Pasukan saintifik Arab Saudi telah menemui tapak souq purba di wilayah Makkah yang berfungsi sebagai salah satu pasar Arab terpenting pada masa awal Islam.
Digelar Souq Habasha, tapak itu ditemui hasil kerjasama antara Yayasan Penyelidikan dan Arkib Raja Abdulaziz, Kementerian Kebudayaan dan Suruhanjaya Warisan.
Souq Habasha ialah pasar Arab bermusim purba dan salah satu yang terbesar di wilayah Tihamah di barat Semenanjung Arab.
Souq itu dibuka setiap tahun selama lapan hari bermula pada hari pertama Rejab dalam kalendar Islam dan diadakan setiap tahun sehingga tahun Islam 197 (813 M).
Fahd Al-Samari, setiausaha agung yayasan dan ketua jawatankuasa saintifik Souq Habasha, menyampaikan kenyataan dalam video yang diterbitkan di akaun Twitter rasmi Darah.
Beliau berkata: “Mendokumentasikan maklumat sejarah mestilah dengan metodologi spesifik.
“Oleh itu, pihak jabatan telah memasukkan beberapa pengalaman dalam dokumentasi, seperti mendokumentasikan pasar Okaz dan beberapa lokasi dari biografi Nabi Muhammad di negara ini. Pasar Habasha akan menjadi aset sejarah dan kebudayaan kuno bagi negara.”
Abdullah Al-Zahrani, ahli jawatankuasa saintifik Souq Habasha, berkata: “Projek kerjasama ini dibuat untuk mengenal pasti souq dan ia merupakan contoh baik kerjasama bersama dengan banyak pihak termasuk penyelidik, sejarawan, ahli geografi dan pakar biografi nabi. yang akan menambah banyak (info) untuk mengesahkan tapak ini.”
Kajian dan projek penyelidikan telah cuba mengesan lokasi pasar selama lebih 40 tahun, dengan tapak lapangan yang dicadangkan oleh jawatankuasa itu akhirnya diperiksa tahun lalu.
Abdullah Al-Welaie, seorang lagi ahli jawatankuasa saintifik Souq Habasha berkata: “Kami bekerja untuk melukis laluan karavan yang lengkap, termasuk jalan pantai, jalan Tihama, puncak Pergunungan Sarawat serta jalan Gajah.
“Empat trek telah dilukis pada peta tepat yang benar-benar membantu menentukan lokasi pasar dan kemudian diserahkan kepada ahli sejarah.”
Menurut ahli sejarah, pasar itu disebut dalam biografi Nabi Muhammad, yang telah mengambil bahagian di souq itu untuk berniaga sebelum misinya.
Pasukan itu menjalankan kajian, mengesahkan sumber dan menjalankan tinjauan arkeologi, susulan perbincangan dengan sumber yang berkelayakan untuk menentukan lokasi Souq Habasha.
Pasar bersejarah di rantau ini biasanya terletak di kawasan yang mempunyai banyak air, hujan dan tanah ragut.
Sehubungan itu, Souq Habasha terletak di tebing selatan Wadi Qanuna di Ardiyat, sebuah bandar pantai di wilayah Makkah.
Ia terletak di tengah-tengah dataran banjir yang luas, dilingkungi pergunungan Al-Durbat di sebelah timur, pergunungan Al-‘Irm di barat yang membentang sejauh lima kilometer dan pergunungan Umm Al-Rimth di selatan, di kawasan yang luas di mana sumber air dan litupan tumbuhan adalah menonjol.
Pasar ini juga melalui jalan Al-Janad, yang berfungsi sebagai salah satu mercu tanda terpenting dalam menentukan lokasi souq.
Souq Habasha menawarkan peluang kepada pakar untuk mengkaji aktiviti ekonomi, kesusasteraan dan budaya purba, dengan integrasinya pasar Okaz — yang telah dihidupkan semula — menjadi acara kebudayaan terkemuka negara, sekali gus memberikan faedah dalam bidang saintifik, kebudayaan dan pelancongan.
AN