Bertemu di pasar syurga

Al-Hafiz Abu Bakar bin Abi Asim meriwayatkan: Daripada Said bin Al-Musayyab bahawa dia pernah bertemu Abu Hurairah. Abu Hurairah berkata: Mohonlah kamu kepada Allah agar aku dan kamu boleh bertemu di pasar di syurga.

“Di syurga ada pasar,” tanya Ibn Al-Musayyab.

Ya, jawab Abu Hurairah, Rasulullah pernah memberitahu kepadaku: Sesungguhnya apabila para penghuni syurga telah memasuki syurga kerana keutamaan amalan mereka, maka mereka benar-benar diizinkan – selama waktu seukuran panjangnya dengan hari Jumaat semasa di dunia – untuk berkunjung kepada Allah, di suatu taman di antara taman-taman syurga.

Dipasang untuk mereka panggung-panggung daripada cahaya, panggung-panggung daripada mutiara, panggung-panggung daripada permata Zabarjad. Panggung-panggung daripada permata yaqut, panggung-panggung daripada emas dan panggung-panggung daripada perak. Sedang orang paling rendah antara mereka – meskipun sebenarnya tidak ada orang rendah di sana – duduk di atas tompokan kasturi dan kapur barus. Namun demikian, mereka tidak memandang bahawa yang duduk di kursi itu lebih utama daripada mereka.

Kata Abu Hurairah: Aku bertanya, wahai Rasulullah, dapatkah kita melihat Tuhan kita?

Ya, tegas Rasul. Apakah kamu samar ketika melihat matahari atau bulan pada malam purnama?

Kami menjawab: Tidak.

Rasulullah menegaskan: Demikian pula, kamu tidak akan samar ketika melihat Tuhanmu. Semua yang hadir di majlis itu akan diajak berdialog dengan Allah. Dia bertanya, hai polan bin polan (seseorang), ingatkah kamu pada hari ketika kamu melakukan ini dan itu? Allah menyebut beberapa dosa orang itu semasa di dunia.

Orang itu pun menjawab: Tentu, tetapi apakah Engkau tidak mengampunkan aku.

Allah menyatakan: Ya, Aku mengampunimu. Dan keampunan-Ku itulah yang telah menghantarkan kamu ke sini.

Nabi SAW bersabda (melanjutkan ceritanya): Ketika mereka dalam keadaan seperti itu, tiba-tiba datanglah awan menutup mereka di angkasa. Awan itu kemudian menghujankan minyak wangi, yang harumnya tidak pernah mereka rasakan sama sekali sebelumnya.

Nabi bersabda: Kemudian Tuhan kita yang Maha Perkasa dan Maha Agung berfirman; bangkitlah kamu, menuju kemurahan yang telah Aku sediakan untukmu. Ambillah apa saja yang kamu inginkan.

Nabi bersabda: Ternyata mereka melihat ada pasar yang dikelilingi para malaikat. Barang-barang yang ada di sana tidak pernah ada mata yang melihatnya, tidak pernah ada telinga yang mendengarnya dan tidak pernah terdetik dalam hati sesiapa pun.

Nabi bersabda: Selanjutnya segala yang kita inginkan ada yang membawakannya untuk kita. Tidak dijual dan tidak perlu dibeli. Di pasar itu antara sesama penghuni syurga saling bertemu. Orang yang berkedudukan tinggi boleh bertemu dengan yang lebih rendah – sekalipun di sana tidak ada orang rendah. Orang yang lebih rendah itu tertarik dengan pakaian dan dandanan temannya. Namun belum lagi perkataannya berakhir, tiba-tiba telah muncul di hadapannya pakaian yang lebih indah. Ini semua kerana tidak sepatutnya ada yang berasa sedih dalam syurga.

Nabi bersabda: Kemudian kita pulang ke tempat tinggal masing-masing. Di rumah kita dijemput isteri-isteri kita, seraya berkata: Alangkah senangnya, selamat datang kekasih kami. Sesungguhnya kamu nampak lebih tampan dan lebih harum daripada ketika kamu meninggalkan kami.

Kita menjawab: Sesungguhnya kami telah duduk-duduk bersama Tuhan kita Yang Maha Kuasa, Maha Perkasa dan Maha Agung. Maka, patutlah kalau kami pulang membawa perubahan seperti yang kamu saksikan ini.

Menurut riwayat Muslim: daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya di syurga benar-benar ada pasar yang mereka datangi setiap hari Jumaat. Pada waktu itu bertiuplah angin utara menerpa wajah dan pakaian mereka, maka mereka bertambah elok dan tampan. Lalu mereka pulang kepada keluarga masing-masing setelah nampak semakin elok dan tampan.

Berkatalah keluarga mereka: Demi Allah, kamu benar-benar nampak lebih elok dan tampan setelah meninggalkan kami.

Jawapannya: Kamu pun demikian juga, demi Allah nampak lebih elok dan cantik setelah kami tinggalkan.

Huru-Hara Hari Kiamat, Ibn Katsir, 540-542