HADIS

  • Mukmin terhadap Mukmin bagaikan bangunan

    Mukmin terhadap Mukmin bagaikan bangunan

    Daripada Abu Musa RA berkata, Rasulullah SAW bersabda: 

    “Seorang Mukmin terhadap Mukmin yang lain bagaikan bangunan yang sebahagiannya menguatkan bahagian lainnya.” Dan baginda menjalinkan antara hari-jarinya.

    (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim)

    Huraian:

    Hadis ini menganjurkan untuk membantu dan membela orang Mukmin. Allah berfirman, maksudnya: “Dan tolong-menolonglah kamu dalam (melakukan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan.” (Al-Maidah, ayat 2) 

    Riyadus Solihin & Penjelasannya, 202

  • Rasulullah menceritakan hal terkait dengan umat, khuatir terhadap pemimpin menyesatkan

    Menurut riwayat Imam Ahmad, daripada Tsauban RA, sabda Rasulullah SAW:

    “Sesungguhnya Allah SWT telah mengerutkan bumi di hadapanku, sehingga aku dapat melihat negeri-negeri timur dan barat. Dan sesungguhnya kerajaan umatku akan mencapai bahagian-bahagian bumi yang dikerutkan itu. Dan sesungguhnya aku telah diberi dua gudang kekayaan, yang merah dan yang putih (emas dan perak). Dan sesungguhnya aku telah memohon kepada Tuhanku agar umatku tidak dibinasakan dengan kemarau yang merata dan agar mereka tidak dikuasai oleh musuh, selain diri mereka sendiri, yang merampas kejayaan mereka. Dan sesungguhnya Tuhanku yang Maha Perkasa lagi Maha Tinggi berfirman (maksudnya): “Wahai Muhammad, sesungguhnya apabila Aku telah memutuskan suatu keputusan, maka takkan boleh ditolak. Sesungguhnya Aku telah mengabulkan permohonanmu bagi umatmu, yakni mereka takkan dibinasakan dengan kemarau yang merata dan takkan dikuasai oleh musuh, selain diri mereka sendiri yang merampas kejayaan mereka, sekalipun mereka dikepung dari segala penjuru bumi” — atau Allah berfirman (maksudnya): “Orang-orang yang tinggal di segala penjuru bumi – kecuali sebahagian daripada mereka membinasakan sebahagian yang lainnya, dan sebahagian mereka menawan sebahagian lainnya.” 

    “Adapun yang aku khuatirkan terhadap umatku, tidak lain ialah pemimpin yang menyesatkan. Dan apabila pedang telah diletakkan di tengah umatku, maka takkan diangkat lagi daripada mereka sampai hari kiamat.

    “Dan tidak akan terjadi kiamat sehingga adanya beberapa kabilah dari umatku yang bergabung dengan orang-orang musyrik dan sehingga adanya beberapa kabilah dari umatku yang kembali menyembah berhala.

    “Dan sesungguhnya akan muncul di tengah umatku tiga puluh orang pendusta, masing-masing mengaku dirinya nabi, padahal aku penutup para nabi. Tidak ada nabi lagi sesudahku. Namun akan sentiasa ada segolongan daripada umatku yang membela kebenaran. Mereka tidak peduli terhadap sesiapa yang melawan mereka. Sampai datangnya perintah Allah SWT (kiamat).” 

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 55/56  

  • Isyarat mengenai pelbagai rusuhan

    Abu Daud meriwayatkan daripada Muslim bin Abi Bakrah daripada ayahnya, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: 

    “Sesungguhnya akan terjadi suatu huru-hara, di mana orang berbaring lebih baik daripada orang yang duduk, orang yang duduk lebih baik daripada orang yang berdiri, orang berdiri lebih baik daripada orang yang berjalan, dan orang berjalan lebih baik daripada orang berlari.”

    Abu Bakrah berkata: “Wahai Rasulullah, apa yang anda perintahkan kepadaku?”

    Rasul menjawab: “Sesiapa memiliki unta, temuilah untanya. Sesiapa memiliki kambing, temuilah kambingnya. Dan sesiapa memiliki kebun, temuilah kebunnya.”

    Rasul bersabda pula: “Sesiapa tidak memiliki apa-apa, maka ambillah pedangnya, lalu pukullah batu dengan mata pedangnya itu, kemudian selamatkan diri selagi boleh.” 

    Hadis sama diriwayatkan pula oleh Muslim daripada Utsman as-Sahham.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 53

  • Orang tidak percaya lagi teman rapatnya

    Isyarat bakal terjadi rusuhan membinasakan akhlak sehingga orang tidak percaya lagi teman rapatnya

    Abu Daud (atau dieja juga Abu Dawud) meriwayatkan daripada Wabisah bin Ma’bad al-Asadi, daripada Ibnu Mas’ud, dia berkata: Pernah saya mendengar Rasulullah SAW bersabda — lalu Ibnu Mas’ud menyebut sebahagian hadis seperti yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah — dan selanjutnya bersabda pula, “semua yang terbunuh dalam huru-hara itu masuk neraka.”

    Dalam hadis itu, Wabisah mengatakan: “Saya bertanya, bilakah perkara itu terjadi wahai Ibnu Mas’ud.

    Ibnu Mas’ud menjawab: Itulah zaman rusuhan, di mana seseorang lelaki tidak berasa selamat terhadap teman duduknya. 

    Saya bertanya: Kalau begitu, apa yang anda perintahkan kepadaku, jika aku melalui zaman itu?

    “Tahanlah lidah dan tanganmu,” jawab Ibnu Mas’ud menyarankan “Jadilah seseorang yang betah menetap dalam rumah.” 

    Wabisah bercerita: “Ketika Utsman terbunuh, maka terbanglah hatiku tinggi-tinggi, lalu memacu kenderaanku sehingga aku tiba di Damsyik. Di sana aku menemui Huraim bin Fatik al-Asadi. Lalu dia bersumpah: Demi Allah yang tiada tuhan melainkan Dia. Sesungguhnya aku benar-benar telah mendengar berita itu daripada Rasulullah SAW.”

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 52/53

  • Isyarat menjelang kiamat

    Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA — sabda Rasulullah SAW: 

    “Takkan terjadi kiamat sehingga ada dua pasukan besar berperang. Pertempuran terjadi di antara kedua-duanya demikian sengitnya, padahal pengakuan masing-masing sama.

    “Dan (takkan terjadi kiamat) sehingga dibangkitkannya dajal-dajal pendusta, hampir ada 30 jumlahnya, masing-masing mengaku dirinya utusan Allah.

    “Dan (takkan terjadi kiamat) sehingga dicabut ilmu, banyak terjadi gempa bumi, waktu berlalu cepat, huru-hara bermaharajalela dan banyak terjadi rusuhan, iaitu pembunuhan.

    “Dan (takkan terjadi kiamat) sehingga harta kamu melimpah ruah, sehingga membuat pening pemilik harta, kerana kepayahan mencari siapa yang akan menerima sedekahnya, sehingga dia menawarkannya, maka orang yang ditawarkan berkata: Aku tidak memerlukannya.

    “Dan (takkan terjadi kiamat) sehingga manusia berlumba memanjangkan (atau meninggikan) pada binaan.

    “Dan (takkan terjadi kiamat) sehingga seseorang melalui kubur orang lain, lalu dia berkata: Andai aku menggantikan tempatnya.

    “Dan (takkan terjadi kiamat) sehingga matahari terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit, disaksikan manusia, maka mereka semua beriman, tetapi pada saat itu tidak bermanfaat lagi iman seseorang bagi dirinya yang sebelumnya tidak beriman ataupun berbuat baik ketika telah beriman.

    “Dan sesungguhnya kiamat benar-benar terjadi ketika dua orang lelaki sudah merentangkan kain di antara kedua-duanya, namun belum sempat berjual-beli atau melipatnya.

    “Dan sesungguhnya kiamat benar-benar terjadi ketika seorang lelaki pulang dengan membawa susu untanya tetapi belum sempat meminumnya.

    “Dan sesungguhnya kiamat benar-benar terjadi, sedang seseorang melepa kolamnya namun belum sempat mengisi air ke dalamnya.

    “Dan sesungguhnya kiamat benar-benar terjadi sedang seseorang sudah mengangkat makanan ke dalam mulutnya tetapi belum sempat memakannya.”

    Dalam riwayat Muslim, Hudzaifah bin Yaman berkata: “Demi Allah, sesungguhnya akulah orang yang benar-benar paling tahu mengenai setiap huru-hara yang terjadi antara masa hidupku dan hari kiamat. Apa salahku kalau aku menceritakan semua itu Rasulullah SAW tidak merahsiakan sesuatu pun, yang tidak baginda ceritakan kepada selain aku. Tetapi Rasulullah pernah bersabda mengenai pelbagai huru-hara ketika baginda berbicara di suatu majlis, di mana aku turut sama berkumpul.”

    Hudzaifah mengatakan Rasulullah bersabda lantas menjanjikan bakal terjadinya pelbagai jenis huru-hara, di antaranya ada tiga huru-hara yang hampir tidak membiarkan apa pun (kecuali dilandanya). Ada pula yang terjadi bagaikan angin di musim panas, ada yang kecil dan ada pula yang besar. 

    Hudzaifah mengatakan pula: Orang ramai di majlis itu pun pergi semua melainkan aku. 

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 50/51

  • Lembah Eufrat dan emas

    Rasulullah SAW memberitahu mengenai kekayaan melimpah ruah yang akan dihasilkan dari bumi Arab dan kekayaan ini akan menimbulkan perpecahan, pertengkaran dan peperangan

    Menurut riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah RA — Rasulullah SAW bersabda: “Tidak lama lagi lembah Eufrat (Furat) akan membuka gudang kekayaan berisi emas. Maka, sesiapa mengalami saat itu janganlah dia mengambilnya sedikitpun.”

    Sedangkan riwayat Muslim daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Takkan terjadi kiamat sebelum lembah Eufrat menyingkapkan sebuah gunung emas yang menyebabkan peperangan di antara sesama manusia yang merebutkannya. Dari setiap seratus (100) orang akan terbunuh 99. Dan setiap orang daripada mereka berkata “barangkali akulah yang akan selamat”. 

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 49

  • Badan yang sedang

    Daripada Said al-Jurairiy, dia berkata: “Saya mendengar Abu at-Tufail berkata: Saya telah melihat Nabi SAW dan tiada seorang pun di muka bumi ini yang melihatnya selain daripada saya.”

    “Saya (Said al-Jurairiy) berkata: Gambarkan dia kepadaku. Dia (Abu at-Tufail) berkata: Baginda putih, elok dan sedang (sederhana, tidak gemuk, tidak kurus, tidak tinggi dan tidak rendah).”

    Sumber Asy-Syamaail al-Muhammadiyyah

  • Wanita Daus di sekeliling Dzul Khalasoh

    Al-Bukhari meriwayatkan — daripada Abu Hurairah, “pernah saya mendengar Rasulullah bersabda: Takkan terjadi kiamat sehingga punggung wanita Daus bergoyang-goyang di sekeliling Dzul Khalasoh.

    – Dzul Khalasoh ialah berhala kabilah Daus yang mereka sembah pada zaman Jahiliyah. 

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 48 / 49 

  • Kejadian akhir zaman

    Isyarat Rasulullah rusuhan selalu berlaku sehingga orang hidup ingin kepada mati

    Al-Bukhari meriwayatkan — daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: Pernah saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidak akan terjadi kiamat, sehingga seseorang melalui kubur orang lain, lalu dia berkata; andai aku menggantikan tempatnya.

    Sumber — Huru-Hara Hari Kiamat, halaman 48

  • Beriman, beristiqamah

    Daripada Abu ‘Amru — ada dikatakan Abi ‘Amrah Sufyan bin Abdullah RA, dia berkata: Saya bertanya, wahai Rasullah, katakanlah padaku mengenai Islam suatu pernyataan yang tidak akan saya tanyakan lagi kepada seseorang selain engkau.

    Rasulullah SAW menjawab: “Katakanlah, saya beriman kepada Allah, kemudian istiqamah (tetap teguh).” (Diriwayatkan oleh Muslim)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 102 & 103

    Huraian:

    Hadis ini menghimpunkan makna Islam dan iman secara keseluruhan. 

    Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (daripada sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Surah al-Ahqaf, ayat 13 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

    Dalam keterangan diberikan tafsir itu: Setelah Tuhan menerangkan fahaman dan amalan yang salah dan terpesong, maka dengan ayat ini dan yang berikutnya, Tuhan menyatakan cara orang-orang yang baik amalannya dan bahagia balasannya. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1347)

    Firman Allah bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata, “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu. (Surah Fussilat, ayat 30 — Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1271 & 1272)

    Keterangan dalam tafsir itu: Setelah menerangkan perihal orang-orang kafir dan balasannya, maka dalam ayat ini dan ayat berikutnya, Allah Taala menerangkan perihal orang-orang beriman dan balasan yang sebaik-baiknya yang akan diberikan kepada mereka di dunia dan di akhirat. (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, halaman 1272)

    Menurut Riyadus Solihin, sesetengah ulama ahli makrifat (ahli ilmu mengenai Allah) berkata: Rujukan istiqamah (tetap teguh) kepada dua hal, iaitu kebenaran iman kepada Allah dan mengikuti apa yang dibawa oleh Rasulullah sama ada lahir mahupun batin.

    Nabi SAW pernah bersabda: Istiqamah (tetap teguh) dan jangan menghitung-hitung (amalan baikmu). Ketahuilah bahawa sebaik-baik amalan perbuatan kamu ialah solat dan tidak ada yang memelihara wuduk melainkan orang Mukmin (beriman). (Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 103)