Daripada Abu Bakrah Nufai’ bin al-Harits meriwayatkan daripada Nabi SAW, baginda bersabda: Sesungguhnya zaman telah berputar sebagaimana keadaannya sejak Allah menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan dan di antaranya ada empat bulan suci. Yang tiga bulan berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijah, dan Muharam, sedangkan yang keempat Rajab Mudhar, yang berada di antara bulan Jumada dan Syaaban. Bulan apakah sekarang ini?
Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Maka, baginda diam, sehingga kami menyangka bahawa baginda akan memberi nama bulan ini dengan nama lain.
Baginda bersabda: Bukan ini Zulhijah?
Kami menjawab: Benar.
Baginda bersabda: Negeri manakah ini?
Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.
Baginda diam, sehingga kami menyangka baginda akan memberi nama negeri ini dengan nama lain.
Baginda bersabda: Bukankah al-baldah (negeri Haram [suci])?
Kami menjawab: Benar.
Baginda bertanya: Maka, hari apakah ini?
Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui?
Baginda diam, sehingga kami menyangka baginda akan memberi hari ini dengan nama lain.
Baginda bersabda: Bukankah hari an-nahr (korban)?
Kami menjawab: Benar.
Baginda bersabda: Maka, sesungguhnya darah-darah kamu, harta-harta kamu, dan kehormatan kamu haram atas kamu semua sebagaimana kehormatan hari kamu ini, di negeri kamu ini dan dalam bulan kamu ini. Dan kamu semua akan menemui Tuhan kamu, lalu Dia akan menanyakan kepada kamu semua perihal amalan perbuatan kamu. Ingatlah, jangan kamu kembali kafir sepeninggalanku nanti, yang sebahagian memenggal leher sebahagian yang lain. Ingatlah, hendaklah yang hadir di sini menyampaikan kepada yang tidak hadir. Barangkali orang yang diberikan berita akan lebih memahami daripada orang yang mendengar sendiri.
Kemudian baginda bersabda: Ingatlah, bukankah saya telah menyampaikan? Ingatlah, bukankah saya telah menyampaikan?
Kami menjawab: Benar.
Baginda bersabda: Wahai Allah, saksikanlah. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
PENJELASAN
Kekeliruan pengunduran bulan haram, kerana orang-orang jahiliyah ketika ingin mengadakan perang di bulan Muharam, mereka menganggap halal berperang di bulan itu, dengan mereka menjadikan bulan Muharam sebagai bulan Safar. Dan mereka menghalalkan bulan Rajab dengan menjadikannya sebagai bulan Syaaban. Mereka juga mendasarkan perhitungan haji mereka dengan perubahan bulan ini.
Pengukuhan keharaman darah-darah orang Muslimin, harta-harta mereka dan kehormatan mereka.
Perintah menyampaikan ilmu dan menyebarluaskannya.
Riyadus Solihin & Penjelasannya, 197