Keagungan Allah

Daripada Said bin Abdul Aziz meriwayatkan daripada Rabi’ah bin Yazid daripada Abu Idris al-Khawlani daripada Abu Dzar Jundub bin Junadah RA daripada Nabi SAW dalam satu riwayat yang diriwayatkan daripada Allah Tabaaraka wa Taala bahawa Allah berfirman: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku mengharamkan pada diriku sendiri akan menganiaya dan Aku mengharamkan berbuat aniaya antara kamu. Maka, janganlah kamu saling menganiaya (menzalimi).

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua tersesat, kecuali orang yang Aku beri petunjuk. Maka, mohonlah petunjuk kepada-Ku, pasti kamu Aku beri petunjuk.

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua lapar, melainkan orang yang Aku beri makan. Maka, mohonlah makan kepada-Ku, pasti kamu semua Aku beri makan.

Wahai hamba-hamba-Ku, kamu semua telanjang, melainkan orang-orang yang Aku beri pakaian. Maka, mohonlah pakaian kepada-Ku, pasti kamu semua Aku beri pakaian.

Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kamu semua berbuat kesalahan pada malam hari dan siang hari, sedangkan Aku mengampuni segala dosa. Maka, mohonlah keampunan kepada-Ku, pasti kamu semua Aku ampun.

Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya kamu semua tidak dapat membahayakan Aku. Maka, andai dapat, tentu kamu semua akan membahayakan Aku. Demikian pula, kamu semua tidak dapat memberikan manfaat kepada-Ku. Maka, andai dapat, tentu kamu semua akan memberikan manfaat kepada-Ku.

Wahai hamba-hamba-Ku, andai orang yang paling awal hingga yang paling akhir dari kalangan manusia dan jin semuanya mempunyai hati seseorang yang paling takwa antara kamu semua, maka hal ini tidak akan menambah sedikit pun pada keagungan kerajaan-Ku.

Wahai hamba-hamba-Ku, andai orang yang paling awal hingga yang paling akhir dari kalangan manusia dan jin semuanya mempunyai hati seseorang yang paling jahat antara kamu semua, maka hal ini tidak akan mengurangkan sedikit pun pada keagungan kerajaan-Ku.

Wahai hamba-hamba-Ku, andai orang yang paling awal hingga yang paling akhir dari kalangan manusia dan jin semuanya berdiri di suatu tempat yang tinggi di atas bumi, lalu setiap seorang meminta sesuatu kepada-Ku dan masing-masing Aku berikan permintaannya, maka hal ini tidak akan mengurangi apa yang menjadi milik-Ku, melainkan hanya bagaikan menguranginya jarum apabila dimasukkan ke dalam laut.

Wahai hamba-hamba-Ku, hanyasanya semua itu adalah amalan perbuatan kamu sendiri. Aku menghitungnya untuk kamu, lalu Aku memberikan balasannya. Maka, sesiapa mendapatkan kebaikan, hendaklah dia memuji kepada Allah dan sesiapa yang mendapatkan selain itu, hendaklah jangan menyalahkan melainkan pada dirinya sendiri.”

Saad berkata: Abu Idris ketika menceritakan hadis ini dengan keadaan berlutut. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

PENJELASAN

Kami juga meriwayatkannya daripada Imam Ahmad bin Hanbal dan dia berkata: Tidak ada satu hadis pun bagi penduduk Syam yang lebih mulia daripada hadis ini.

Ini merupakan hadis agung dan mulia. Ini termasuk hadis qudsi yang diriwayatkan oleh Nabi SAW daripada Allah.

Intisari hadis:

1. Buruknya kezaliman dan sesungguhnya semua makhluk memerlukan Allah untuk mendapatkan kemaslahatan dan menolak mudarat untuk urusan agama dan dunia mereka.

2. Sesungguhnya Allah senang (suka) hamba-Nya memohon dan meminta keampunan kepada-Nya.

3. Kerajaan Allah tidak bertambah kerana ketaatan yang dilakukan oleh makhluk dan tidak berkurang kerana kemaksiatan yang dilakukan oleh makhluk.

4. Sesungguhnya gudang (kekayaan) Allah tidak akan habis dan tidak berkurang.

5. Kebaikan yang dialami seseorang berasal daripada anugerah Allah, sedangkan keburukan yang menimpanya berasal daripada diri sendiri dan hawa nafsunya.

6. Hadis ini mencakupi kaedah agung dalam asas agama, cabangnya, etikanya dan sebagainya.

Riyadus Solihin & Penjelasannya, 120-121