Masjidil Haram di Makkah bersedia menerima jemaah dan mereka yang berpuasa pada Asyura, kata Presidensi Umum Dua Masjid Suci pada Khamis.
Asyura disambut pada sepuluh Muharram, bulan pertama dalam kalendar Islam, dan tahun ini hari bersejarah yang penting jatuh pada Jumaat 28 Julai.
Bagi umat Islam Sunni, ia adalah hari karamah (mulia) dan mereka percaya bahawa berpuasa pada Asyura adalah amalan yang mulia.
Kurma, air Zamzam dan makanan ringan kering akan diedarkan sebelum matahari terbenam untuk pengunjung masjid berbuka puasa, kata jurucakap presidensi Maher bin Mansi Al-Zahrani.
Tambah Al-Zahrani, teknologi moden dan kaedah kecerdasan buatan digunakan untuk menyokong proses pensterilan dan pembasmian kuman di masjid.
Ini termasuk penggunaan 11 robot pensterilan pintar, 20 peranti untuk mensterilkan udara dan permukaan pada masa yang sama, 20 peranti yang mensterilkan kawasan yang sukar dicapai seperti siling dan tiang, dan 600 peranti sanitasi tangan automatik. Beberapa pasukan juga berusaha untuk mensterilkan semua kawasan masjid, halaman dan tandas dengan lebih daripada 70,000 liter disinfektan (penyahjangkit).
Selain itu, 200 penyelia Arab Saudi memantau kerja 4,000 pekerja lelaki dan wanita yang membersihkan masjid 10 kali sehari, menyediakan 7,000 botol Zamzam untuk diedarkan, dan melengkapkan semua kawasan masjid dengan 4,500 bekas Zamzam yang memuatkan 500,000 liter air suci itu.
AN