Daripada Abdullah bin Mas’ud, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang selalu berjalan di muka bumi, menyampaikan kepadaku salam daripada umatku. (Sunan Darimi)
HADIS
-
Mohonlah keampunan
Daripada al-Agharr bin Yasar al-Muzani berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Wahai manusia! Bertaubatlah kepada Allah dan mohonlah keampunan kepada-Nya, kerana sesungguhnya saya bertaubat dalam sehari 100 kali.” (Riwayat Muslim)
Huraian
— Dalam hadis ini juga dijelaskan mengenai kewajipan bertaubat, istighfar dan sentiasa istiqamah melakukan hal itu di setiap waktu dan keadaan.
-
Tak mampu, usah jadi pemimpin
Daripada Abu Dzar RA, dia berkata: “Rasulullah SAW bersabda kepadaku: Wahai Abu Dzar! Aku melihatmu lemah dan aku menginginkan untukmu seperti yang aku inginkan untuk diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin di antara dua orang dan jangan kamu mengurus harta anak yatim.” (Riwayat Muslim)
Huraian
— Hadis ini menerangkan orang yang tidak mampu menunaikan hak kepimpinan dan melakukan urusannya, maka dia tidak boleh menerimanya. Demikian juga halnya dengan orang yang tidak mampu mengurus dengan baik harta anak yatim.
Sumber — Riyadus Solihin & Penjelasannya
-
Mohon ampun
Daripada Abu Hurairah berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): “Demi Allah, sesungguhnya saya memohon ampunan kepada Allah dan bertaubat kepadanya dalam sehari lebih daripada 70 kali.” (Riwayat Bukhari)
Huraian:
— Dalam hadis ini terdapat motivasi kepada umat untuk bertaubat dan istighfar (memohon keampunan).
Ibnu Battal berkata: Kalangan nabi adalah orang-orang yang paling bersungguh-sungguh dalam beribadat sebab pengetahuan yang telah diberikan oleh Allah kepada mereka. Maka, mereka sentiasa bersyukur kepada-Nya dan mengakui kekurangan mereka.
-
Tiga penyelamat selepas mati
Daripada Abu Hurairah RA, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya): Apabila mati anak Adam, terputus amalannya, melainkan daripada tiga (hal): Sedekah jariah atau ilmu yang memberikan manfaat dengannya ataupun anak soleh yang mendoakannya. (Riwayat Muslim)
-
Malu
Daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW pernah menemui seorang lelaki daripada golongan Ansar yang ketika itu sedang menasihati saudaranya lantaran sikap malunya. Maka, Rasulullah SAW bersabda: Biarkan dia, kerana sesungguhnya malu (bahagian) daripada keimanan.” (Sahih Bukhari, Muslim, Abu Daud, at-Tirmidzi dan Nasai)
Sumber Riyadus Solihin & Penjelasannya
-
Amalan memasukkan diri ke syurga
Daripada Abu Ayub Khalid bin Zaid al-Ansari RA: “Bahawa ada seorang lelaki berkata: Wahai Rasulullah beritahulah saya suatu amalan yang dapat memasukkan saya ke dalam syurga serta menjauhkan saya dari neraka.
Kemudian Nabi SAW bersabda: Hendaknya engkau menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa pun, melaksanakan solat, menunaikan zakat dan menyambung ikatan kekeluargaan.” (Sahih Bukhari dan Muslim)
Huraian
— Dalam hadis ini ada dalil orang yang mengesakan Allah, melaksanakan rukun Islam dan menyambung ikatan kekeluargaan, maka dia akan masuk syurga.
-
Kelebihan menyambung ikatan keluarga
Daripada Anas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa ingin diluaskan rezekinya dan diakhirkan ajalnya, maka hendaklah dia menyambung ikatan kekeluargaannya.” (Sahih Bukhari, Muslim dan Abu Daud)\
Huraian
— Hadis ini menunjukkan perihal menyambung ikatan kekeluargaan dapat menambahkan rezeki dan usia dengan mendapat pertolongan dan keberkatan.
Sumber Riyadus Solihin dan Penjelasannya
-
Anak yang celaka
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu Anhu (RA) meriwayatkan daripada Nabi SAW bersabda: “Celaka, celaka, sekali lagi celaka (maksudnya sangat hina) orang yang sempat menemui orang tuanya sampai usia tua, seorang daripada kedua-duanya ataupun kedua-duanya, tetapi orang terbabit tidak dapat masuk syurga.” (Riwayat Muslim)
Huraian
— Hadis ini memberi amaran kepada anak agar berbakti kepada orang tuanya apabila mereka sampai usia tua.
Sumber Riyadus Solihin dan Penjelasannya
-
Manusia paling utama
Daripada Abu Umamah Sudayy bin Ajlan al-Bahili RA, dia berkata Rasulullah SAW bersabda (mafhumnya):
“Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah ialah orang yang memulai memberikan salam di antara mereka.” (Riwayat Abu Daud, dengan sanad yang bagus)
Huraian
— Orang yang pertama mengucapkan salam lebih utama di sisi Allah, kerana dia bersegera melakukan ketaatan kepada-Nya dan mendekatkan diri untuk mentaati-Nya.
— Al-Baihaqi meriwayatkan dalam Syu’abul Iman daripada Ibnu Mas’ud secara marfuk: “Jika seseorang menjumpai suatu kaum, kemudian mengucapkan salam, lalu mereka menjawab salamnya, maka baginya keutamaan atas mereka kerana dia mengucapkan salam kepada mereka. Seandainya salamnya tidak dijawab, maka ada sekelompok malaikat yang lebih baik dan lebih bagus daripada mereka yang menjawab salamnya.”