Keutamaan ibu, berbanding yang lain

Daripada Abu Hurairah RA berkata: Ada seorang lelaki datang menghadap Rasulullah SAW, lalu dia berkata: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang paling berhak untuk saya jadikan sahabat dengan sebaik-baiknya?

Baginda menjawab: Ibumu. Dia bertanya lagi: Lalu, siapa lagi?

Baginda menjawab: Ibumu.

Orang itu bertanya sekali lagi: Kemudian, siapa lagi?

Baginda menjawab: Ibumu.

Orang tadi bertanya pula: Kemudian, siapa lagi?

Baginda menjawab: Ayahmu. (Muttafaq alaih)

Dalam riwayat lain disebut: Wahai Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak untuk dijadikan sahabat dengan sebaik-baiknya?
Baginda menjawab: Ibumu, lalu ibumu, lalu ibumu, lalu ayahmu, lalu orang yang terdekat denganmu, yang terdekat sekali denganmu.

HURAIAN

Dalam hadis ini terdapat penguat atas hak seorang ibu.

Hal ini didukung oleh firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan). (Luqman, ayat 14)

Rujukan/Sumber: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 253/254; Tafsir Pimpinan ar-Rahman