Daripada Anas RA berkata: Abu Bakar berkata kepada Umar selepas kewafatan Rasulullah SAW, marilah kita berangkat bersama ke tempat Ummu Aiman RAnha, berziarah kepadanya, sebagaimana Rasulullah SAW pernah menziarahinya.
Manakala kedua-duanya sampai di tempatnya, Ummu Aiman menangis, lalu kedua-duanya bertanya: Apakah yang membuatmu menangis? Tidakkah kamu mengetahui bahawa apa yang ada di sisi Allah lebih baik untuk Rasulullah SAW?
Maka, Ummu Aiman menjawab: Sesungguhnya saya bukanlah menangis, bukanlah kerana saya tidak mengerti bahawa apa yang ada di sisi Allah Taala lebih baik untuk Rasulullah SAW, tetapi saya menangis kerana bahawa wahyu telah terputus dari langit. Pernyataan Ummu Aiman ini menggerakkan hati Abu Bakar dan Umar untuk menangis, lalu kedua-duanya pun menangis bersama Ummu Aiman. (Diriwayatkan oleh Muslim)
HURAIAN
Ummu Aiman ialah hamba Rasulullah SAW yang dinikahi oleh Zaid bin Haritsah. Nama asalnya ialah Barakah. Dia adalah ibu kepada Usamah bin Zaid. Rasulullah menghormatinya. Di sisi Ummu Aiman, baginda bagaikan puteranya sendiri.
Rujukan: Riyadus Solihin & Penjelasannya, 279/280