HADIS

  • Doa apabila melihat hilal

    Daripada Talhah bin Ubaidullah RA, apabila melihat hilal (anak bulan) Nabi SAW membaca: Wahai Allah munculkanlah ia kepada kami dengan aman dan iman, selamat dan Islam, Rabbku (Tuhanku) dan Rabbmu (Tuhanmu) Allah, hilal petunjuk dan kebaikan.” (Hadis diriwayatkan at-Tirmidzi, dia berkata hadis ini (statusnya) hasan)

    Huraian

    Hadis ini berisi anjuran berdoa saat melihat hilal. 

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737

  • Puasa Ramadan kerana melihat hilal

    Daripada Ibnu Abbas RA (radhiallahu anhu) dia berkata Rasulullah SAW bersabda: Janganlah kamu berpuasa sebelum Ramadan. Puasalah kerana melihatnya (hilal = anak bulan) dan berbukalah kerana melihatnya. Jika awan menghalangi (hilal), maka sempurnakanlah 30 hari. (Hadis diriwayatkan Tirmidzi, dia berkata hadis ini (status) hasan sahih)

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737/738

  • Tidak mendahului Ramadan melainkan…

    Daripada Abu Hurairah RA (radhiallahu anhu) daripada Nabi SAW (sollallahu alaihi wasallam) baginda bersabda: “Janganlah seseorang antara kamu mendahului Ramadan dengan puasa satu hari atau dua hari, melainkan bagi orang yang biasa berpuasa, maka silakan dia berpuasa pada hari itu.” (Muttafaq alaihi — Sahih Bukhari & Muslim) 

    Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya, halaman 737

  • Larangan puasa pada hari diragukan

    Daripada Silah bin Zufar [ صلة بن زفر ] dia berkata: “Kami pernah bersama Ammar bin Yasir, kemudian dia diberikan seekor kambing bakar, lalu dia berkata, ‘makanlah’. Lalu, sesetengah orang menjauh dan berkata ‘aku sedang berpuasa’. Ammar bin Yasir lantas berkata, sesiapa berpuasa pada hari yang diragukan, sungguh dia telah derhaka kepada Abu al-Qasim Sollallahu alaihi wasallam (SAW).”

    Daripada Simak bin Harb [ سماك بن حرب ] dia berkata: “Aku berpuasa pada hari yang aku masih ragu, apakah bulan Syaaban atau Ramadan. Maka, aku datang menemui Ikrimah, ternyata dia sedang makan roti dan sayur. Dia lalu berkata ‘marilah makan siang’. Kemudian aku berkata, ‘aku sedang berpuasa’. Ikrimah berkata lagi; ‘aku bersumpah dengan nama Allah hendaklah engkau harus berbuka’. Maka, tatkala aku melihatnya bersumpah dan tidak mengucapkan insyallah, aku maju dan mengungkapkan alasan; ‘sesungguhnya sebelum itu aku telah makan sahur. Sekarang sampaikanlah alasanmu kepadaku’. Lalu dia berkata; ‘Ibnu Abbas menceritakan kepada kami, dia berkata; Rasulullah sollallahu alaihi wasallam (SAW) bersabda; berpuasalah kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kerana melihatnya. Jika terdapat awan yang menghalangi kamu untuk melihatnya, maka sempurnakanlah jumlah bulan menjadi 30 hari dan janganlah kamu menyambut bulan Ramadan dengan berpuasa.” 

    (Sumber: Sunan ad-Darimi, edisi terjemahan, halaman 653/654) 

  • Tinggal pakaian mewah kerana tawaduk

    Daripada Muaz bin Anas RA, Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: Sesiapa meninggalkan pakaian (mewah) kerana tawaduk kepada Allah, padahal dia mampu, maka Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan semua makhluk hingga Dia menyuruhnya memilih perhiasan keimanan mana saja yang dia mahu kenakan. (Riwayat at-Tirmidzi, dan dia berkata, hadis hasan)

    Huraian

    — Dalam hadis ini diterangkan mengenai keutamaan meninggalkan pakaian kebanggaan kerana tawaduk dan pahalanya. Sebab, sesiapa meninggalkan sesuatu semata-mata kerana Allah, maka Dia akan memberikan ganti yang lebih baik daripadanya.

    — Sesiapa yang bersikap tawaduk semata-mata kerana Allah, maka Dia akan mengangkat darjatnya di dunia dan akhirat.  

  • Tutup mulut menguap

    Daripada Abu Said al-Khudri RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Jika seorang daripada kamu menguap, hendaklah dia menutup mulutnya dengan tangannya. Sebab sesungguhnya syaitan akan masuk. (Riwayat Muslim)

    Huraian

    — Intisari hadis ini ialah sunah menutupkan mulut dengan tangan ketika menguap kerana syaitan akan masuk mulut ketika seseorang menguap.

  • Sunah cium anak

    Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata: “Nabi SAW pernah mencium Hasan bin Ali RA. Al-Aqra’ bin Habis pun berkata: Sesungguhnya aku mempunyai sepuluh orang anak, namun aku tidak pernah mencium seorang pun daripada mereka. Rasulullah SAW lalu bersabda: Sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.(Sahih Bukhari dan Muslim) 

    Huraian

    — Intisari hadis ini ialah sunah mencium anak sebagai bentuk kasih sayang. 

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya 

  • Keampunan kerana berjabat tangan

    Daripada al-Barra RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dua orang Muslim bertemu lalu berjabat tangan melainkan Allah mengampuni bagi kedua-duanya sebelum kedua-duanya berpisah. (Riwayat Abu Daud)

    Huraian

    Intisari hadis ini ialah penegasan perintah dan anjuran berjabat tangan berdasarkan khabar daripada Nabi SAW bahawa Allah akan mengampuni dua orang yang berjabat tangan di tempat kedua-duanya bertemu.

  • Cara jawab salam ahli kitab

    Daripada Anas RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) memberi salam kepada kamu, maka jawablah (dengan ucapan): Wa alaikum.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Huraian

    —  An-Nawawi berkata: “Ulama sepakat atas bolehnya menjawab ucapan salam kepada ahli kitab jika mereka mendahului mengucapkan salam, namun jangan dengan mengucapkan wa alaikum salam tetapi ucapkanlah alaikum atau wa alaikum.”

    — Makna hadis ini terdapat dalam hadis lain: “Sesungguhnya orang Yahudi ketika mengucapkan salam kepada kamu, salah satu daripada mereka mengucapkan ‘as-saamu alaikum’ maka jawablah salam mereka dengan ucapan ‘wa alaikum’.” (Riwayat Muslim) 

    — As-saamu ertinya kematian.

    Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya

  • 5 hak Muslim

    Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Hak seorang Muslim ke atas Muslim lain lima: Menjawab salam, menjenguk orang sakit, menghantarkan jenazah, memenuhi undangan dan mendoakan orang yang bersin.” (Sahih Bukhari dan Muslim)

    Huraian

    — Dalam riwayat Muslim disebutkan: “Hak seorang Muslim ke atas Muslim lain ada enam.” Tambahannya: “Jika dia meminta nasihat kepadamu, maka nasihatilah dia.”