Apabila penghuni syurga menginginkan anak, maka mereka diberi anak, seperti halnya semasa hidup di dunia, benarkah?
Imam Ahmad meriwayatkan: Daripada Abu Said RA, bahawa Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Apabila seorang Mukmin (orang beriman) menginginkan anak di syurga, maka dikandung anak itu, dilahirkan dan dibesarkannya dalam sekelip (sebentar) seperti yang diinginkan Mukmin itu?
Menurut Tirmidzi, hadis ini (statusnya) hasan gharib, sedangkan al-Hafiz adh-Dhiya al-Maqdisi mengatakan: Menurutku hadis ini sesuai syarat (Imam) Muslim.
Sufyan ats-Tsauri meriwayatkan, daripada Abban, daripada Abus Siddiq an-Naji, daripada Abu Said, dia berkata: Pernah ditanyakan, wahai Rasulullah, mungkinkah dilahirkan seorang anak bagi penghuni syurga? Bukankah anak itu melengkapi kegembiraan?
Rasul menjawab: Benar, demi Allah yang menggenggam jiwaku, tetapi itu terjadi hanya selama waktu seseorang daripada kamu sekalian berangan-angan, maka terjadilah anak itu, dikandung dan disusukan, lalu menjadi pemuda.
Penjelasan Rasulullah pada hadis terakhir ini menunjukkan peristiwa kelahiran anak benar-benar terjadi.
Ada dinukilkan (dipetik) daripada sejumlah tabiin seperti Thawus, Mujahid, Ibrahim an-Nakhaie dan lain-lain, bahawa di syurga tidak ada peristiwa kelahiran anak.
Ini benar, kerana hubungan seksual yang dilakukan penghuni syurga tidak menyebabkan terjadi janin seperti halnya di dunia. Dunia memang merupakan alam yang menghendaki berlangsungnya keturunan, untuk memakmurkannya. Lain halnya syurga, yang menghendaki kekalnya kerajaan. Oleh kerana itu, dalam hubungan seksual di sana tidak terjadi keluarnya mani yang mengakibatkan terputusnya kelazatan persetubuhan. Namun apabila ada seseorang penghuni syurga yang menginginkan anak, maka apa yang diinginkan itu terjadi, sebagaimana difirmankan Allah (maksudnya): Mereka memperoleh apa saja yang mereka kehendaki pada sisi Tuhan mereka. Demikianlah balasan orang-orang yang berbuat baik.” (Az-Zumar, 34)
Sumber: Huru-hara Hari Kiamat, 527 & 528