Tiga hal berbangkit di hari kiamat

Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla berfirman pada hari kiamat: Wahai anak Adam! Aku sakit tetapi kamu tidak menjenguk-Ku. Anak Adam berkata: Ya Rabb! Bagaimana saya menjenguk-Mu, sedangkan Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini?

“Allah berfirman: Tidakkah kamu mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan itu sakit tetapi kamu tidak menjenguknya. Tidakkah kamu mengetahui bahawa apabila kamu menjenguknya tentulah kamu akan mendapati Aku di sisinya?

“(Allah berfirman) wahai anak Adam! Aku meminta makanan padamu tetapi kamu tidak memberi-Ku makan. Anak Adam berkata: Ya Rabb, bagaimana saya memberikan makanan pada-Mu, sedang Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini?

“Allah berfirman: Tidakkah kamu mengetahui bahawa seorang hamba-Ku si polan itu meminta makanan padamu tetapi kamu tidak memberinya makanan. Tidakkah kamu mengetahui, bahawa apabila kamu memberikan makanan padanya tentu kamu akan mendapatkan yang demikian itu di sisi-Ku.”

“(Allah berfirman) wahai anak Adam! Aku meminta minuman padamu tetapi kamu tidak memberiku minum. Anak Adam berkata: Ya Rabb! Bagaimana aku memberikan minuman pada-Mu, sedangkan Engkau adalah Rabb yang menguasai seluruh alam ini?

“Allah berfirman: Hamba-Ku si polan itu meminta minuman padamu tetapi kamu tidak memberikan minuman itu padanya. Andai saja kamu memberikan minuman padanya tentulah kamu akan mendapatkan yang demikian itu di sisi-Ku.” (Hadis diriwayat oleh Muslim)

Huraian

— Firman-Nya bermaksud ‘nescaya kamu akan mendapati Aku di sisinya’ yakni dengan ilmu (Nya), sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi?

“Tiada perbicaraan rahsia antara tiga orang melainkan Dialah keempatnya. Dan tiada (perbicaraan antara) lima orang, melainkan Dialah keenamnya. Dan tiada (pula) perbicaraan antara jumlah yang kurang daripada itu atau lebih banyak, melainkan Dia berada bersama mereka di mana pun mereka berada.

“Kemudian Dia akan memberitahukan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.” (Surah al-Mujadalah, ayat 7)

— Firman-Nya bermaksud; ‘tidakkah kamu mengetahui bahawa apabila kamu memberikan makanan kepadanya, nescaya kamu akan mendapatkan yang demikian itu di sisi-Ku’ yakni pahalanya, sebagaimana firman Allah bermaksud:

“Dan kebaikan apa saja yang kamu perbuat untuk dirimu nescaya kamu memperoleh (balasan) nya di sisi Allah sebagai balasan yang paling baik dan paling besar pahalanya.” (Surah al-Muzammil, ayat 20)

— Hadis ini adalah dalil bahawa semua amal kebaikan tidaklah sia-sia dan kebaikan itu memiliki kedudukan yang mulia di sisi Allah.

Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya