Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa pada suatu hari Rasulullah keluar menemui orang ramai. Tiba-tiba datanglah seorang Badwi bertanya mengenai iman, dan seterusnya hingga akhirnya orang itu bertanya: Wahai Rasulullah, bilakah datangnya hari kiamat?
Baginda menjawab: Orang yang ditanya tidak lebih tahu daripada yang bertanya. Tetapi akan aku ceritakan kepadamu syarat-syaratnya, iaitu apabila hamba wanita telah melahirkan tuannya sendiri, dan apabila orang-orang (yang asalnya) tanpa alas kaki, telanjang, miskin, pengembala kambing telah menjadi pemimpin rakyat. Itulah sebahagian daripada syarat-syarat datangnya kiamat, antara lima syarat lain, yang hanya diketahui oleh Allah.
Kemudian baginda membaca ayat (yang bermaksud): Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah yang menurunkan hujan, dan mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu mengandung). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat). Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Meliputi Pengetahuan-Nya. (Surah Luqman, ayat 34)
Kemudian lelaki itu pun pergi.
Baginda bersabda: Suruhlah dia kembali.
Tetapi para sahabat tidak melihat apa-apa.
Baginda menerangkan: Orang tadi adalah Jibril. Dia datang untuk mengajar manusia mengenai agama mereka. (Hadis diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim dalam as-sahihain – dua kitab sahih)
Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 156