Tag: bidaah

  • Sesiapa mengada-adakan, tertolak

    Daripada Aisyah RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang mengada-adakan dalam urusan kita ini sesuatu yang tidak termasuk bahagian daripadanya (agama), maka dia tertolak. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam riwayat Imam Muslim juga disebutkan: Sesiapa melakukan suatu amalan yang tiada ada perintah daripada kami ke atasnya (amalan itu), maka dia tertolak.

    Hadis ini termasuk dasar dan kaedah agama. Oleh kerana itu, hadis ini dijadikan dalil untuk membatalkan akad-akad yang dilarang dan menolak hal-hal yang baru dan hal-hal dilarang.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 163

  • Sebaik-baik ungkapan, sebaik-baik petunjuk

    Daripada Jabir RA berkata: Apabila Rasulullah SAW berkhutbah, maka kedua-dua mata baginda merah padam, suaranya nyaring, kelihatan sangat marah sehingga seakan-akan baginda seorang yang memberikan peringatan kepada para tentera yang mengatakan: (Berhati-hatilah) pagi-pagi ini atau petang musuh akan menyerang kamu. Baginda bersabda: Saya diutus, sedang saya dengan terjadinya kiamat bagaikan dua jari ini. Baginda merapatkan antara jari telunjuk dan jari tengah. Baginda bersabda pula: Amma Ba’du. Maka, sesungguhnya sebaik-baik ungkapan adalah Kitabullah dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad SAW, sedang seburuk-buruk perkara ialah hal-hal yang diada-adakan dan semua bidaah adalah sesat.

    Seterusnya baginda bersabda: Saya lebih berhak terhadap setiap mukmin daripada dirinya sendiri. Sesiapa meninggalkan harta, maka harta itu milik keluarganya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau memiliki tanggungan, maka itu adalah kepadaku dan menjadi tanggunganku. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Diriwayatkan daripada Irbadh bin Sariyah — dalam hadis tersebut terdapat ungkapan: “Sesungguhnya sesiapa antara kamu yang hidup dan melihat perbezaan yang banyak, maka tetaplah mengikuti sunahku…”

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 163-164