HADIS

  • Dajjal bermata satu

    Baginda (Nabi) SAW bercerita mengenai dajjal, sabdanya: “Sesungguhnya aku benar-benar mengingatkan kamu sekalian terhadap dajjal. Tidak ada seorang nabi pun melainkan telah benar-benar mengingatkan kaumnya masing-masing (mengenai dajjal). Sesungguhnya Nabi Nuh (alaihissalam — ke atasnya kesejahteraan) pun telah mengingatkan kaumnya. Tetapi aku katakan kepadamu sekalian suatu perkataan mengenai dia, yang tidak pernah diucapkan oleh seorang nabi pun kepada kaumnya. Ketahuilah, bahawa dajjal itu bermata satu. Dan sesungguhnya Allah tidak bermata satu.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, halaman 75

  • Isyarat munculnya pendusta mengaku nabi menjelang kiamat

    Menurut riwayat Muslim daripada Jabir bin Samurah, dia berkata: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya menjelang datangnya kiamat muncul pendusta-pendusta.”

    Jabir mengatakan: Maka waspadalah terhadap mereka.

    Imam Ahmad pula meriwayatkan daripada Jabir bahawa dia mengatakan: Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Sesungguhnya menjelang datangnya kiamat akan muncul pendusta-pendusta, antara lain seorang pendusta dari Yamamah, pendusta dari Sanaa iaitu al-Absi, pendusta dari Himyar dan dajjal. Dajjal inilah yang menimbulkan bencana besar.”

    Jabir mengatakan: Ada beberapa teman saya mengatakan jumlah mereka hampir 30 orang.

    Hadis ini diriwayatkan sendirian oleh Ahmad.

    Dalam sahih al-Bukhari daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Kiamat tidak berlaku sehingga dibangkitkan dajjal-dajjal pendusta hampir 30 masing-masing mengaku dirinya utusan Allah.”

    Dalam sahih Muslim daripada Tsauban, Rasulullah SAW (mafhumnya): “Dan sesungguhnya akan muncul dalam kalangan umatku 30 pendusta masing-masing mengaku dirinya nabi, sedangkan saya penutup para nabi, tidak ada lagi nabi selepas saya.”

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 72 / 73

  • Isyarat terkait kota Madinah

    Kota Madinah al-Munawwarah terpelihara daripada wabak penyakit dan gangguan dajjal

    Dalam sahih Bukhari diriwayatkan daripada Abu Hurairah sabda Rasulullah SAW (mafhumnya): “Madinah tidak dimasuki wabak penyakit (taun) mahupun dajjal.”

    Pada hadis berikut Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa suatu saat wilayah kota Madinah akan bertambah.

    Menurut riwayat Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Tempat-tempat pemukiman akan sampai ke Ihab atau Yihab.”

    Pada suatu masa penduduk Madinah akan keluar dari kota Madinah

    Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa pada suatu masa penduduk Madinah meninggalkan kota Madinah.

    Dalam sahih Muslim diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda (mafhumnya): Mereka meninggalkan Madinah ketika kota itu keadaan sebaik-baiknya, hanya dipenuhi haiwan-haiwan liar – yang baginda maksudkan haiwan buas dan burung liar. Kemudian keluarlah dua orang gembala dari Muzainah menuju Madinah, dengan mengiring kambing mereka berdua. Namun ternyata kota itu telah sepi. Sehingga manakala kedua-duanya sampai ke Tsaniyatul Wada’, mereka tersungkur pada wajahnya.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 70 / 71

  • Isyarat penaklukan Muslimin

    Rasulullah SAW mengisyaratkan bahawa kaum muslimin akan menakluk beberapa pulau di tengah laut, beberapa negeri di Rom dan seluruh Parsi. Dan bahawa kebenaran muslimin akan mengalahkan kebatilan dajjal.

    Imam Muslim meriwayatkan daripada Nafi’ bin Uyainah bahawa Rasulullah SAW bersabda: Kamu sekalian akan menyerbu Jazirah Arab (Semenanjung Arab) sehingga ditakluk oleh Allah. Kemudian (kamu menyerbu) Parsi sampai negeri itu ditakluk Allah. Kemudian (kamu menyerbu pula) Rom sampai negeri itu ditakluk Allah. Kemudian kamu menyerbu dajjal sampai ia ditakluk Allah.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 68

  • Kiamat, bangsa Rom dan sifat baik mereka

    Muslim meriwayatkan al-Mustaurid al-Qurasyi berkata di hadapan Amr bin As, pernah saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Kiamat akan terjadi ketika orang-orang Rom merupakan bangsa yang teramai.

    Amr kepada al-Mustaurid berkata: Berhati-hatilah tentang apa yang akan kamu katakan itu.

    Al-Mustaurid menjawab: Aku hanya mengatakan apa yang pernah aku dengar daripada Rasulullah SAW.

    Amr berkata: Sesungguhnya jika apa yang kamu katakan itu benar, maka memang pada bangsa Rom itu benar-benar memiliki empat sifat bangsa yang paling bijak ketika terjadi huru-hara, bangsa yang paling cepat sedar setelah ditimpa musibah, bangsa yang paling cepat menyerang kembali dalam peperangan setelah lari dan bangsa yang paling baik perlakuannya terhadap orang miskin, anak yatim dan orang lemah. Adapun sifat baik dan indah yang kelima ialah mereka adalah bangsa yang paling tahan terhadap kezaliman raja-raja.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 69

  • La ilaha illallah, kota dan kemunculan dajjal

    Imam Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW: Sudahkah kamu mendengar sebuah kota yang sebelah daripadanya ada di darat dan sebelah lagi ada di laut?

    Para sahabat menjawab: Sudah, wahai Rasulullah.

    Rasulullah SAW bersabda: Kiamat takkan terjadi sebelum kota itu diserbu oleh tujuh puluh ribu tentera daripada anak keturunan Ishak. Apabila mereka telah datang ke kota itu mereka singgah, tetapi tidak berperang dengan satu senjata pun dan tidak melemparkan satu anak panah pun. Mereka hanya mengucapkan “Laailaha illallah” dan “Allahu akbar”. Maka jatuhlah salah satu daripada kedua-dua belah kota itu.

    Tsaur mengatakan saya tidak tahu kecuali bahawa Rasul bersabda: Belahan yang ada di laut. Kemudian mereka mengucapkan untuk kali keduanya “La ilaha illallah” dan “Allahu akbar”, maka jatuhlah belahan yang lain dari kota itu. Sesudah itu mereka mengucapkan pula untuk kali ketiganya “La ilaha illallah” dan “Allahu akbar”, maka terbukalah kota itu bagi mereka sehingga mereka dapat memasukinya, lalu mendapatkan harta rampasan perang. Tatkala mereka sedang membahagi-bahagikan harta rampasan perang tiba-tiba terdengarlah teriakan meminta tolong yang mengatakan “sesungguhnya dajjal benar-benar telah muncul”. Oleh kerana itu mereka pun meninggalkan apa saja lalu pulang.

    Sumber — Huru-hara Kiamat, 67/68

  • Nabi Isa bunuh dajjal

    Muslim bin Hajjaj, daripada Abu Hurairah RA meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:

    Kiamat takkan terjadi sehingga bangsa Rom singgah di Al-A’maq atau di Dabiq. Lalu mereka diserbu oleh tentera dari Madinah yang merupakan penduduk dunia yang terbaik waktu itu. Apabila mereka telah berbaris rapi, maka berkatalah orang-orang Rom: Biarkan kami berperang melawan orang-orang yang telah menawan orang-orang kami. Jawab Muslimin:  Demi Allah, kami takkan membiarkan kamu memerangi saudara-saudara kami. Maka, Muslimin pun menyerbu mereka, lalu ada satu pertiganya yang mundur. Mereka takkan diterima taubatnya oleh Allah SWT selamanya. Ada satu pertiga lagi yang terbunuh, mereka adalah syuhada (orang syahid) yang terbaik di sisi Allah SWT. Sedang satu pertiga yang lain mendapat kemenangan.  Mereka takkan mendapat bencana selama-lamanya. Merekalah yang dapat menakluki Konstantinopel. Namun ketika mereka membahagi-bahagi harta rampasan perang, sementara pedang-pedang mereka digantungkan di pokok zaitun, tiba-tiba syaitan berteriak kepada mereka, bahawa dajjal telah menguasai, menyerang keluarga mereka. Oleh kerana itu mereka pun keluar, padahal itu semua tidak benar. Lalu tatkala mereka memasuki negeri Syam, ternyata dajjal telah keluar (pergi). Tatkala mereka bersiap sedia untuk berperang dan merapatkan barisan, tiba-tiba dikumandangkan iqamatus-solah. Maka, turunlah Nabi Isa bin Maryam, lalu mengimami mereka. Apabila musuh Allah itu melihat Nabi Isa, maka dia meleleh seperti lelehnya garam dalam air. Andaikan dia dibiarkan, tentu akan benar-benar meleleh sehingga mati. Tetapi Allah membunuh dia dengan tangan Nabi Isa. Lalu, nabi Allah itu memperlihatkan kepada Muslimin darah dajjal pada tombak yang dipegangnya.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 66/67

  • 10 perkara sebelum kiamat

    Dalam riwayat Imam Ahmad yang lain, daripada Hudzaifah bin Asad, dia berkata: Nabi SAW tiba-tiba muncul di hadapan kami ketika kami membincangkan kiamat, baginda bersabda: Apa yang kamu bincangkan?

    Kami menjawab: Kami membincangkan soal kiamat.

    Baginda bersabda: Sesungguhnya kiamat takkan terjadi sebelum kamu melihat 10 tanda; asap, dajjal, binatang melata, terbit matahari dari barat, turun Nabi Isa bin Maryam, Yakjuj dan Makjuj, tiga kali tanah tenggelam; tanah tenggelam di timur, tenggelam di barat dan tenggelam di Jazirah Arab. Dan akhir daripada semua itu adalah api yang muncul dari arah timur, mengiringi manusia menuju tempat perhimpunan mereka.

    * Mengenai Nabi Isa — turun dari langit yang terdekat dengan bumi, di atas menara putih sebelah timur di kota Damaskus (Damsyik) saat solat Subuh.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 62/ 63

  • Perintah Rasulullah agar segera melakukan amalan soleh sebelum terjadi 6 peristiwa

    Menurut riwayat Imam Ahmad, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    Cepat-cepatlah kamu sekalian melakukan amalan (soleh) sebelum datang 6 peristiwa; terbit matahari dari barat, datang dajjal, muncul asap, muncul binatang melata dari dalam bumi, kematian setiap kamu sekalian dan perkara umum (hari kiamat).

    Qatadah berkata: Apabila Rasul mengatakan ‘perkara umum’ maka yang dimaksudkan ialah perkara kiamat.

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 62

  • Tanda menjelang kiamat

    Damsyik — Foto Britannica

    Abu Daud meriwayatkan daripada Abu Darda RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya khemah besar Muslimin pada hari pertempuran sengit ada di Ghuthah, di sebelah kota bernama Dimasyq (Damsyik), salah satu kota terbaik di Syam.

    Menurut riwayat Ahmad daripada Muaz bin Jabal RA, Rasulullah SAW bersabda: Ada 6 peristiwa yang termasuk petanda kiamat; kematianku, ditakluk Baitul Maqdis, kematian yang menyergap masyarakat bagaikan buduk kambing, huru-hara dengan bencana yang memasuki rumah setiap Muslim, lelaki diberi upah seribu dinar namun tidak rela menerimanya, dan pengkhianatan bangsa Rom. Mereka menyerbu dengan membawa lapan puluh bendera, di bawah setiap bendera ada dua belas ribu orang (tentera).

    Sumber — Huru-hara Hari Kiamat, 61/62