Kelebihan bersujud

Daripada Abu Abdullah dan dikatakan (juga) dengan nama Abu Abdur Rahman, Tsauban, maula Rasulullah SAW berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud, kerana sesungguhnya kamu tidak sekali-kali bersujud kepada Allah dengan sekali sujud melainkan Allah mengangkat kamu dengannya satu darjat dan dengannya pula Allah menghapuskan satu kesalahan daripada diri kamu. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

PENJELASAN

Latar belakang Tsauban meriwayatkan hadis ini ialah bahawa Ma’dan bin Thalhah berkata: “Saya datang kepada Tsauban, lalu saya berkata: Berilah saya maklumat mengenai amalan perbuatan yang ketika saya lakukan Allah memasukkan saya ke dalam syurga.”

Atau dia mengatakan: “Amalan perbuatan yang paling dicintai oleh Allah.”

Maka, Tsauban terdiam. Kemudian Ma’dan mengulangi pertanyaan lagi. Tsuaban pun terdiam. Lantas Ma’dan mengulangi pertanyaannya lagi yang kali ketiga.

Lalu Tsauban berkata: “Saya pernah menanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW, lantas baginda bersabda: Hendalah kamu memperbanyakkan sujud…”

Pada bahagian akhir disebutkan: “Kemudian saya bertemu Abu Darda’ lalu saya bertanya kepadanya. Maka, dia pun mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh Tsauban.”

Riyadus Solihin & Penjelasannya, 117