Sekolah agama Ghazni menarik lebih ramai pelajar perempuan

Sekolah agama Ghazni menarik lebih ramai pelajar perempuan

Bilangan madrasah — sekolah agama — meningkat dua kali ganda baru-baru ini berbanding masa lalu di wilayah selatan Ghazni (di Afghanistan) apabila lebih ramai pelajar perempuan beralih ke madrasah.

Menurut beberapa pelajar perempuan madrasah, sekolah dan universiti telah ditutup dan mereka menggunakan peluang ini untuk ke madrasah dan belajar.

Zahra Nizami, pengasas dan guru Madrasah Zulfiqar berkata, madrasah ini ditubuhkan baru-baru ini di bandar Ghazni dan mempunyai 500 pelajar yang mendaftar.

“Jumlah madrasah meningkat beberapa kali ganda sejak kebelakangan ini dan punca peningkatan ini adalah penutupan pintu sekolah dan universiti kepada pelajar perempuan.” kata Zahra.

Pelajar di madrasah hanya diajar mata pelajaran agama manakala bilangan pelajar baharu yang mendaftar masih meningkat, katanya.

Husna, 16, pelajar Madrasah Sarwar Kainat memberitahu Pajhwok Afghan News: “Saya berada di kelas 10 di sekolah, sekolah kami ditutup untuk pengajian dan sekarang saya mahu belajar al-Quran dan beberapa mata pelajaran agama lain di madrasah”.

“Saya ingin menjadi wartawan tetapi ia tidak menjadi, kerana tiada sekatan terhadap pengajian agama, jadi saya mengambil keputusan untuk belajar agama,” kata Husna.

Adila, 17 adalah seorang lagi pelajar madrasah agama di wilayah yang sama, memberitahu Pajhwok: “Saya telah mendaftar di madrasah dua bulan lalu, saya ingin menamatkan pengajian agama, namun saya ingin menjadi doktor tetapi saya rasa itu tidak mungkin untuk saya lagi, jadi saya beralih ke madrasah agama.”

Sebaliknya, aktivis hak wanita berkata bahawa pengajian agama adalah perlu, tetapi peluang untuk pendidikan sains yang lain juga perlu disediakan.

Aktivis hak wanita Arezo Nikzad sambil merujuk kepada larangan pendidikan pelajar perempuan di sekolah dan di universiti berkata, akses kepada pendidikan adalah hak asasi manusia yang boleh diterima di peringkat global, pendidikan merupakan faktor penting untuk pertumbuhan ekonomi bagi negara seperti Afghanistan.

“Kami tidak menentang pengajian agama, kerana sudah berabad-abad wujud madrasah agama di Afghanistan”, tetapi dia meminta perhatian harus diberikan kepada pendidikan sains moden seperti perubatan, undang-undang, kewartawanan dan lain-lain.

Pada masa yang sama, dia menyeru anak-anak perempuan untuk terus belajar dalam pengajian agama, kerana madrasah seperti itu diperuntukkan untuk pengajian agama malah mata pelajaran sebegitu juga membantu gadis-gadis itu mencapai matlamat mereka.

Dalam pada itu beberapa pelajar madrasah menggesa kerajaan membuka pintu sekolah kepada semua pelajar termasuk perempuan.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sebghatullah Ahmadi mengakui peningkatan bilangan pelajar perempuan madrasah dan menambah pentadbiran wilayah memberikan kerjasama sepenuhnya dalam hal ini.

Bilangan madrasah tempat pelajar perempuan belajar mencecah 400 di Ghazni di mana kira-kira 40,000 pelajar perempuan belajar, kata Ahmadi.

Tambahnya, hanya dua madrasah ini didaftarkan dan selebihnya beroperasi secara tidak rasmi.

Menurut angka pegawai kerajaan terdahulu, kira-kira 200 madrasah wanita beroperasi di wilayah Ghazni.

Angka itu termasuk madrasah kecil, sederhana dan besar yang beroperasi di rumah, masjid atau mana-mana tempat lain.

Di Ghazni 762 sekolah, termasuk 71 sekolah perempuan, berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

Sebanyak 132,000 kanak-kanak perempuan belajar di 71 sekolah tetapi selepas larangan pendidikan perempuan di atas kelas enam, pada masa ini 10,000 kanak-kanak perempuan menghadiri kelas mereka di bawah darjah enam.

PAJHWOK