HADIS

  • Keutamaan solat Subuh

    Daripada Jundub bin Abdullah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa melakukan solat Subuh, maka dia berada dalam jaminan Allah. Oleh kerana itu, jangan sampai Allah menuntut kepada kamu dengan apa yang dijaminkan oleh Allah, kerana sesungguhnya orang yang dituntut oleh Allah dengan apa yang dijaminkan oleh Allah, tentu Dia akan mendapatkannya. Kemudian, Allah akan melemparkan mukanya ke dalam neraka jahanam. (Hadis diriwayatkan oleh Muslim)

    PENJELASAN

    Perkataan “dzimmatillah” dalam (teks Arab) hadis itu diterjemahkan sebagai jaminan keamanan daripada Allah dan janji-Nya.

    Dalam riwayat lain disebutkan: “Sesiapa melakukan solat Subuh berjemaah”, seakan-akan solat Subuh dikhususkan dengan hal itu, kerana waktu subuh merupakan permulaan hari, yakni waktu permulaan orang bertebaran memenuhi keperluan mereka.

    Hadis ini mengandungi ancaman keras kepada orang yang berniat buruk kepada orang-orang yang melakukan solat.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 206
  • Mengambil kira keadaan yang lain ketika melakukan solat

    Daripada Abu Qatadah al-Harits bin Rib’i RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya ketika saya sedang melakukan solat dan saya bermaksud memperlamakannya, tiba-tiba saya mendengar tangisan seorang anak kecil. Maka, saya meringankan solat saya kerana saya tidak suka jika memberatkan ibunya. (Hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari)

    PENJELASAN

    Hadis ini mengandungi erti kasih sayang Nabi dan memperhatikan keadaan orang tua dan anak-anak.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 205
  • Sayang Nabi kepada sahabatnya

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Nabi SAW melarang para sahabat melakukan puasa wisol kerana rasa sayang kepada mereka.

    Para sahabat berkata: Sesugguhnya anda sendiri melakukan puasa wisol?

    Baginda bersabda: Sungguh, saya ini tidaklah seperti keadaan kamu, kerana sesungguhnya saya ini diberi makan serta minum oleh Rabbku. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Sumber - Riyadus Solihin dan Penjelasannya
  • Mengapa Nabi meninggalkan suatu amalan disukai?

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Sesungguhnya jika Rasulullah SAW meninggalkan suatu amalan perbuatan, padahal baginda suka mengerjakan amalan itu, (hal itu kerana baginda) khuatir jika orang-orang akan ikut mengamalkannya, maka amalan itu diwajibkan atas mereka. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menjelaskan kesempurnaan kasih sayang Nabi SAW terhadap umatnya, sebagaimana baginda pernah meninggalkan keluar (untuk solat) di malam keempat Ramadan hingga terbit fajar. Baginda bersabda: Tidak ada yang mencegahku melainkan khuatir jika solat itu diwajibkan atas kamu, lalu kamu tidak mampu melakukannya.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 204/205
  • Meringankan apabila solat berjemaah

    Daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jika seorang daripada kamu menjadi imam solat bagi orang lain, maka hendaklah dia meringankannya, sebab antara kalangan makmum ada orang yang lemah, orang sakit dan tua. Apabila seorang kamu melakukan solat sendirian, maka hendaklah dia memperlamakan (memanjangkan) solat sekehendaknya. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Mempercepat dan memperlamakan termasuk antara hal relatif yang dikembalikan kepada yang dilakukan oleh Nabi. Oleh kerana itu, tidak ada dalil bagi orang-orang yang solatnya seperti burung pelatuk.

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 204
  • Keutamaan kasih sayang sesama manusia

    Daripada Jabir bin Abdullah berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa tidak mempunyai sifat kasih sayang kepada sesama manusia, Allah juga tidak memberi kasih sayang kepadanya. (Muttafaq alaih — diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN:

    Mengasihi kepada sesama manusia disebutkan secara khusus kerana ada perhatian lebih kepada manusia. Jika tidak, maka menebarkan kasih juga dituntut kepada seluruh binatang. Rasulullah SAW bersabda: “Orang-orang menebarkan kasih sayang akan disayangi oleh Zat Yang Maha Pengasih. Sayangilah penduduk bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangimu.”

    Sumber - Riyadus Solihin & Penjelasannya, 204
  • Kasih sayang orang beriman umpama tubuh badan

    Daripada Nu’man bin Basyir berkata, Rasulullah SAW bersabda: Perumpamaan Mukminin dalam hal saling menyayangi, saling mengasihi dan saling bersimpati adalah bagaikan tubuh badan. Apabila satu anggotanya berasa sakit, maka seluruh tubuh badan akan turut merasakannya dengan tidak tidur dan berasa panas. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203

  • Mengasihi anak-anak

    Daripada Aisyah RAnha berkata: Beberapa orang daripada kalangan orang pedalaman datang menghadap Rasulullah SAW, maka mereka berkata: Adakah anda suka mencium anak-anak anda?

    Baginda menjawab: Ya.

    Mereka berkata: Tetapi, demi Allah, kami tidak pernah mencium (anak-anak).

    Maka, Rasulullah bersabda: Apakah saya dapat mencegah sekiranya Allah telah mencabut sifat rahmah (belas kasihan) daripada hati kamu. (Muttafaq alaih – Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menganjurkan untuk mengasihi anak-anak, mencium dan menyayangi mereka.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203/204

  • Siapa tidak menyayangi, tidak disayangi

    Daripada Abu Hurairah RA berkata, Nabi SAW mencium al-Hasan bin Ali dan di samping beliau ada al-Aqra’ bin Habis.

    Maka, al-Aqra’ berkata: Saya mempunyai 10 orang anak. Tetapi saya belum pernah mencium seorang daripada mereka.

    Maka, Rasulullah SAW memandangnya, kemudian baginda bersabda: Sesiapa yang tidak menyayangi, maka dia tidak akan disayangi. (Muttafaq alaih – diriwayatkan al-Bukhari dan Muslim)

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 203

  • Kaedah membawa senjata di tengah khalayak

    Daripada Abu Musa RA berkata: Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa berjalan di suatu tempat dari masjid-masjid kita atau pasar-pasar kita, sedang dia membawa anak panah, maka hendaklah dia memegang atau menggenggam hujung-hujungnya dengan telapak tangannya, sebab dikhuatirkan dengan anak panahnya akan kena seseorang daripada Muslimin. (Muttafaq alaih – diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim)

    PENJELASAN

    Hadis ini menunjukkan perintah menggenggam hujung anak panah. Demikian juga pedang, pisau, bayonet, dan seumpamanya. Begitu juga dengan peluru dari senapang dan pistol perlu dikeluarkan kerana dibimbangi kena, mencederakan, menyakiti orang sekeliling.

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 202/ 203