sumbangaN atau TIP

Atas manfaat ilmu pengetahuan diperolehi.

  • Sahur ada berkat

    Daripada Anas bin Malik berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bersahurlah kamu, maka sesungguhnya pada sahur ada berkat.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 312

  • Tiga orang tidak ditolak doa mereka

    Daripada Abu Hurairah, dia berkata: Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tiga orang tidak ditolak doa mereka; imam yang adil, orang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang dianiaya. Allah akan mengangkatnya bawah naungan awan pada hari kiamat, pintu-pintu langit dibukakan baginya, lalu berfirman: ‘Demi keagungan-Ku, sungguh Aku akan menolongmu walaupun setelah beberapa ketika.’

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 328

  • Keutamaan wanita solehah

    Daripada Abdullah bin Amru, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya dunia adalah hiasan, dan tiadalah suatu daripada hiasan dunia yang lebih afdal (lebih baik) daripada wanita solehah.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 362

  • Nazar pada perkara maksiat

    Daripada Imran bin al-Husoin berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tiada nazar pada (perkara) maksiat, dan tiada nazar pada perkara anak Adam tidak memiliki (tidak mampu melaksanakannya).

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 431/432

  • Perintah menunaikan nazar

    Daripada Umar bin al-Khattab berkata: Aku pernah bernazar suatu nazar sewaktu jahiliah, maka aku bertanya kepada Nabi SAW selepas aku memeluk Islam. Maka, baginda memerintahkan aku supaya menunaikan nazarku.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 432

  • Sesiapa mati dengan membawa tanggungan nazar

    Daripada Ibnu Abbas berkata: Saad bin Ubadah meminta fatwa Rasulullah SAW mengenai nazar ibunya yang telah meninggal dunia, dan belum menunaikannya. Maka, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Tunaikannya (nazar itu) untuknya (untuk ibunya).

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 433

  • Bernazar untuk melakukan haji dengan jalan kaki

    Daripada Abu Said ar-Ru’ani bahawa Abdullah bin Malik mengkhabarkan kepadanya, Uqbah bin Amir mengkhabarkan kepadanya, bahawa saudara perempuannya pernah bernazar untuk berjalan kaki, dan tidak mengenakan tudung, lalu dia ceritakan hal itu kepada Rasulullah (SAW), sehingga baginda bersabda (mafhumnya): Perintahkan dia untuk berkenderaan, bertudung dan berpuasa selama tiga hari.

    Ruj: Bimbingan Lengkap Sunan Ibnu Majah, 433

  • “Jika kamu mengetahui apa yang saya tahu, pasti kamu sedikit tertawa dan banyak menangis”

    Daripada Abu Dzar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya saya melihat apa yang kamu tidak lihat, dan saya mendengar apa yang kamu tidak dengar. Langit bersuara dan memang patut ia bersuara. Tiada tempat yang luang selebar empat jari di langit, melainkan ada malaikat yang meletakkan dahinya, lalu bersujud kepada Allah Taala. Demi Allah, jika kamu mengetahui apa yang saya tahu, pasti kamu sedikit tertawa dan banyak menangis, dan tidak bersenang-senang dengan perempuan di atas tempat tidur dan pasti kamu keluar ke jalan-jalan untuk memohon perlindungan kepada Allah Taala. (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan)

    PENJELASAN

    Al-Athith (dalam teks hadis itu) ialah suara sekedup atau tempat duduk di atas unta ataupun lain-lainnya. Maksudnya ialah kerana ramai malaikat di langit yang beribadat itu telah menyebabkan langit berasa berat sehingga bersuara.

    Ashu’adaatu (dalam teks hadis) ialah jalan.

    Taj_arun (dalam teks hadis) ertinya memohon pertolongan.

    Penjelasan ini dinyatakan dalam Riyadus Solihin & Penjelasannya. Lihat muka surat 309 & 310.

  • Ucapkanlah hasbunallahu wani’mal wakil

    Daripada Abu Said al-Khudri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Bagaimana saya dapat bersenang-senang, sedangkan malaikat peniup sangkakala sudah meletakkan hujung sangkakala pada mulutnya, sambil menunggu diizinkan bila dia diperintah untuk meniupkannya. Berita ini dirasakan amat berat oleh para sahabat Rasulullah SAW, lalu baginda bersabda kepada mereka: Ucapkanlah “hasbunallahu wa ni’mal wakil” (cukuplah Allah [menjadi penolong] bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung). (Hadis diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis hasan)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 311/312.

  • Empat perkara akan ditanya kepada manusia

    Daripada Abi Barzah Nadhlah bin Ubaid al-Aslami RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan berhenti kedua-dua kaki seorang hamba sehingga dia ditanya, mengenai umurnya pada apa dia habiskan, mengenai ilmunya pada apa dia kerjakan, mengenai hartanya dari mana dia dapat dan pada apa dia belanjakan serta mengenai tubuhnya pada apa dia gunakan. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan dia berkata hadis [status] hasan sahih)

    Ruj: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 310