HADIS

  • Penduduk neraka dan syurga

    Daripada Abu Said al-Khudri meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Syurga dan neraka saling berbantah. Neraka berkata: Di dalamku ada orang-orang yang memaksa kehendaknya serta orang-orang sombong. Syurga berkata: Di dalamku ada orang-orang yang lemah serta fakir miskin. Maka, Allah memutuskan antara kedua-duanya dengan firman-Nya: Engkau adalah syurga, tempat kerahmatan-Ku. Aku merahmati orang yang Aku kehendaki denganmu, sedangkan engkau neraka tempat azab-Ku. Aku menyeksa sesiapa saja yang Aku kehendaki denganmu. Atas kehendak-Ku pula kamu berdua dipenuhi. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi keutamaan orang-orang lemah dan miskin melakukan ketaatan kepada Allah serta meninggalkan maksiat.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 219
  • Tidak termasuk dusta mendamaikan manusia

    Daripada Ummu Kultsum binti Uqbah bin Abu Mu’aith berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak termasuk pendusta seseorang yang mendamaikan antara manusia, maka dia menceritakan yang baik atau mengatakan sesuatu yang baik. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam riwayat Muslim terdapat tambahan, Ummu Kultsum berkata: Saya tidak pernah mendengar Nabi SAW memperkenankan berdusta daripada apa yang diucapkan oleh seseorang melainkan dalam tiga hal, iaitu dalam peperangan, mendamaikan antara manusia serta perkataan seorang suami kepada isterinya dan perkataan isteri kepada suaminya.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 215
  • Beri pertolongan kepada yang memerlukan

    Daripada Abu Musa al-Asy’ari RA berkata: Apabila Nabi SAW didatangi oleh seseorang yang meminta suatu keperluan, baginda menemui teman-teman duduknya. Maka, baginda bersabda: Berilah pertolongan kepadanya, nescaya kamu mendapatkan pahala, dan Allah akan memutuskan hal-hal yang Dia senangi melalui lisan nabi-Nya. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 213
  • Jangan aniaya, jangan serah kepada musuh, tutupi aib, penuhi keperluan dan lapangkan kesukaran

    Daripada Ibnu Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Seorang muslim merupakan saudara seorang muslim yang lain, jangan dia menganiayanya dan jangan pula menyerahkannya (kepada musuh). Sesiapa memenuhi keperluan saudaranya, maka Allah akan memenuhi keperluannya. Dan sesiapa melapangkan kesusahan daripada seorang muslim, maka Allah akan melapangkan untuknya satu kesusahan daripada beberapa kesusahan pada hari kiamat. Dan sesiapa menutupi aib seorang muslim, maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat. (Muttafaq alaih – [maksudnya] diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Dilarang menzalimi seorang muslim dan menghinanya.

    Keutamaan memenuhi keperluan seorang muslim, melapangkan kesusahannya, dan menutupi aibnya.

    Allah akan bertindak terhadap seorang hamba-Nya sebagaimana hamba-Nya itu bertindak terhadap orang lain, sebagaimana diterangkan dalam hadis yang masyhur: Orang-orang yang menyayangi akan disayang oleh Allah Zat Yang Maha Pengasih. Oleh kerana itu sayangilah orang-orang yang ada di bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangimu.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 211/212
  • Tidak dianjurkan mendoakan kehinaan

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Nabi SAW didatangi oleh para sahabatnya dengan membawa seorang lelaki yang telah minum arak.

    Kemudian baginda bersabda: Pukullah dia.

    Abu Hurairah berkata: Antara kami ada yang memukul orang itu dengan tangannya, ada pula yang memukulnya dengan sandalnya, bahkan ada yang memukulnya dengan pakaiannya. Setelah semuanya membubarkan diri, sesetengah orang berkata: Semoga engkau dihinakan oleh Allah.

    Kemudian Rasulullah SAW bersabda: Jangan kamu berkata demikian, jangan kamu memberikan pertolongan kepada syaitan untuk menggodanya lagi. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Memukul dengan tangan, sandal dan pakaian memadai sebagai hukuman minum arak.

    Tidak dianjurkan mendoakan agar diberikan kehinaan oleh Allah dan sebagainya.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 211
  • Isyarat menutup keburukan

    Daripada Abu Hurairah RA berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap umatku dimaafkan melainkan orang-orang yang menampakkan (keburukan). Sesungguhnya antara yang menampakkan ialah seorang melakukan suatu perbuatan di waktu malam, padahal Allah telah menutupi keburukannya, kemudian di pagi harinya tiba-tiba dia berkata: “Hai polan (seseorang tidak disebutkan nama), saya malam tadi melakukan begini dan begini.”

    Semalam orang terbabit telah ditutupi keburukannya oleh Allah tetapi pagi hari dia membuka sesuatu yang telah ditutupi oleh Allah daripada dirinya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 210
  • Orang menutupi aib akan ditutupi aibnya di hari kiamat

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Tiada seorang hamba pun yang menutupi aib seorang hamba di dunia melainkan dia akan ditutupi aibnya oleh Allah pada hari kiamat. (Diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menganjurkan untuk menutupi aib seorang muslim, lebih-lebih lagi orang yang tidak diketahui keburukannya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 210
  • Hak sesama muslim

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Hak seorang muslim terhadap sesama muslim ada lima: Menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantarkan jenazahnya, menghadiri panggilannya (atau undangan) dan mendoakan orang bersin. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Dalam hadis diriwayatkan Muslim disebutkan: Hak seorang muslim terhadap sesama muslim ada enam; jika kamu bertemu dengannya maka ucapkanlah salam kepadanya, jika dia memanggilmu maka penuhilah panggilannya, jika dia meminta nasihat kepadamu maka berilah dia nasihat, jika dia bersin kemudian memuji Allah maka doakanlah dia, jika dia sakit jenguklah dia, dan jika dia meninggal dunia maka hantarkan jenazahnya.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 208
  • Tolong orang melakukan kezaliman

    Daripada Anas RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Tolonglah saudaramu, dia orang melakukan kezaliman atau dizalimi.

    Maka, seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah, saya dapat menolongnya jika dia orang dizalimi, (tapi) tidakkah anda lihat jika seorang melakukan kezaliman, bagaimana saya dapat menolongnya?

    Baginda berkata: Kamu menghalanginya atau kamu mencegahnya daripada kezalimannya. Maka, sesungguhnya yang demikian itu menolongnya. (Diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 208
  • Cintai sesama muslim

    Daripada Anas RA meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintai bagi saudaranya hal yang dia cintai bagi dirinya sendiri. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Keimanan sempurna tidak dapat tercapai sehingga seseorang suka atau mencintai ketaatan atau hal-hal yang harus pada diri seorang muslim sebagaimana dia suka hal itu ada pada dirinya sendiri.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 207/208
error: Content is protected !!