kurma

  • Sikap mulia membawa ke syurga

    Daripada Aisyah RAnha (Radhiallahu Anha) berkata (maksudnya): Saya didatangi seorang perempuan miskin yang membawa dua anak perempuannya.

    Maka, saya memberikannya tiga biji kurma. Perempuan itu memberikan setiap seorang daripada kedua-duanya (anak-anaknya) masing-masing sebiji kurma dan sebiji lagi diangkat ke mulutnya untuk dimakan.

    Namun dua anaknya itu meminta agar yang sebiji kurma itu dimakan juga oleh mereka.

    Maka, perempuan itu membelah dua kurma yang hendak dimakan dan diberikan kepada dua anaknya.

    Keadaan perempuan itu membuatkan saya hairan. Maka, saya memberitahukan apa yang telah dilakukan oleh perempuan itu kepada Rasulullah SAW.

    Kemudian baginda bersabda: Sesungguhnya, Allah telah menetapkan bagi perempuan itu akan masuk syurga kerana perbuatannya atau Allah akan memerdekakannya dari neraka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan mementingkan orang lain berbanding diri sendiri, menyayangi anak-anak kecil, berbuat kebaikan dan bersikap lemah-lembut yang lebih kepada anak perempuan. Semua itu menjadi penyebab masuk syurga dan bebas dari neraka.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 229 & 230
  • Anak perempuan tabir daripada seksaan api neraka

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Seorang perempuan datang ke tempat saya dan bersamanya dua anak perempuannya.

    Dia (perempuan itu) bertanya (meminta) tetapi tiada suatu apa pun pada saya melainkan sebiji kurma saja. Maka, saya memberikannya (sebiji kurma itu) kepadanya. Maka, dia membahagikannya (sebiji kurma itu) kepada kedua-dua anaknya itu, dan dia sendiri tidak makan daripadanya (kurma itu). Kemudian, dia berdiri, lalu keluar.

    Maka, Nabi SAW datang ke tempat kami. Maka, saya beritahu kepadanya (mengenai kejadian itu).

    Maka, baginda bersabda: Sesiapa yang diberikan suatu cubaan daripada anak-anak perempuan seperti ini, maka dia berbuat baik kepada mereka, anak-anak perempuan itu akan menjadi tabir untuknya daripada seksaan neraka. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 229