zalim

  • Jangan aniaya, jangan serah kepada musuh, tutupi aib, penuhi keperluan dan lapangkan kesukaran

    Daripada Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim merupakan saudara seorang muslim yang lain, jangan dia menganiayanya dan jangan pula menyerahkannya (kepada musuh). Sesiapa memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Dan sesiapa melapangkan kesusahan daripada seorang muslim, maka Allah akan melapangkan untuknya satu kesusahan daripada beberapa kesusahan pada hari kiamat. Dan sesiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat. (Muttafaq alaih – [maksudnya] diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dilarang menzalimi seorang muslim dan menghinanya.

    Keutamaan memenuhi keperluan seorang muslim, melapangkan kesusahannya, dan menutupi aibnya.

    Allah akan bertindak terhadap seorang hamba-Nya sebagaimana hamba-Nya itu bertindak terhadap orang lain, sebagaimana diterangkan dalam hadis yang masyhur: Orang-orang yang menyayangi akan disayang oleh Allah Zat Yang Maha Pengasih. Oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang ada di bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangimu.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 211/212
  • Tolong orang melakukan kezaliman

    Daripada Anas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tolonglah saudaramu, dia orang melakukan kezaliman atau dizalimi.

    Maka, seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, saya dapat menolongnya jika dia orang dizalimi, (tapi) tidakkah anda lihat jika seorang melakukan kezaliman, bagaimana saya dapat menolongnya?

    Baginda berkata: Kamu menghalanginya atau kamu mencegahnya daripada kezalimannya. Maka, sesungguhnya yang demikian itu menolongnya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 208
  • Ancaman kepada orang zalim

    Daripada Aisyah RAnha (singkatan kepada Radhiyallahu Anha) meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa berbuat zalim walau terhadap sejengkal tanah, maka tanah itu akan dikalungkan di lehernya daripada tujuh (lapisan) bumi. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Pengukuhan terhadap haram merampas tanah. Sesiapa yang mengambil sebahagian tanah dengan cara zalim, maka dia diseksa dengan membawa tanah itu di lehernya pada hari kiamat.

    Dalam hadis lain disebutkan: Sesiapa mengambil sedikit saja daripada tanah dengan cara tidak benar, maka kelak pada hari kiamat dia ditenggelamkan sampai ke tujuh lapisan bumi.

    (Ini juga) sebagai dalil bumi juga mempunyai tujuh lapis sebagaimana langit.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 193

  • Jaga diri daripada buat zalim, kikir

    Daripada Jabir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jagalah diri kamu daripada berbuat zalim, kerana kezaliman adalah kegelapan pada hari kiamat. Dan jagalah diri kamu daripada sifat kikir (kedekut), kerana kikir membinasakan umat sebelum kamu. Sifat itu menyebabkan mereka saling menumpahkan darah dan menghalalkan hal-hal yang diharamkan pada diri mereka. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Istilah “asy-syuh” (perkataan Arab) dalam teks hadis itu ertinya kikir disertai kerakusan untuk mencari harta melalui jalan tidak diperkenankan, sebagaimana terdapat dalam hadis lain: Sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas kamu derhaka kepada para ibu, mengubur anak perempuan, tidak memberikan hal yang wajib diberikan, dan mencari sesuatu yang diharamkan.

    Sumber – Riyadus Solihin & Penjelasannya, 191/192