Terjadi pelbagai fitnah, sehingga muncul dajjal

Menurut riwayat Abu Daud bahawa perawi hadis ini berkata: Aku telah mendengar Abdullah bin Umar berkata: Kami pernah duduk di sisi Rasulullah SAW, baginda menerangkan panjang lebar mengenai pelbagai jenis huru-hara, hingga akhirnya menyebut fitnah ahlas (huru-hara tiada penamatnya).

Seseorang bertanya: Wahai Rasulullah, apa itu fitnah ahlas? 

Nabi SAW menjawab: Ialah rampasan harta dan keluarga, lalu dibawa lari.

(Rasulullah SAW menyambung keterangannya): Kemudian timbullah sesudah itu fitnah sarra (huru-hara kemewahan), yang tipuan ataupun kerosakannya keluar dari bawah tapak kaki seseorang (yang mengaku) daripada ahli baitku (keturunan  keluarga baginda), padahal dia bukan keluargaku. Wali-waliku hanyalah orang-orang bertakwa. 

Kemudian manusia mengandalkan seseorang, bagaikan punggung bersandar pada tulang rusuk. Sesudah itu timbullah fitnah duhaima’ (huru-hara sangat dahsyat), yang tidak membiarkan seorang pun daripada umat ini melainkan dilandanya. Apabila dikatakan huru-hara itu telah selesai, maka ia kembali lagi, di mana seseorang pada waktu pagi hari beriman, lalu petang harinya menjadi kafir. Akhirnya manusia terbahagi ke dalam dua kota besar; kota iman, di mana tidak ada kemunafikan, dan kota munafik, di mana tidak ada keimanan. Apabila itu telah terjadi, maka tunggulah dajjal pada hari itu juga atau esok harinya. 

Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 56