Tag: jari

  • Menjilat jari selepas makan

    Daripada Jabir RA meriwayatkan: Bahawa Rasulullah SAW menyuruh menjilat jari-jari dan piring, dan bersabda: Sesungguhnya kamu semua tidak tahu di manakah ada berkatnya. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Dalam riwayat lain daripada Imam Muslim disebutkan: Jika sesuap makanan salah seorang antara kamu jatuh, maka hendaklah dia mengambilnya, lalu hendaklah dia menyingkirkan kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaklah dia memakannya dan janganlah makanan itu dibiarkan untuk syaitan, dan jangan pula seseorang mengusap tangannya dengan sapu tangan sehingga dia menjilat jari-jarinya terlebih dahulu, kerana sesungguhnya dia tidak mengetahui di bahagian makanan yang mana ada keberkatan.

    Dalam riwayat Imam Muslim juga disebutkan: Sesungguhnya syaitan akan mendatangi seseorang antara kamu di setiap keadaannya, bahkan syaitan juga mendatangi orang itu ketika dia makan. Maka jika sesuap makanan salah seorang daripada kamu jatuh, maka hendaklah dia menyingkirkan kotoran-kotoran yang melekat padanya, kemudian hendaklah dia memakannya, dan jangan dibiarkan untuk syaitan.

    Hadis ini mengandungi anjuran untuk menundukkan jiwa dengan sikap rendah hati dan mengambil makanan yang terjatuh dan tidak membiarkannya serta perintah menjilat jari-jari dan piring.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 157-158