Daripada Abi Said Sa’d bin Malik bin Sinan al-Khudriyy RA, bahawa Nabi Allah SAW bersabda:
Pernah terjadi kepada umat sebelum kamu seorang yang membunuh sembilan puluh sembilan orang. Lantas dia mencari orang paling alim di muka bumi ini. Lalu dia ditunjukkan agar datang kepada seorang rahib. Dia pun datang kepada rahib itu. Dia mengatakan bahawa dirinya telah membunuh sembilan puluh sembilan orang, apakah masih ada pintu taubat untuknya? Rahib menjawab: Tidak ada. Lalu dia membunuh rahib itu, sehingga orang yang dibunuh olehnya genap seratus orang.
Kemudian dia mencari lagi orang paling alim di muka bumi ini, sehingga dia ditunjukkan agar datang kepada seorang lelaki yang alim. Dia berkata kepadanya, bahawa dirinya telah membunuh seratus orang. Apakah masih ada pintu taubat baginya? Orang alim itu menjawab: Ya, masih ada. Siapa yang menghalangi antara seseorang dengan taubatnya! Pergilah ke daerah ini dan ini. Sungguh di daerah itu terdapat orang-orang yang beribadat kepada Allah. Beribadatlah kepada Allah bersama mereka. Engkau jangan kembali ke daerahmu, kerana daerahmu adalah tempat yang buruk. Dia pun berangkat.
Ketika dia sampai di pertengahan jalan datanglah waktu kematiannya. Akhirnya malaikat pembawa rahmat dan malaikat pembawa azab berselisih (berlaku perselisihan). Malaikat rahmat mengatakan, dia datang dalam keadaan bertaubat, seraya menghadapkan hatinya kepada Allah. Sedangkan malaikat azab berkata, sungguh dia belum pernah melakukan amalan kebaikan sama sekali.
Lantas malaikat yang menjelma manusia datang kepada mereka. Mereka menjadikan malaikat itu sebagai pemutus hukum antara mereka berdua.
“Ukurlah jarak tempat dia meninggal dengan kedua-dua daerah. Daerah yang paling dekat di antara kedua-duanya itu, maka dia dihukumi sesuai dengan daerah itu.”
Lantas mereka mengukurnya, dan ternyata dia lebih dekat ke daerah tujuannya. Seterusnya malaikat rahmat yang mendapatkannya. (Sahih al-Bukhari & Muslim)
Dalam riwayat sahih lain disebutkan: Ternyata dia lebih dekat ke desa yang baik dengan terpaut sejengkal. Oleh kerana itu, dia dianggap termasuk penduduk daerah itu.”
Dalam riwayat sahih lain, disebut: Allah memberi ilham kepada desa ini (desa yang dia tinggalkan) agar menjauh dan memberi ilham kepada desa ini (desa yang dia tuju) agar mendekat. Dia berkata: Ukurlah jarak di antara dia dengan kedua-dua desa itu, maka mereka mendapatinya lebih dekat ke desa ini dengan terpaut satu jengkal, lalu Allah memberi keampunan kepadanya.
Dalam riwayat lain lagi disebutkan: Orang terbabit bergerak dengan dadanya ke arah tempat yang dituju.
Riyadus Solihin & Penjelasannya, 41