Jangan aniaya, jangan serah kepada musuh, tutupi aib, penuhi keperluan dan lapangkan kesukaran

Daripada Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim merupakan saudara seorang muslim yang lain, jangan dia menganiayanya dan jangan pula menyerahkannya (kepada musuh). Sesiapa memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Dan sesiapa melapangkan kesusahan daripada seorang muslim, maka Allah akan melapangkan untuknya satu kesusahan daripada beberapa kesusahan pada hari kiamat. Dan sesiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat. (Muttafaq alaih – [maksudnya] diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

PENJELASAN

Dilarang menzalimi seorang muslim dan menghinanya.

Keutamaan memenuhi keperluan seorang muslim, melapangkan kesusahannya, dan menutupi aibnya.

Allah akan bertindak terhadap seorang hamba-Nya sebagaimana hamba-Nya itu bertindak terhadap orang lain, sebagaimana diterangkan dalam hadis yang masyhur: Orang-orang yang menyayangi akan disayang oleh Allah Zat Yang Maha Pengasih. Oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang ada di bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangimu.

Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 211/212