Jangan saling berhasad, jangan saling menipu, jangan saling membenci

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu saling berhasad, jangan saling menipu dalam jual-beli, jangan saling membenci, jangan saling berpaling dan jangan sesetengah daripada kamu menjual atas penjualan sebahagian lain. Dan jadilah hamba-hamba Allah yang saling bersaudara.

Seorang muslim merupakan saudara dengan muslim yang lain, tidak boleh menzalimi saudaranya, tidak boleh menghina saudaranya dan tidak boleh menelantarkan saudaranya.

Takwa itu ada di sini — baginda menunjukkan ke arah dadanya tiga kali.

Cukuplah seseorang termasuk keburukan, jika dia menghina saudaranya sesama muslim.

Setiap muslim terhadap sesama muslim haram darahnya, hartanya dan kehormtannya. (Diriwayatkan oleh Muslim)

PENJELASAN

Perkataan “an-najsyu” diterjemahkan sebagai seseorang menambah harga suatu barang dagangan lebih daripada yang diumumkan di pasar dan lain sebagainya, padahal dia tidak ada keinginan untuk membelinya. Tetapi dia melakukannya semata-mata untuk menipu orang lain. Perbuatan ini hukumnya haram. Dalam teks hadis ini, perkataan digunakan ialah “tanaajasyuu”.

Perkataan “at-tadaaburu” diterjemahkan sebagai seseorang tidak menghiraukan orang lain, enggan berbicara dengannya dan menganggap saudaranya seakan-akan benda yang ada di belakang punggungnya. Dalam teks hadis ini perkataannya ialah “tadaabaruu”.

Keharaman hasad dengki iaitu mengharapkan hilangnya nikmat yang ada pada saudaranya.

Keharaman najsy, kerana perbuatan ini merupakan tipuan dan pengkhianatan.

Larangan saling membenci dan saling berpaling, larangan menjual atas penjualan orang lain. Demikian pula membeli atas pembelian orang lain, tanpa ada izin dalam masa khiyar (proses memilih), kerana hal ini menjadi faktor terjadi pertengkaran dan kebencian.

Takwa dapat tercapai dengan sesuatu yang ada di dalam hati meliputi rasa takut dan muraqabah (pengawasan).

Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 207