamu persiapkan untuk menghadapinya?

    Dia berkata: Cinta Allah dan rasul-Nya.

    Sabda baginda: Kamu bersama siapa yang kamu cintai. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud & Tirmidzi – lafaz Muslim)

    HURAIAN

    Perkataan a’rabiy diterjemahkan orang Arab pedalaman.

    Perkataan as-sa’ah diterjemahkan hari kiamat.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 283

  • Uwais yang doanya dikabulkan Allah

    Daripada Usair bin Amru, dan dikatakan Ibn Jabir, dan dia berkata: Umar bin al-Khattab ketika didatangi pasukan daripada penduduk Yaman, maka dia bertanya kepada mereka: Apakah antara kamu ada seorang yang bernama Uwais bin Amir?

    Sehingga akhirnya, Umar sampai di hadapan Uwais, lalu Umar bertanya kepadanya: Apakah kamu Uwais bin Amir?

    Uwais menjawab: Ya.

    Dia bertanya lagi: Benarkan kamu dari keturunan kabilah Murad, kemudian dari lingkungan suku Qaran?

    Dia menjawab: Ya.

    Umar bertanya lagi: Apakah dulu kamu pernah menderita penyakit kusta, kemudian kamu sembuh dari penyakit itu, kecuali hanya satu tempat sebesar dirham?

    Dia menjawab: Ya.

    Umar melanjutkan pertanyaannya: Apakah kamu masih mempunyai ibu?

    Dia menjawab: Ya.

    Umar berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kelak akan datang kepada kamu seseorang yang bernama Uwais bin Amir bersama pasukan dari penduduk Yaman, dia dari keturunan Murad, kemudian dari Qaran. Dia pernah menderita penyakit kusta, lalu dia sembuh daripada penyakitnya itu, kecuali di suatu tempat sebesar dirham. Dia mempunyai seorang ibu yang dia amat berbakti kepadanya. Seandainya dia bersumpah sesuatu atas nama Allah, pasti Allah akan mengabulkan sumpahnya. Oleh kerana itu, apabila kamu dapat meminta padanya agar dia memintakan pengampunan untukmu, maka lakukanlah itu. Oleh kerana itu, mohonkanlah pengampunan kepada Allah untukku.

    Lantas Uwais pun memohonkan pengampunan untuk Umar.

    Selanjutnya, Umar bertanya lagi: Ke manakah kamu hendak pergi?

    Dia menjawab: Ke Kufah.

    Umar berkata: Sudilah kiranya jika saya menuliskan sesuatu untuk memenuhi kepentinganmu kepada gabenor Kufah!

    Dia menjawab: Saya lebih senang menjadi golongan manusia fakir miskin.

    Setelah tiba tahun berikutnya, ada seorang daripada golongan bangsawan Kufah melaksanakan ibadat haji, lalu kebetulan dia bertemu Umar. Kemudian Umar menanyakan padanya mengenai Uwais.

    Orang itu menjawab: Sewaktu saya tinggalkan, dia dalam keadaan buruk rumahnya dan sedikit harta bendanya.

    Lantas Umar berkata: Saya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kelak akan datang kepada kamu seseorang yang bernama Uwais bin Amir bersama pasukan dari penduduk Yaman. Dia dari keturunan Murad, kemudian dari Qaran. Dia pernah menderita penyakit kusta, lalu dia sembuh dari penyakitnya itu, kecuali di suatu tempat sebesar dirham. Dia mempunyai seorang ibu yang dia amat berbakti padanya. Seandainya dia bersumpah akan sesuatu atas nama Allah, pasti Allah akan mengabulkan sumpahnya itu. Oleh kerana itu, apabila kamu dapat meminta padanya agar dia memintakan pengampunan untukmu, maka lakukanlah itu.

    Orang bangsawan itu pun mendatangi Uwais dan berkata: Mohonkanlah ampunan kepada Allah untukku!

    Uwais berkata: Justeru, anda ini yang masih baru saja selesai melakukan perjalanan yang baik, maka sepatutnya anda memohonkan pengampunan untukku.

    Orang bangsawan itu berkata lagi: Mohonkanlah ampunan kepada Allah untukku!

    Uwais menjawab: Justeru anda ini yang masih baru saja selesai melakukan perjalanan yang baik, maka sepatutnya anda memohonkan pengampunan untukku!

    Uwais melanjutkan katanya: Apakah anda bertemu dengan Umar?

    Dia menjawab: Ya.

    Lalu Uwais pun memohonkan pengampunan untuknya.

    Akhirnya orang-orang mengerti siapa sebenarnya Uwais. Selanjutnya Uwais pergi dari Kufah menuruti kehendaknya sendiri. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    Dalam riwayat Muslim yang lainnya disebutkan, Usair bin Jabir meriwayatkan bahawa para penduduk Kufah menemui Umar RA dan antara mereka ada seorang lelaki yang menghina-hinakan Uwais.

    Lantas Umar bertanya: Apakah antara kamu ada seorang lelaki keturunan Qaran?

    Orang yang dimaksudkan itu pun datang padanya.

    Kemudian Umar berkata: Sesungguhnya Rasulullah pernah bersabda: Sesungguhnya ada seorang lelaki dari Yaman akan datang pada kamu. Dia bernama Uwais. Dia tidak meninggalkan sesuatu di Yaman melainkan seorang ibu. Dia pernah menderita penyakit kusta, lalu dia berdoa kepada Allah, lalu Allah melenyapkan penyakitnya tadi, kecuali di suatu tempat sebesar dinar atau dirham. Maka, sesiapa antara kamu bertemu dengannya, maka hendaklah meminta padanya agar dia memohonkan pengampunan kepada Allah untuk kamu.

    Juga disebutkan dalam riwayat Muslim lagi, daripada Umar yang berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya sebaik-baik at-tabi’in ialah seorang lelaki yang bernama Uwais. Dia mempunyai seorang ibu, dan pada tubuhnya ada bekas putih-putih, maka mintalah kepadanya agar dia memohonkan pengampunan untuk kamu.

    HURAIAN

    Memohon doa daripada orang soleh, meskipun yang memohon adalah orang yang lebih utama.

    Mukjizat Nabi SAW kerana di dalamnya terdapat informasi yang belum terjadi. Baginda menuturkan Uwais lengkap dengan namanya, sifat-sifatnya, ciri-cirinya, bertemunya dengan Umar, apa yang dilakukan oleh Umar dalam menyampaikan syariat dan menyebarluaskan sunah, pengakuan keutamaan terhadapnya dan pujian terhadap orang yang tidak khuatir kepadanya hal itu sungguh menakjubkan.

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 285-287

  • Kamu bersama orang dicintai

    Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seseorang bersama siapa dicintai. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari & Muslim)

    Dalam satu riwayat lagi: Abu Musa berkata: Dikatakan kepada Nabi SAW: Seorang lelaki menyukai suatu kaum, tetapi dia tidak pernah menemui mereka? Baginda bersabda: Seseorang bersama siapa dicintai.

    HURAIAN

    Hadis ini antara lain mengandungi pengertian seseorang bersama orang dicintai, walaupun tidak pernah menemuinya dan mengingatkan kita agar jangan salah menyukai atau mencintai, sebaliknya menyukai orang baik-baik.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 283

  • Manusia sesuai dengan agama temannya

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Seorang lelaki sesuai dengan agama temannya. Maka, lihatlah kamu siapa temannya. (Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Tirmidzi dengan sanad sahih; dan kata Tirmidzi hadis hasan)

    HURAIAN

    Hadis ini mengandungi peringatan agar seseorang memilih teman atau sahabat yang baik-baik. Jangan sampai tersalah pilih untuk dijadikan sahabat. Sebutan agama itu harus difahami dalam konteks yang luas, termasuk akhlak, peribadi dan pembawaan diri.

    Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 283