Rumah itu adalah syurga

Al-Bukhari dan lainnya meriwayatkan: Daripada Jabir, bahawa ada beberapa malaikat datang kepada Rasulullah SAW ketika sedang tidur.

Sebahagian daripada mereka berkata: Dia sedang tidur.

Yang lain berkata: Matanya memang tidur, tetapi hatinya tidak.

Mereka berkata: Sesungguhnya temanmu ini mempunyai perumpamaan, maka buatlah perumpamaan untuknya.

Berkata yang lain: Perumpamaan dia adalah seperti orang yang membina sebuah rumah, lalu mengadakan jamuan makan di dalamnya. Pemilik rumah itu mengirim seseorang untuk menyampaikan undangan. Sesiapa memenuhi undangan itu, maka dia masuk ke rumah itu dan ikut makan pada jamuan itu. Sesiapa tidak memenuhi undangan, maka tidak masuk ke rumah itu dan tidak ikut makan pada jamuan itu.

Mereka berkata: Terangkan perumpamaan itu, supaya dia faham.

Yang lain mengatakan: Dia masih tidur.

Tapi dibantah oleh yang lain lagi: Matanya memang tidur, tapi hatinya tidak.

Mereka berkata: Rumah itu adalah syurga. Penyampai undangan itu adalah Muhammad SAW. Sesiapa taat kepada Muhammad bererti dia taat kepada Allah. Sesiapa derhaka kepada Muhammad, bererti dia derhaka kepada Allah. Muhammad adalah pembeza antara manusia.

Huru-Hara Hari Kiamat, Ibnu Katsir, 548-549