Daripada Abu Kabsyah Amru bin Saad Al-Anmari, bahawa dia mendengar Rasulullah (SAW) bersabda (mafhumnya): Tiga yang aku bersumpah atasnya, dan aku menyampaikan satu hadis kepada kamu, maka jagalah ia: Tidak berkurang harta seorang hamba daripada sedekah; tidaklah seseorang bersabar apabila dizalimi dengan suatu kezaliman melainkan Allah akan menambahkan kemuliaan kepadanya; dan tidaklah seorang hamba membuka pintu meminta-minta melainkan Allah membuka atasnya pintu kefakiran – atau kalimah seumpamanya. Dan saya menyampaikan satu hadis kepada kamu, maka jagalah. Baginda bersabda: Sesungguhnya dunia ini untuk empat orang: Seorang hamba dikurniakan harta dan ilmu oleh Allah, maka dia bertakwa padanya kepada Rabbnya, dan dia menyambung padanya (dengan harta dan ilmu) rahimnya, dan mengetahui padanya hak-hak Allah. Maka, ini adalah kedudukan paling utama. Seorang hamba yang diberikannya ilmu oleh Allah dan tidak diberikan harta tapi dia berniat benar, dia berkata: “Sekiranya aku memiliki harta nescaya aku melakukan dengan amalan (apa yang dilakukan oleh) polan”. Maka, dia dengan niatnya. Maka, pahala kedua-duanya (orang pertama dan orang kedua) sama. Dan seorang hamba diberikan oleh Allah kepadanya suatu harta, tapi tidak diberikannya ilmu. Maka, dia menggunakan hartanya tanpa ilmu, dia tidak bertakwa padanya (dengan harta itu) kepada Rabbnya, dan tidak menyambung padanya (dengan harta itu) rahimnya, dan dia tidak mengetahui padanya (dengan harta itu) hak Rabbnya. Maka, ini adalah kedudukan paling buruk. Dan seorang hamba yang tidak diberikan oleh Allah kepadanya harta dan ilmu, maka dia berkata: “Sekiranya aku memiliki harta, nescaya aku melakukan padanya (dengan harta itu) dengan amalan (apa yang dilakukan oleh) polan”. Maka, dia dengan niatnya. Maka, dosa kedua-duanya sama. (Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi, dan dia berkata hadis hasan sahih)
HURAIAN
Tiga perkara disebutkan:
1. Sedekah tidak mengurangkan harta.
Pada surah Saba, ayat 39 diterangkan: Dan apa saja yang kamu nafkahkan, maka Allah akan menggantinya dan Dialah sebaik-baik Pemberi rezeki.
2. Orang bersabar atas suatu kezaliman akan ditambahkan kemuliaan kepadanya.
Pada surah asy-Syura, ayat 43 diterangkan: Dan orang yang bersabar dan memaafkan sesungguhnya (perbuatan) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan.
3. Orang membuka pintu meminta-minta (sentiasa berkehendak) selalu berasa sangat memerlukan atau tidak pernah cukup.
Pada surah Fathir, ayat 15 diterangkan: Hai manusia, kamu yang memerlukan Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Empat yang disebutkan:
1. Orang berilmu dan berharta – dia menggunakannya untuk bertakwa kepada Allah, menyambung hubungan rahim (silaturahim), dan mengetahui hak Allah (melaksanakan hak yang ditetapkan oleh Allah).
2. Orang berilmu tapi tiada harta – namun dia mempunyai niat yang benar untuk melakukan seperti yang dilakukan oleh orang pertama sekiranya diberikan harta.
3. Orang diberikan harta, tapi tidak diberikan ilmu – dia menggunakan hartanya tanpa ilmu, tidak bertakwa, tidak menyambung hubungan rahim dan tidak mengetahui (atau ambil tahu) hak Allah pada harta itu.
4. Orang tidak diberikan harta dan ilmu – tapi dia akan melakukan seperti yang dilakukan oleh orang ketiga sekiranya diberikan harta.
Polan ialah merujuk kepada seseorang secara umum.
Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 403/404